Jumaat, 27 Oktober 2017

Pemain tidak mahu takhta dirampas - Azuan



ARKIB : 27/01/2008

KUALA LUMPUR - Jurulatih Johor Pasir Gudang (Johor), Azuan Zain, berpuas hati dengan permainan anak buahnya, ketika menang ke atas Kuala Lumpur dengan jaringan 3-1 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, kelmarin lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurutnya, barisan pemain Johor bermain bagus dengan menunjukkan komitmen tinggi, seolah-olah tidak mahu kedudukan di takhta Liga Perdana digugat oleh mana-mana pasukan.

''Pada separuh masa pertama kami sudah kehilangan seorang pemain, apabila Jasazrin Jamaluddin dilayangkan kad merah kerana menyentuh bola dalam kotak penalti, tetapi pemain saya bermain dengan baik sehingga wisel penamat,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ketika diminta mengulas tindakan pengadil perlawanan Lee Chong Seng dari Perak yang melayangkan kad merah kepada pemainnya, Azuan berkata, dia tidak nampak insiden berkenaan kerana jarak yang agak jauh.

''Saya terima keputusan pengadil malam ini, walaupun pemain saya (Jasazrin) ketika di dalam bilik persalinan, pada rehat separuh masa pertama, mendakwa bola tersebut terkena badannya bukan tangannya.

''Saya juga tidak dapat melakukan apa-apa dengan keputusan yang diberikan oleh pengadil kerana ia adalah keputusan muktamad,'' katanya.

Kata Azuan, perlawanan ini memang agak tegang dan dia tidak menolak kemungkinan pengadil ada melakukan beberapa kesilapan tetapi secara keseluruhan ia adalah perlawanan yang diadili dengan baik.

Azuan juga berasa gembira kerana kesemua pemain utamanya pada perlawanan tersebut, bermain dengan baik khususnya pemain import dari Paraguay, Esponola Atelo yang menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan ke-83.

''Dia (Atelo) seorang pemain yang bagus walaupun tidak banyak berlari tetapi kawalan bola dan ketajaman ketika di depan gawang memberikan impak yang baik kepada pasukan.

''Sebelum ini Atelo pernah bermain bersama pasukan Pasir Gudang United sebelum pulang bermain ke liga negaranya dan datang semula menabur bakti selepas 'tempoh bertenang' selama setahun seperti mana yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),'' jelas Azuan.

Di sebalik kegembiraan selepas berjaya mengutip tiga mata di tempat lawan, Azuan juga tidak menyembunyikan kegusaran pada perlawanan seterusnya menentang Kelantan di tempat sendiri awal Februari ini.

''Pertemuan dengan Kelantan selepas ini pasti sukar buat kami, kerana kedua-dua pasukan masih belum tewas dalam mana-mana perlawanan liga, ditambah dengan masalah pergantungan serta kecederaan pemain saya,'' kata Azuan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wi1hd7YQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

Kedudukan Johor-PG semakin teguh



ARKIB : 19/01/2008

KUALA LUMPUR – Kedudukan Johor-Pasir Gudang sebagai peneraju persaingan bola sepak Liga Perdana musim 2007-2008 semakin sukar digugat selepas mereka menumpaskan Proton 2-0, semalam.

Dua jaringan Otelo Ocampos pada minit ke-28 dan 36 di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Johor Bahru, sudah memadai untuk mengekalkan tuan rumah dengan kemenangan ketujuh ini.

Kelantan pula merapatkan pemburuan tempat teratas liga dengan rentak kemenangan apabila membenam Angkatan Tentera 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Tuan rumah juga melebarkan rekod tanpa kalahnya dengan dua gol tonggak import, Mohamadou Moustapa pada minit ke-10 dan 61 di samping Nizad Ayub (4) dan Rizal Fahmi Roshid (27) manakala Tentera hanya dengan gol tunggal menerusi Mohd. Aminuddin (17).

Wong Sai Kong dan Bobby Gonzales pula meranapkan rekod tanpa kalah KL PLUS 2-1 dengan gol pada minit ke-39 dan 66 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

KL PLUS yang akhirnya menyerah pada perlawanan keenamnya ini meraih jaringan tunggal Alex Agbo, 6 minit sebelum tamat.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, jaringan Khairul Izwan Khalid dan Eric Arsene membolehkan Felda United meraih kemenangan keduanya dengan menumpaskan Melaka 2-1.

Ketinggalan dengan gol minit pertama dan ke-39 itu, pasukan pelawat bimbingan Ramli Junit, merapatkan jurang jaringan menerusi pemain importnya, Kofi Estiba Weah pada minit ke-53.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wOjg0hcg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 20 Oktober 2017

Johor PBT pintas Sabah



ARKIB : 01/01/2008

KUALA LUMPUR – Johor PBT merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana daripada Sabah hasil kemenangan 3-1 ke atas Shahzan Muda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, semalam.

Ini merupakan kali pertama musim ini Johor PBT berjaya menempatkan diri di puncak liga selepas mengekal rekod bersih tiga kemenangan berturut-turut.

Pencapaian membanggakan Johor PBT itu turut dibantu keputusan yang membabitkan Sabah yang hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Sabah dilihat bakal kekal sebagai pendahulu Liga Perdana apabila mudah mendahului seawal minit ke-9 hasil jaringan Wong Sai Kong.

Kedudukan

Bagaimanapun Kuala Lumpur yang dibimbing jurulatih dari Jerman, Heinz Jurgen Gede berjaya menyamakan kedudukan menerusi Cirelli Juan Marcelo pada minit ke-66 walaupun beraksi 10 pemain ketika itu.

Pasukan bawah 19 tahun negara, Harimau Muda pula mencatat kemenangan sulung mereka musim ini selepas menewaskan Proton FC 3-1 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

Dua gol Harimau Muda dijaringkan Thamil Arasu di samping satu go daripada Ahmad Fakri Saarani manakala gol tunggal Proton FC dijaringkan Aguama Stanley Ogoc Hukwu.

Kuala Muda Naza turut mencatat kemenangan semalam dengan menewaskan Felda United 2-1 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Liew Kit Kong membuka jaringan buat Kuala Muda pada minit ke-49 diikuti gol kedua menerusi penalti Manzur Azwira tiga minit selepas itu. Gol tunggal Felda pula dijaringkan Benson Anih Ajike (m-90).

Kelantan juga meraih kemenangan pertama mereka selepas menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Gol-gol Kelantan dijaringkan Andrew Amakuro (m-9), Mouhamadou Moustapa (m-83) dan Mohd. Ramzul Zahini (m-90) manakala gol saguhati Melaka dijaringkan Amrie Abdullah (m-17).

KL Plus pula menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sebaik sepak mula, KL Plus terus menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit pertama permainan menerusi Lucio Marcado.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan memperoleh peluang untuk menambah jaringan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w4ABNjEl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Johor PBT, Sabah garang



ARKIB : 29/12/2007

TONGGAK Shahzan Muda, Choi Who Seng (dua dari kiri) dihalang oleh dua pemain Kuala Lumpur dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Kuantan, malam tadi. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Sabah dan Johor PBT mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan awal musim baru Liga Perdana 2007/2008 apabila mencipta kemenangan kedua berturut-turut, semalam.

Kejayaan itu membolehkan kedua-dua pasukan itu mengungguli persada liga dengan enam mata tetapi Sabah menguasai puncak liga menerusi kelebihan jaringan.

Sebelum ini, pada perlawanan pembuka tirai 17 Disember lalu, Sabah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-0 di tempat lawan manakala Johor PBT menang tipis 1-0 ke atas Felda United di tempat sendiri.

Semalam ketika beraksi di tempat sendiri di Kompleks Sukan Tawau, Sabah mengulangi kejayaan itu dengan menewaskan Proton FC 4-1.

Ternyata pasukan yang baru tersingkir dari Liga Super itu mahu menebus kekecewaan musim lalu dengan menghadiahkan kekalahan pertama kepada Proton FC.

Chow Chee Weng menyumbang dua gol buat Sabah pada minit ke-29 dan 80 manakala dua lagi gol dijaringkan Bobby Gonzales (m-40) dan Mohd. Nafuzi Zain (m-77).

Gol sagu hati Proton FC pula dijaringkan Agugas Stanley pada minit ke-87.

Di Stadium Hang Tuah Melaka, Johor PBT pula menewaskan tuan rumah 3-1 untuk terus mencabar kedudukan Sabah sebagai pendahulu liga.

Mohd. Shukri Ismail membuka jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-14 tetapi Melaka bangkit menyamakan kedudukan menerusi Sapian Wahid tujuh minit kemudian.

Dua gol Johor PBT di babak kedua selepas itu menerusi Ocampos Atelo (m-54) dan Tumba Laurent melenyapkan sama sekali sisa-sisa perjuangan Melaka untuk mencipta kemenangan pertama musim ini.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ATM menewaskan Harimau Muda 2-1 untuk bangkit daripada kekalahan pertama lalu.

Gol-gol ATM dijaringkan Jonathan Yamoah (m-18) dan Mazeri Izuan Mukhtar (m-42) sebelum Harimau Muda merapatkan jurang menerusi Ahmad Aminuddin (m-44).

Kuala Muda Naza yang turun buat kali pertama musim ini bermula dengan langkah kanan selepas menang tipis 1-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada perlawanan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya.

Dua lagi perlawanan lain membabitkan pertemuan Shahzan Muda-Kuala Lumpur dan Felda United-Kelantan berkesudahan dengan keputusan seri.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Shahzan Muda diikat 2-2 oleh Kuala Lumpur walaupun pada babak pertama berjaya mendahului 2-1.

Bekoe Cofie membuka jaringan lebih dulu buat Kuala Lumpur pada minit ke-5 tetapi Shahzan Muda membalas dengan dua gol menerusi Choi Who Seng (m-10) dan Anthony Joseph (m-23).

Ivan Yusof muncul pemusnah apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69 sekaligus memusnahkan impian Shahzan mencatat kemenangan pertama musim ini.

Felda United pula seri 1-1 dengan Kelantan pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Felda lebih dulu di depan hasil jaringan Khairul Izwan pada minit ke-41 tetapi Maumadou Mustapha menafikan kelebihan itu dengan gol penyamaan pada minit ke-64.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w48gOm7g
© Utusan Melayu (M) Bhd