Isnin, 11 Disember 2017

Penantian Johor berakhir

ARKIB : 27/10/2008
Penantian Johor berakhir
JOHOR BAHRU - Penantian Johor selama 18 tahun berakhir dengan kegembiraan apabila berjaya menjulang Piala Agong 2008 dengan menewaskan Pahang 3-1 pada perlawanan akhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Dato' Hassan Yunos, Larkin di sini malam kelmarin, tuan rumah berjaya membuka jaringannya menerusi Arman Sarini pada minit ke-20.

Selang 16 minit kemudian, Shafiee Sanusi terus meletakkan Johor pada kedudukan selesa untuk muncul sebagai penjaring kedua perlawanan tersebut.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung separuh masa pertama, skuad bimbingan Edres Selamat itu terus menambah bekalan selesa setelah Mohd. Zaini Kamar menambah jaringan ketiga Johor pada minit ke-42.

Pada separuh masa kedua, pasukan pelawat yang nampak semakin tertekan bagaimanapun tidak mudah mengaku kalah untuk mencari gol sulung mereka.

Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada Pahang yang mempamerkan semangat juang yang tinggi.

Kejayaan selepas 18 tahun itu sememangnya dinantikan oleh peminat bola sepak Johor selepas merangkulnya pada tahun 1978, 1988, 1989 dan 1990 sejak Piala Agong diperkenalkan pada tahun 1962.

Lebih manis, pemain Johor iaitu Shafiee Sanusi dinobatkan Pemain Terbaik Piala Agong 2008 pada malam bersejarah itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz511haYZoV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Nasir Yusof jurulatih baru Johor

ARKIB : 20/10/2008
JOHOR BAHRU - Sesi pemilihan bagi pasukan Johor di Stadium Larkin, semalam berjaya menarik kehadiran hampir 200 pemain yang ingin mencuba nasib menyertai pasukan jengking itu dalam Liga Perdana musim depan.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 24 pemain telah disenarai pendek dengan ia termasuk bekas pemain T-Team, Rosaidi Wahab, Mohd. Hafidh Abdul (MyTeam) dan Mohd. Farid Ramli (Johor FC).

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Wan Nizam Wan Omar, beliau agak kecewa kerana kebanyakan pemain tidak membuat persediaan.

Begitupun, Wan Nizam yakin Johor akan berjaya membawa cabaran dalam saingan Liga Perdana musim depan menerusi kehadiran jurulatih baru pasukan, Nasir Yusof.

''Saya yakin Nasir mampu membawa angin perubahan kepada skuad Johor selepas prestasi muram musim lalu,'' katanya.

Jurulatih yang mendapatkan jolokan The Professor pernah menjadi tonggak utama Jengking sehingga menjulang Piala Malaysia pada 1985, selain turut membantu Johor menjadi juara berganda pada musim 1991.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz50xMehqjt

© Utusan Melayu (M) Bhd