Rabu, 21 Mac 2018

Johor mengamuk di Kepala Batas


 
ARKIB : 09/05/2009
PEMAIN Shahzan Muda, P. Rajesh (kiri) dihalang pemain Melaka, G. Krishnan dalam saingan bolasepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Melaka menang 3-1. - UTUSAN/ RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Pendahulu Liga Perdana, Johor membelasah SDM Kepala Batas 5-0 di Stadium Batu Kawan malam tadi untuk mengekalkan kedudukan itu daripada dirampas Harimau Muda.

Menyedari hanya kemenangan besar dapat meletakkan mereka terus berada di puncak liga, Johor kini memiliki perbezaan dan jumlah jaringan yang lebih besar iaitu 27 gol berbanding 24 gol yang dimiliki Harimau Muda.

Kedua-dua pasukan kini terikat 28 mata sama tetapi Harimau Muda yang menewaskan Johor 4-2 Isnin lalu masih bermain kurang satu perlawanan.

Harimau Muda turut mencatat kemenangan semalam dengan menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kekal di tangga kedua.

Skuad bawah 19 tahun negara itu mencatat kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan yang telah mereka lalui setakat ini.

Malah mereka muncul satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Kuala Lumpur juga menang semalam dengan jumlah jaringan yang sama mengatasi Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ini memberi kesempatan kepada mereka untuk menghampiri pasukan di tangga ketiga liga, T. Team dari Terengganu yang tidak turun beraksi semalam.

Kuala Lumpur kini mengumpul 18 mata daripada sembilan perlawanan manakala T. Team sudah pun mengumpul 21 mata daripada 10 perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AOJOifas
© Utusan Melayu (M) Bhd

Johor kalah tapi kekal pendahulu


ARKIB : 05/05/2009
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU – Rekod tanpa kalah Johor musim ini lebur dengan kekalahan 2-4 kepada Harimau Muda pada perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, semalam.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Nasir Yusof itu masih kekal di puncak liga menerusi kelebihan jumlah jaringan, namun Harimau Muda di tangga kedua yang turut mengumpul 25 mata sama masih bermain kurang satu perlawanan .

Benteng pertahanan skuad Jengking lebih dahulu dihukum pada minit ke-24 apabila Ahmad Shakir Mohd. Ali dengan mudah merembat masuk bola muntah dari dakapan penjaga gol Johor, Norazlan Razali.

Harimau Muda terus menguasai permainan dengan menambah jaringan pada minit ke-41 melalui rembatan jarak dekat pemain berusia 17 tahun, Gary Steven Robbat.

Gary terus menambah duka Johor apabila sekali lagi berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-43 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua, Johor bermula garang dan berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-52 menerusi sepakan percuma Norizam Salaman dari luar kotak penalti.

Namun, Ahmad Shakir sekali lagi menghukum benteng pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat dua minit selepas itu.

Walaupun ketinggalan tiga gol, Johor tidak berputus asa dan berjaya menambah jaringan menerusi sepakan penalti Azrine Affendy Sa'duddin(m-82).

T. Team pula terus mengekori rapat di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Proton FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Mohd. Harris Safwan Kamal melakukan hatrik dengan menjaringkan ketiga-tiga gol T. Team pada minit ke-28, 36 dan 75.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ANLNmsX6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Johor kukuhkan kedudukan di puncak


ARKIB : 14/04/2009
Johor kukuhkan kedudukan di puncak
 
CHRISTIE Jaya Seelan (kiri) terjatuh selepas cuba menghalang pemain Harimau Muda, Mohd. Shahrul Hafiz dalam perlawanan dalam Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Keputusan terikat 1-1. - UTUSAN/MOHD. NOOR AMIN

KUALA LUMPUR - Johor mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas membenam Sabah 2-1 pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Walaupun beraksi di gelanggang lawan, Johor yang dibimbing Nasir Yusof berjaya bangkit daripada ketinggalan selepas Zainizam Marjan meletakkan pasukan tuan rumah lebuh dulu di depan pada minit ke-55.

Dua gol dalam masa 10 minit menerusi Norizam Salaman (m-59, 69) meletakkan pemain itu sebagai wira Johor untuk memungut tiga mata penuh.

Kemenangan itu membolehkan Johor mengumpul 25 mata sekaligus menjarakkan diri dengan pasukan di tempat kedua liga, Harimau Muda yang sekadar seri 1-1 dengan PKNS di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pasukan bawah 19 tahun negara itu lebih dulu membuka jaringan menerusi Ahmad Shakir Md. Ali (m-54) sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Christie Jaya Seelan (m-74).

Keputusan itu menyaksikan Harimau Muda kini ketinggalan tiga mata di belakang Johor tetapi masih mempunyai kurang satu perlawanan.

Shahzan Muda pula menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Abd. Rahim Abd. Kadir menjaringkan dua gol selang seminit (m-54, 55) untuk Shahzan sebelum Azizul Kamaluddin melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-66.

Lain-lain keputusan, Kuala Lumpur mengatasi Sarawak 4-2, Proton menang 3-0 ke atas Melaka dan T-Team menewaskan SDM Kepala Batas 4-1.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A9rrCpJ7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Johor bertahan di puncak Liga Perdana


ARKIB : 04/04/2009
KUALA LUMPUR - Johor yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Nasir Yusof terus mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas membenam cabaran Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam.

Dua jaringan menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-36) dan Azrine Affendy Sa'duddin (m-45) sudah cukup untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam lapan perlawanan setakat ini.

Bagi Kuala Lumpur pula, ia merupakan kekalahan pertama mereka musim ini daripada tujuh perlawanan yang telah diharungi.

Mengekori rapat Johor adalah Harimau Muda yang turut mencatat kemenangan semalam ke atas T. Team 1-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Gol kemenangan pasukan bawah 19 tahun kebangsaan itu dijaringkan Izad Faris Ramlan (m-82) sekali gus turut memusnahkan rekod tanpa kalah T. Team musim ini.

Harimau Muda (21 mata) bagaimanapun masih bermain kurang satu perlawanan berbanding Johor (22 mata).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A7AUIwun
© Utusan Melayu (M) Bhd