Selasa, 29 November 2016

Skuad Johor FA pincang

ARKIB : 01/04/1999
SKUAD Johor FA pincang pada pertemuan menentang Telekom Melaka, esok selepas penyerangnya, Idris Karim tidak diturunkan akibat patah tulang hidung ketika beraksi menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Jumaat lalu.

RAJA JAAFAR RAJA ALI melaporkan, kecederaan itu memaksa Idris menjalani pembedahan selama dua jam di Hospital Pakar Johor, semalam dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama 10 hari sebelum dapat turun beraksi semula.

Johor FA yang akan menjadi tuan rumah pada pertemuan esok meletakkan harapan kepada Idris untuk menyumbangkan gol selepas tewas kepada Johor FC, 1-0 di Stadium Pasir Gudang dan seri 1-1, tetapi tewas dengan sepakan penalti di Kelantan dengan agregat 3-2.

Jurulatih Steve Darby berkata, posisi Idris akan diisi oleh seorang lagi pemain berbisa Johor FA, M. Chandran dalam memantapkan lagi gerakan penyudah di gawang lawan.

Dia yang ditemui di hospital itu ketika melawat Idris menambah, ketiadaan Idris mungkin mencacatkan posisi utama ini, tetapi Johor FA mempunyai beberapa pemain lain yang mampu memberikan cabaran kepada Telekom Melaka.

Sementara Idris yang masih keletihan sebaik menjalani pembedahan di bahagian hidungnya berkata: ''Saya merasa sedih kerana tidak dapat turun menentang Telekom Melaka dan berharap pemain dapat beraksi dengan baik untuk mengutip tiga mata.''

Mengulas kemalangan itu, Idris menjelaskan ia berlaku ketika cuba berusaha menanduk bola ke gawang, tetapi seorang pemain Kelantan tanpa diduga menanduk hidungnya dan menyebabkan darah mengalir.

''Saya terus beraksi, tetapi selepas tamat permainan, barulah saya merasa sakit dan menyedari hidung saya patah,'' katanya yang ditemui di hospital itu, semalam.

Idris menambah, jika dia sihat, doktor akan membenarkannya keluar dari hospital sama ada hari ini atau esok dan berehat di rumah.

Johor FA kini berada di tempat keenam Perdana Dua selepas mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kalah dengan mengutip empat mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RPLPveU9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 November 2016

Johor harapkan Hashim, Rosdee

ARKIB : 22/03/1999
JOHOR meletakkan harapan ke atas dua tonggak utamanya, Hashim Mustapha dan Rosdee Sulong untuk memperoleh mata penuh apabila menentang Johor FC dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua yang dianggap pertemuan 'adik-beradik' di Stadium Larkin, Johor, malam ini.

Pengurus pasukan, Ahmad Mohamed berkata, gandingan dua pemain serta sokongan pemain-pemain lain mampu memberikan harapan kepada Juara Piala FA untuk mengutip tiga lagi mata.

Katanya, kejayaan menewaskan NS Chempaka pada perlawanan pertama merupakan petanda baik bagi Johor mengharungi musim ini.

Bagaimanapun, perjalanan masih jauh dan komitmen yang lebih tinggi daripada para pemain amat diperlukan.

Beliau memberitahu, pemain-pemain Johor telah bermain dengan baik walaupun berjaya menewaskan NS Chempaka tetapi perlawanan itu tidak sehebat semasa bertemu Perak dalam Piala Sumbangsih lalu.

Sementara itu, jurulatih Johor FC, Ronald Smith berharap, barisan pemain mudanya akan meningkatkan permainan apabila bertemu Johor berbanding ketika menentang Kelantan di mana Johor FC tewas 3-5 menerusi penalti selepas seri 0-0 dalam permainan sebenar.

Beliau memberitahu, dengan peraturan baru tendangan penalti itu, usaha menyumbatkan seberapa banyak gol perlu dilakukan bagi mengelakkan tendangan penalti.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4QLYgNFxi © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 16 November 2016

Perak, Johor buka persaingan

ARKIB : 14/03/1999
WAN Hashim (kanan) dan Mosthakeen Omar (kiri) berbincang sesuatu sambil diperhatikan oleh dua pegawai bola sepak Kelantan di Kota Bharu semalam.

BIARPUN masing-masing beraksi dalam bahagian liga yang berbeza, pertembungan Perak dengan Johor pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Perak, Ipoh malam ini dianggap penentu awal kedua-dua pasukan dalam mengharungi kancah bola sepak Liga Malaysia, musim ini.

Perak beraksi dalam Perdana Satu manakala Johor dalam Perdana Dua tetapi masing-masing mahu memburu kemenangan merebut piala sulung itu, piala yang dianggap memberi ''nafas pemula'' untuk menghadapi kempen mencabar.

Kedua-dua pasukan tidak akan bertemu sepanjang aksi Liga Perdana musim ini tetapi kebarangkalian mereka bertarung lagi ialah dalam Piala FA atau Piala Malaysia.

Apa pun, pertarungan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan taktik dan teknik dua jurulatih asing yang diiktiraf berwibawa.

Karl Heinz Weigang dan Steve Darby sebenarnya bersaing dari segi itu, yang mungkin musim ini menggunakan pendekatan baru menghadapi Liga M, dan Piala Sumbangsih adalah ujian pertama masing-masing.

Weigang, jurulatih dari Jerman, menamatkan kemarau 28 tahun Perak merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu, yang ketika itu dibimbing jurulatih kebangsaan ketika ini Abdul Rahman Ibrahim, 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Disember lalu.

Kejayaan manis itu pasti dijadikan inspirasi buat Weigang dan pemain-pemain skuad Seladang untuk mengekalkan prestasi dan reputasi cemerlang mereka musim ini.

Manakala Darby yang membimbing Johor merangkul Piala FA, sudah tentu mempunyai misi serupa Weigang, memastikan skuad Jengking menjulang Piala Sumbangsih sebagai tanda bahawa mereka benar-benar serius memastikan kebangkitan pasukan, musim ini.

Johor, juara Piala Malaysia 1985 dan 1991, beraksi pada perlawanan Sumbangsih kali pertama pada 1986, menewaskan Singapura menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 pada permainan biasa.

Johor gagal mengulangi kejayaan merangkul piala itu pada 1992 apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

Berdasarkan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam Piala FA musim lalu, rekod Johor, yang menewaskan Sabah 1-0 di Likas pada perlawanan akhir Piala FA, dengan Perak memang memihak kepada skuad selatan itu.

Pasukan Darby menang 3-1 pada perlawanan pertama suku akhir tetapi tewas 1-2 di tempat sendiri tetapi sudah cukup bagi Johor mara ke separuh akhir dengan agregat 4-3.

Dengan barisan pemain yang ada, tidak syak barisan pemain Johor di bawah pengurusan Ahamad Mohamed lebih berwibawa kerana mempunyai ramai bekas pemain kebangsaan - Azmil Azali, Rizal Sukiman, Rosdee Sulong dan Idris Karim.

Keseriusan Johor musim ini jelas apabila mereka mengambil tiga lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustapha dari Kelantan, Liew Kim Tu dan M. Chandran dari Kuala Lumpur.

Begitu pun, walau tanpa pemain berstatus bintang kebangsaan, Perak tetap dilihat berbahaya dengan adanya barisan pemain negeri yang membantu Perak merangkul Piala Malaysia musim lalu seperti V. Saravanan, Lim Seng Kong, Azrul Amri Burhan dan Roslan Hamid.

Skuad di bawah pengurusan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar itu tidak ketinggalan memantapkan pasukan apabila turut mengambil pemain baru, bekas pemain kebangsaan Shamsurin Abdul Rahman dari Sarawak, penyerang lincah Kuala Lumpur, Meor Nor Shamsul Kamal dan pemain tengah, Azlan Meri.

Ditambah dengan sokongan padu yang bakal diterima daripada penyokong sendiri di Stadium Perak, skuad Seladang itu sebenarnya menjadi pilihan untuk merangkul Piala Sumbangsih ini.

Apa pun, pertarungan merebut piala yang dipertandingkan sejak 1986 ini adalah sebagai tanda bahawa kempen menarik Liga Malaysia 1999 yang kini tanpa bintang-bintang import, bermula dengan rasminya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA5o1UxW © Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/03/1999
Singa Utara sudah dapat keyakinan baru
PERLIS menganggap kejayaan pertama pada perlawanan pembukaan bola sepak Piala FA, Selasa lalu memberikan keyakinan baru bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar dalam Perdana Dua yang bermula 19 Mac ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Jurulatih pasukan Perlis, Tajudin Nor berkata, semangat para pemain yang dibimbingnya kini semakin tinggi selepas menewaskan Tentera 3-1 pada pertemuan pertama, Selasa lalu.

''Kemenangan itu menjadi suntikan baru kepada pemain-pemain Perlis untuk berjuang dalam Liga Malaysia dan Piala FA,'' ujarnya.

Menurut Tajudin, beliau mengharapkan barisan pemain muda Perlis dapat meningkatkan prestasi mereka untuk memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya selepas ini.

Pada masa yang sama, Tajudin menyeru para pemain utama agar berusaha mengelakkan kecederaan serius.

Beliau berkata, kecederaan mungkin hanya menjejaskan rentak dan strategi yang diatur dalam sesi latihan sebelum ini.

''Saya hanya mengharapkan agar kesebelasan pemain Perlis dapat beraksi dalam setiap perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA tanpa mengalami kecederaan serius.

''Kecederaan pemain terbabit boleh menjejaskan persembahan seperti yang telah diatur dalam latihan sebelum ini,'' katanya ketika ditemui Sukan Utusan di Stadium Utama Kangar, semalam.

Tajudin yang juga bekas jurulatih Pahang dan Melaka berkata, beliau akan memastikan pemain-pemain simpanan Singa Utara itu mempunyai prestasi yang tidak kurang hebatnya dengan para pemain utama.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan turut memberi penekanan kepada pemain-pemain simpanan dalam latihan supaya jarak dan tahap prestasi mereka tidak jauh daripada pemain- pemain utama lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4QA4NuaxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Jengking sedang cari pengganti Azmi

ARKIB : 04/02/1999
SKUAD Jengking akan mencari pemain bagi menggantikan bekas pemainnya, Azmi Mohamed yang telah berhijirah ke Negeri Sembilan bagi Liga Malaysia musim ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih Jengking, Steve Darby berkata, seorang pemain yang berwibawa akan dicari bagi digandingkan dengan Rosdee Sulong di bahagian serangan.

Bagaimanapun, katanya, pemain yang akan dipilih di kalangan skuad Johor itu akan dilakukan sekiranya Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) gagal mendapatkan khidmat pemain dari negeri lain.

"Ini bermakna, PBNJ akan berusaha mendapatkan khidmat dari pemain negeri lain dan sekiranya usaha itu gagal, pemain dari skuad yang akan dipilih bagi menjalankan tanggungjawab tersebut," katanya.

Darby berkata, sekarang ini beliau sudah mengenal pasti beberapa pemain yang berkemampuan menanggung tanggungjawab tersebut melalui sesi latihan yang diadakan.

Katanya, beliau akan tunggu dan lihat usaha PBNJ untuk mendapatkan khidmat pemain dari negeri lain dan sekiranya PBNJ tidak berkemampuan, pihaknya tidak ada pilihan lain selain memilih pemain dari skuad Jengking sendiri.

Beliau sebelum ini, mengharapkan Azmi dan Rosdee untuk menjalankan tanggungjawab di bahagian serangan pada musim ini memandangkan kedua-dua pemain itu mampu berganding pada musim lalu.

Katanya, pada musim lalu kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan khidmat pemain import, Darren Stewart untuk ditempatkan di barisan hadapan.

Beliau memberitahu, dengan penghijirahan Azmi, pihaknya akan mencari alternatif lain dalam usaha menyusun strategi skuad Jengking bagi menghadapi perlawanan musim ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PsRDhp8u © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

Jengking panggil 5 pemain pelapis

ARKIB : 30/01/1999
LIMA pemain Piala Presiden Johor berpeluang menyarung jersi skuad Jengking pada saingan Liga Perdana Dua musim ini, yang akan bermula Mac depan, lapor ISHAK SALLEH.

Mereka ialah penjaga gol, K. Ganesh, pemain tengah, Nazaruddin Zakariah dan tiga penyerang iaitu Law Seng Chong, Eddy Helmi dan Ahmad Tharmimi.

Jurulatih Johor, Steve Darby berkata, kelima-lima pemain itu dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad senior sejak Isnin lalu.

Katanya, walaupun berumur di antara 19 hingga 20 tahun mereka amat berbakat dan berpotensi menyarung jersi negeri.

Menurut Darby, setakat ini kelima-lima pemain terbabit menunjukkan kesungguhan serta berupaya membaca corak permainan dan mampu bergerak untuk membantu jentera serangan.

Kata Darby lagi, dia tidak teragak-agak menyenaraikan kelima-lima pemain terbabit dalam skuad senior, jika mereka berjaya mempamer aksi memberangsangkan dalam masa terdekat.

''Apa yang paling penting sekarang ialah menentukan barisan utama yang akan membawa cabaran Johor pada Liga Malaysia musim ini,'' katanya.

''Kita mempunyai tugas berat iaitu melepaskan skuad ini daripada berada dalam Perdana Dua dan seterusnya melangkah ke Piala Malaysia,'' katanya lagi.

Menurut Darby, pemain senior perlu menunjukkan komitmen mereka sama ada pada sesi latihan ataupun perlawanan persahabatan yang bakal diadakan.

Katanya, jika mereka gagal membuktikan kemampuan dan kesungguhan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk mengetepikan mereka.

Sementara itu, Johor akan mengadakan perlawanan persahabatan sebelum pentas Liga Perdana bermula pada 13 Mac.

Antara perlawanan persahabatan yang dirancang ialah menentang Pahang, Kedah, Selangor dan kelab Singapura, Home United.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PrgDlnto © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor masih harap kehadiran Azmi

ARKIB : 28/01/1999
KECUALI masalah berkaitan dengan penyerang Azmi Mohamed, semuanya beres bagi Johor sejak mereka mula berlatih Isnin lepas untuk cabaran Liga Perdana Dua tahun ini.

Jurulatih, Steve Darby masih lagi mengharapkan Azmi untuk membawa cabaran Johor walaupun bekas pemain antarabangsa itu dikatakan telah menandatangani kontrak dua tahun dengan pasukan Perdana Satu Negeri Sembilan.

Juara Piala FA itu masih mengharapkan Azmi untuk memperbaharui perkongsiannya dengan Rosdee Sulong, seorang lagi bekas pemain antarabangsa, tetapi kecewa kerana Azmi menyertai Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Darby lebih dari gembira dengan prestasi yang dipamerkan setakat ini oleh pemain baru M.Chandran dan Liew Kim Tu, kedua-duanya dari Kuala Lumpur, dan kembalinya seorang lagi bekas pemain Johor, Jasmi Mohamed dari Sarawak.

''Setakat ini semuanya baik. Nampaknya terdapat kemahuan yang bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh para pemain. Chandran dan Kim Tu mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama saya bagi musim ini,'' kata Darby.

Johor telah merujuk kes Azmi kepada FA Malaysia kerana mereka berpendapat surat tawaran untuk dua tahun yang ditandatangani tahun lepas adalah dokumen undang-undang dan sah.

Pada sebaliknya, Azmi menandatangani kontrak hanya untuk setahun dengan Johor yang tamat pada akhir musim lepas.

Berasaskan ini, Azmi berpendapat beliau bebas dan kembali ke Negeri Sembilan, bekas pasukannya bagi tiga musim sehingga 1997.

''Saya masih berharap Azmi akan dapat menyertai kami. Daripada apa yang saya telah dimaklumkan, surat tawaran dua tahun itu adalah dokumen yang sah dan terikat,'' kata Darby.

Johor bersungguh-sungguh untuk menang juara Perdana Dua musim ini selepas kalah kepada Terengganu tahun lepas. Hanya juara Perdana Dua dan enam pasukan pertama daripada Perdana Satu yang secara automatik akan mendapat tempat dalam Piala Malaysia. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PrOzWQcz © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor tingkatan disiplin

ARKIB : 24/01/1999
JOHOR ingin mendapatkan kejuaraan bola sepak liga Perdana Dua tahun ini yang bukan sahaja bererti peningkatan ke liga Perdana Satu tetapi juga kelayakan automatik untuk pertandingan Piala Malaysia.

Jurulatih Johor Steve Darby sedar tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan dan oleh itu beliau mengambil pendirian tegas soal disiplin dalam pasukan.

Para pemain telah diberi amaran mereka akan didenda atau dipotong gaji jika mereka memberi alasan tidak munsabah kerana tidak menghadiri sessi latihan.

''Tiada pemain dibenarkan menarik diri dari sessi latihan melainkan beliau cedera atau sakit. Untuk ini, mereka perlu mengemukakan surat doktor,'' katanya.

''Jika ada pemain yang gagal menghadiri latihan sessi pagi dan kemudiannya hadir di sessi petang dan memberi alasan seperti terlebih tidur atau hanya tidak mahu berlatih, maka mereka akan menerima padahnya.''

Johor memulakan latihan esok dengan beberapa muka baru dalam pasukan itu.

M. Chandran dan Liew Kim Tu dari Kuala Lumpur, Jasmi Mohamed dari Sarawak dan Othman Katmon dari Negeri Sembilan merupakn empat muka baru dalam pasukan itu yang menjuarai Piala FA tahun lalu. _ Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PqfQemfT © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Johor atur latihan corak laju

ARKIB : 12/01/1999
JUARA Piala FA, Johor akan memulakan latihan peringkat kedua ala Inggeris sebaik sahaja selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 23 Januari ini dengan memberikan tumpuan kepada kelajuan, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatihnya, Steve Darby berkata, latihan ituakan mencontohi corak latihan ala Inggeris dengan melibatkan perlawanan lima sebelah, tujuh sebelah dan sebelas sebelah.

Katanya, corak latihan seperti itu juga dilakukan oleh pasukan Spanyol dan juga Itali serta bercadang untuk melakukannya ke atas Jengking.

Beliau memberitahu, corak ala Inggeris itu mampu dilakukan oleh skuad Jengking memandangkan kejayaannya dalam Piala FA musim lalu dibawah bimbingannya.

Darby yang berlepas ke Liverpool malam semalam memberitahu, dia akan melihat corak latihan pasukan Reds dan Blackburn Rovers di bawah jurulatih baru, Brian Kidd.

Katanya, semasa di sana, beliau juga akan melihat pasukan Blackburn beraksi dalam Liga Inggeris serta melihat permainan penjaga gol, John Filin yang pernah dilatihnya.

Darby berkata, matlamat utamanya ialah untuk menjuarai Perdana Dua dan mempunyai barisan yang boleh menjalankan tanggungjawab tersebut.

Beliau juga berkata, kehadiran pemain-pemain baru dalam skuad Jengking boleh membantu impian skuad itu untuk mencapai kejayaan dalam Liga Malaysia musim ini.

Tiga pemain baru yang akan menyertai Jengking musim ini ialah bekas pemain antarabangsa, M. Chandran dan Liew Kim Tu yang pernah bermain untuk Selangor serta bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Othman Katom.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Pi8VLlHv © Utusan Melayu (M) Bhd