Selasa, 29 November 2016

Skuad Johor FA pincang

ARKIB : 01/04/1999
SKUAD Johor FA pincang pada pertemuan menentang Telekom Melaka, esok selepas penyerangnya, Idris Karim tidak diturunkan akibat patah tulang hidung ketika beraksi menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Jumaat lalu.

RAJA JAAFAR RAJA ALI melaporkan, kecederaan itu memaksa Idris menjalani pembedahan selama dua jam di Hospital Pakar Johor, semalam dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama 10 hari sebelum dapat turun beraksi semula.

Johor FA yang akan menjadi tuan rumah pada pertemuan esok meletakkan harapan kepada Idris untuk menyumbangkan gol selepas tewas kepada Johor FC, 1-0 di Stadium Pasir Gudang dan seri 1-1, tetapi tewas dengan sepakan penalti di Kelantan dengan agregat 3-2.

Jurulatih Steve Darby berkata, posisi Idris akan diisi oleh seorang lagi pemain berbisa Johor FA, M. Chandran dalam memantapkan lagi gerakan penyudah di gawang lawan.

Dia yang ditemui di hospital itu ketika melawat Idris menambah, ketiadaan Idris mungkin mencacatkan posisi utama ini, tetapi Johor FA mempunyai beberapa pemain lain yang mampu memberikan cabaran kepada Telekom Melaka.

Sementara Idris yang masih keletihan sebaik menjalani pembedahan di bahagian hidungnya berkata: ''Saya merasa sedih kerana tidak dapat turun menentang Telekom Melaka dan berharap pemain dapat beraksi dengan baik untuk mengutip tiga mata.''

Mengulas kemalangan itu, Idris menjelaskan ia berlaku ketika cuba berusaha menanduk bola ke gawang, tetapi seorang pemain Kelantan tanpa diduga menanduk hidungnya dan menyebabkan darah mengalir.

''Saya terus beraksi, tetapi selepas tamat permainan, barulah saya merasa sakit dan menyedari hidung saya patah,'' katanya yang ditemui di hospital itu, semalam.

Idris menambah, jika dia sihat, doktor akan membenarkannya keluar dari hospital sama ada hari ini atau esok dan berehat di rumah.

Johor FA kini berada di tempat keenam Perdana Dua selepas mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kalah dengan mengutip empat mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RPLPveU9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan