Jumaat, 31 Mac 2017

Johor terus kekal pendahulu Liga Perdana Dua



ARKIB : 26/05/2003
JOHOR memperkukuhkan kedudukannya di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan Kelantan JPS 3-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di Kota Bharu, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Johor mengumpul keseluruhan 32 mata manakala Kelantan JPS kekal dengan 14 mata.

Gol-gol Johor dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Daniel John Watkins seawal minit ke-3 melalui sepakan mudah tetapi mengelirukan penjaga gol, Wan Kamarulzaman Mohamad.

Kesilapan pertahanan pasukan tuan rumah, Syamsul Rizal Razali ketika menampan bola akhirnya membawa padah apabila menyumbat gol sendiri pada minit ke-27.

Gol ketiga pasukan bimbingan Karl Heinz Weigang disempurnakan oleh L. Ragesh pada minit ke-42 manakala jaringan tunggal Kelantan JPS menerusi pemain importnya, Popson Nii Armarh pada minit ke-75.

Di Stadium Perak, tuan rumah TKN Perak gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 4-3 kepada polis.

Polis memperoleh gol menerusi sepakan penalti Roslan Kamaruddin pada minit ke-15, David Anas (minit 25), Mohd. Izwan Baharuddin (minit 85) dan Mohd. Arif Fadilah (minit 88).

Gol TKN Perak pula dihasilkan Mohd. Zaidi Zamani pada minit ke-26 dan 82 serta jaringan gol sendiri pemain polis Theo Philus Amoo pada minit ke-43.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, tuan rumah Negeri Sembilan hanya mampu seri 2-2 dengan Public Bank Selangor.

Namun, Public Bank mengejutkan lawan apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Milan Stelec pada minit ke-4 dan S. Paidiya Rao pada minit ke-36.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Aiman Wong dan Azman Adnan, masing-masing pada minit ke-52 dan 39.

Satu lagi pasukan dari Kelantan turut tewas. Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei menewaskan TNB Kelantan 3-0.

Bagaimanapun, SKMK Kelantan seri 3-3 dengan MPPJ Selangor di Stadium Petaling Jaya.

Tentera pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Lumut.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cwyF7deD© Utusan Melayu (M) Bhd

SKMK, Johor catat seri



ARKIB : 29/04/2003
 
KELANTAN SKMK dan pendahulu liga, Johor terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata apabila seri 1-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Bahru, semalam.

Pasukan tuan rumah memiliki sekurang-kurangnya empat percubaan terbaik pada separuh masa pertama untuk menjaringkan gol namun percubaan mereka tersasar.

Penyerang import tuan rumah dari Thailand, Suriya Domtaisong bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan pada minit terakhir separuh masa pertama apabila sepakan lambungnya gagal ditampan penjaga gol Johor, Zamri Mat Arif.

Ketinggalan satu gol, Karl Heinz Weigang memasukkan kedua-dua pemain importnya - Gabriel Mendez Alejandro dan Daniel John Watkins bagi menyaingi corak permainan menyerang pasukan tuan rumah.

Usaha mereka berhasil apabila Mohamed Farid Ideris berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-53 menerusi rembatannya daripada luar kotak penalti.

Dengan keputusan itu, Johor kini mengutip 26 mata manakala Kelantan SKMK 17 mata.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cuMdqhgX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 30 Mac 2017

Johor ungguli Perdana Dua



ARKIB : 10/04/2003
JOHOR terus mengungguli takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.

Gol Johor dihasilkan pemain importnya, Daniel John Wackles pada minit ke-54 untuk meletakkan Johor selaku pendahulu dengan mengumpul keseluruhan 22 mata selepas beraksi sembilan perlawanan.

MPPJ Selangor pula mengekori rapat Johor dengan menguasai tangga kedua selepas menewaskan tentera 2-0 di Stadium Petaling Jaya.

Azlan Meri menghasilkan gol pertama MPPJ pada minit ke-70 manakala Juan Manuel Arostegui menambah jaringan minit ke-76.

Dengan kemenangan tersebut, MPPJ terus mengekori rapat Johor untuk berada di tangga kedua selepas mengumpul keseluruhan 20 mata.

Di Stadium KLFA, Public Bank Selangor mengatasi Kuala Lumpur 3-0 sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-83 kerana lampu limpah rosak di stadium berkenaan.

Milan Frelec membuka tirai jaringan Public Bank pada minit ke-58 diikuti M. Elango pada minit ke-61 dan S. Paidiya Rao pada minit ke-69.

Sementara itu, di Stadium Perak, perlawanan di antara pasukan tuan rumah TKN Perak dengan JPS Kelantan terpaksa dihentikan pada minit ke-71 kerana kerosakan lampu limpah ketika TKN ketinggalan 2-1.

Sebelum itu, jaringan V. Dinesh pada minit ke-16 hanya menceriakan seketika pasukan TKN apabila selepas itu JPS Kelantan membalas gol menerusi Kamaruddin Hussin pada minit ke-38 dan Adnan Musa pada minit ke-61.

Perlawanan akan disambung semula petang ini.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, Kota Bharu, SKMK Kelantan berkenduri gol apabila membelasah TNB Kelantan 5-0.

Perlawanan semalam turut menyaksikan pemain TNB Kelantan, Norazam Mohamad dilayangkan kad merah pada minit ke-42 manakala jurulatihnya, Kamaruddin Mohd. Noor diperintah pengadil Mohd. Rosli Abdul Halim keluar padang kerana mengkritik keputusan pengadil.

Dua pemain import SKMK Kelantan dari Thailand turut menyumbang tiga gol. Dua gol jaringan Kaveepun Taveebut pada minit ke-8 dan 75 manakala satu lagi oleh Suriya Domtaisong pada minit ke-85.

Pemain tengah Zool Ihsan Yunus turut menyumbat gol minit ke-26 manakala Mohd. Azli Mahmood pada minit ke-39.

Di Bandar Seri Begawan, Mohamad Brian Iman Abdullah menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan Polis 1-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Brunei yang mengejutkan pendahulu liga, Johor dengan kemenangan 1-0 di Johor Bahru sebelum ini, bermula dengan agresif bagi mengembalikan keyakinan penyokong tuan rumah selepas tewas 1-0 di tangan Tentera pada 2 April lalu.

Bagaimanapun tiada gol dapat disaksikan pada separuh masa pertama.

Rentak permainan tidak banyak berubah pada separuh masa kedua sehinggalah Mohamad Brian menjaringkan gol pada minit ke-71.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4csr5VISP
© Utusan Melayu (M) Bhd