Ahad, 25 November 2018

Johor FC tamatkan saingan Piala AFC


ARKIB : 20/05/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC menamatkan saingan Piala AFC apabila tewas 0-1 kepada PSMS Medan di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Kekalahan itu meletakkan Johor FC di tangga tercorot Kumpulan F selepas mengumpul satu mata daripada enam perlawanan manakala PSMS Medan yang selesa dengan 13 mata mengiringi wakil Hong Kong, South China ke suku akhir.

PSMS Medan mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol tunggal minit ke-66 menerusi rembatan jarak dekat Mitchell Leonardo yang menerima bola daripada Nyoman Adnyana.

Namun, pasukan kendalian Ramlan Rashid terlebih dahulu mengasak pertahanan lawan apabila Zulindra Shah Putra Adam melakukan percubaan pada minit ke-18 hasil umpanan Sumardi Hajalan, namun percubaannya tersasar.

Meskipun tanpa kelibat bekas pemain import pasukan Selangor, Elie Aiboy, PSMS Medan tetap cemerlang mengatur gerakan sehingga berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Johor FC.

Skuad Lebah yang mempamerkan permainan kemas sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-33, namun bola rembatan Fahruzzahar Ali sekadar melepasi palang gol.

Pada minit ke-41 pasukan pelawat hampir mengejutkan tuan rumah melalui rembatan kencang Nyoman Adnyana tetapi dikekang pertahanan Johor FC.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5XvC4zp4g
© Utusan Melayu (M) Bhd