Rabu, 14 September 2016

Johor tawar kontrak baru lebih awal

ARKIB : 19/08/1998
JOHOR tidak akan menunggu sehingga penghujung musim bagi menawarkan kontrak kepada para pemain yang kontrak masing-masing tamat hujung tahun ini.

Sebaliknya, juara baru Piala FA itu, telahpun menawarkan kontrak baru kepada pemainnya, menyedari sesetengah negeri sudahpun mengintai mereka.

Antara mereka yang telah ditawarkan kontrak baru ialah Darren Stewart dan Milan Blagojevic, kedua-duanya dari Australia. Mereka berdua ditawarkan kontrak baru oleh pengurus pasukan Ahamad Mohamed sejurus selepas Johor menumpaskan Sabah 1-0 di Kota Kinabalu Sabtu lepas bagi memenangi Piala FA.

Blagojevic menyumbatkan gol tunggal kemenangan bagi Johor pada minit ke-31 bagi membolehkan pasukannya menjulang Piala FA buat pertama kali.

Ahamad juga mengumumkan semalam bahawa Johor juga telah mengikat penjaga gol Omar Salim berikutan persembahan cemerlangnya pada perlawanan akhir itu. Pemain berusia 32 tahun itu juga bermain untuk Johor pada perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia setelah pilihan pertama Hasbullah Fatah cedera pada pusingan pertama.

Meskipun dia menghabiskan kebanyakan masa di bangku pemain simpanan, Ahamad berkata Omar adalah adalah setanding dengan Hasbullah.

''Dia bermain bagitu baik pada perlawanan akhir Piala FA dan kami menawarkannya kontrak baru,'' katanya.

Menurut Ahamad kontrak kebanyakan pemain Johor yang ditandatangani awal tahun ini aadalah antara dua hingga empat tahun. Hanya Stewart dan Blagojevic mempunyai kontrak setahun.

Johor gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia setelah tewas 1-2 mengikut kiraan agregat kepada Kuala Lumpur. Johor menduduki tempat kedua dalam Perdana Dua. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KHCwOsdy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan