Selasa, 18 April 2017

Johor kuasai kedudukan mata

ARKIB : 19/04/2004
DUA pasukan dari Johor, Johor FA dan Johor FC menguasai carta liga Kumpulan A dan B bola sepak Liga Perdana selepas mengatasi pasukan lawan masing-masing, semalam.
Pasukan negeri, Johor melonjak ke tangga teratas Kumpulan B selepas mengejutkan pendahulu dan juara Piala Malaysia musim lalu, MPPJ Selangor 2-0 di Johor Bahru.
Johor FC pula terus mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan A selepas menang 1-0 ke atas PKNS Selangor di Selayang.
MPPJ gagal mempertahankan kedudukan tangga teratas dan rekod tanpa kalahnya selepas gagal mengekang kegarangan Johor dalam pertarungan antara dua pasukan teratas itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru.
Johor yang sebelum ini menduduki tangga kedua, kini mengumpul 12 mata, hanya satu mata di depan MPPJ.
Pemain import Johor, Daniel John Watkins muncul wira Si Jengking apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-11 dan 22 untuk meleburkan rekod tanpa kalah MPPJ.
Ia juga kemenangan ketiga Johor selepas enam perlawanan sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan.
Terengganu mencatat kemenangan pertama dalam bola sepak Liga Perdana Kumpulan B selepas mengatasi Melaka 3-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Md. Shahrul Ezrain membuka jaringan untuk skuad Penyu pada minit ke-20 sebelum pemain import, Alfa Potowadawi menggandakan jaringan lima minit kemudian.
Potowadawi menemui sentuhan keduanya di depan gawang pada babak kedua minit ke-70 untuk menutup malam manis Terengganu dengan kemenangan 3-0.
Terengganu sebelum ini mencatat lima seri dan satu kalah untuk pasukan itu mengumpul tujuh mata selepas enam perlawanan.
Pasukan negeri, Kuala Lumpur dikecewakan oleh kelab, MK Land Selangor dengan kekalahan 3-2 dalam aksi di Stadium Selayang.
Marlon James mencatat hatrik pada minit ke-43, 50 dan 78 dan dua gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh S. Sunder pada minit ke-38 dan S. Saravanan 89.
Ia merupakan kemenangan kedua MK Land selepas lima perlawanan untuk mengumpul lapan mata.
Di Stadium Selayang, jaringan pada lima minit terakhir perlawanan oleh Walter Silva memberikan kemenangan buat Johor FC ke atas PKNS Selangor.
Ia juga adalah pertarungan antara dua pasukan teratas dan kemenangan memihak kepada Johor FC yang gagah di tangga teratas Kumpulan A dengan 16 mata.
Di Stadium Hang Tuah, Telekom Melaka terus mengecewakan Selangor dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Janef Erik pada minit kelima dan Azlan Ahmad (38).
Di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Tentera membelasah pasukan tangga terbawah Kumpulan A, JPS Kelantan 4-1.
Penyerang Tentera, Mohd. Nazri Akui menjadi wira pasukan apabila menyumbat dua gol iaitu pada minit ke-39 dan ke-85.
Dua gol lagi dijaringkan oleh Alphonsus Michael pada minit ke-49 dan oleh penyerang import Edmond Kingston di minit ke-69.
Gol tunggal JPS Kelantan dijaringkan oleh Md Shukri Che Mat pada minit ke-45 melalui rembatan kencangnya.

Isnin, 3 April 2017

Johor, Kelantan tumbang - Public Bank buktikan lagi



ARKIB : 10/08/2003 
JUARA Perdana Dua, Public Bank mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua playoff bola sepak Liga Super selepas merakam kemenangan agregat 6-4 biarpun aksi kedua pusingan pertama menentang Johor di Stadium Larkin semalam berkesudahan seri 3-3.

Kemenangan barisan pasukan E. Evalarasan itu sudah tergambar lebih awal apabila mendahului 3-0 menerusi jaringan dua pemain importnya, Ivan Ziga dan Milan Strelec.

Ziga menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-36 dan menambah jaringan kedua pada minit ke-42.

Strelec menambah derita Johor yang dibimbing bekas jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang dengan gol ketiga Public Bank lima minit selepas babak kedua bermula.

Biarpun peluang Johor agak tipis selepas kekalahan di Selayang, skuad Jengking masih berusaha sedaya upaya untuk mencari gol.

Mereka bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan gol pertama enam minit kemudian menerusi P. Gunasekaran sebelum Mohd. Farid Idris dan Juric Ante menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-73 dan 90.

Bagaimanapun, kebangkitan itu sudah terlewat buat Johor yang terpaksa menyerahkan kemenangan kepada Public Bank.

Di Stadium Hang Tuah di Melaka, Sarawak menepati status selaku pasukan negeri apabila mengesahkan kemaraan dengan kemenangan agregat 4-2 selepas menang 1-0 ke atas Telekom Melaka pada perlawanan kedua.

Sapian Wahid menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-23.

Bagaimanapun, Telekom Melaka terpaksa bermain sepuluh orang pada pertengahan babak pertama dan sepanjang bbak kedua selepas Affandi Lokman diperintah keluar padang kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-36.

Johor FC turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Kelantan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi yang sengit di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Kelantan dan Johor FC terpaksa bertarung dalam masa tambahan selepas skuad Kijang berjaya menyamakan kedudukan agregat 1-1 menerusi gol jaringan Badrul Afzan Razali pada minit ke-72.

Johor FC menang 1-0 pada perlawanan pertama di Stadium Pasir Gudang.

Bagaimanapun, masa tambahan masih gagal mencari pemenang sehingga ditentukan menerusi penalti.

Public Bank akan bertemu Johor FC pada pusingan kedua manakala Sarawak menunggu pemenang antara Negeri Sembilan dengan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

Perlawanan antara Negeri Sembilan dengan MPPJ akan berlangsung malam ini di Stadium Hang Tuah, Melaka.

MPPJ memiliki bekalan selesa untuk ke pusingan kedua selepas menang besar 4-1 pada perlawanan pertama di Kelana Jaya, Rabu lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dCMgg8FC
© Utusan Melayu (M) Bhd