Ahad, 12 Mac 2017

PBNJ senarai barisan muda 2001

ARKIB : 16/12/2000
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melakukan tindakan drastik dengan mengetepikan semua pemain bertaraf 'bintang' dalam menghadapi cabaran Liga Perdana musim depan.

PBNJ sebaliknya memberi kepercayaan kepada barisan pemain muda yang kurang berpengalaman bagi membawa cabaran skuad Jengking.

Presiden PBNJ, Tan Sri Muhammad Ali Hashim turut mengumumkan K. Sukumaran sebagai ketua jurulatih, Mazlan Hamid sebagai jurulatih manakala Nasir Yusof (penolong jurulatih) dan Ungku Ismail Abdullah (jurulatih penjaga gol) dengan dibantu oleh Omar Salim.

Menurutnya, kesemua pemain yang akan membawa cabaran Johor musim depan adalah anak jati Johor dan mereka rata-rata berusia 23 tahun.

''Tujuh pemain senior yang membantu Johor layak bertanding dalam Piala Malaysia musim lalu tidak disenaraikan kerana mereka gagal menghubungi PBNJ dan gagal menyatakan minat untuk bermain dengan Johor,'' katanya di Johor Bahru, semalam.

Tujuh pemain senior yang tidak disenaraikan musim depan ialah Azmil Azali, Bakhtiar Osman, Lim Kim Tu, Othman Katmon, Zaki Othman, R. Suresh dan Nazreen Tee Abdullah.

Para pemain berkenaan masih diberi peluang untuk menghubungi pihak PBNJ jika mereka berminat untuk menyarung jersi Johor kerana masih ada dua kekosongan.

Musim lalu, Johor mendapat bimbingan Wan Jamak Wan Hassan yang menggantikan Steve Darby selepas jurulatih dari Australia itu direhatkan pada penghujung musim ekoran prestasi tidak memuaskan.

Muhammad berkata, pasukan itu diyakini mampu memberi saingan kepada pasukan lain dalam Perdana Satu musim depan walaupun rata-ratanya tiada pengalaman.

PBNJ mahu membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Noh Jaafar akan bertindak selaku pengurus pasukan sementara Esa Mamek sebagai penolong pengurus.

''Pemain kali ini akan dibayar gaji dan bonus berdasarkan prestasi dalam setiap perlawanan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b7ToEP4U

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan