Ahad, 4 Disember 2016

Johor juara, Selangor turut ceria

ARKIB : 20/06/1999
JOHOR mengesahkan gelaran selaku juara Liga Perdana Dua apabila menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam, sekali gus menempatkan diri secara automatik ke Piala Malaysia selain kembali ke Perdana Satu musim depan.

Dua gol jaringan penyerang, Hashim Mustafa pada minit ke-30 dan 76 membolehkan Johor menjulang gelaran Liga Perdana Dua musim ini.

Gol pertama itu hasil hantaran silang Liew Kim Tu yang dirembat masuk oleh Hashim untuk menewaskan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Rosman sekali lagi terpedaya pada minit ke-76 apabila Hashim menyempurnakan hantaran Idris Karim untuk memastikan saingan ke Piala Malaysia.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, pasukan pelawat Selangor turut melayakkan diri ke Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Kelantan.

Kejayaan ini juga membolehkan skuad Merah Kuning yang juga bekas juara Piala Malaysia kembali ke persada Perdana Satu musim depan.

Rusdi Suparman menyumbang dua jaringan awal Selangor pada minit ke-19 dan 56, sebelum Fareed Shah Hassan menambah dua lagi jaringan, minit ke-84 dan 90.

Di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, pasukan pelawat NS Chempaka melakukan kejutan apabila menewaskan Johor FC 1-0.

Gol tunggal NS Chempaka hasil jaringan A. Ravichandran pada minit ke-50 meranapkan sama sekali impian Johor FC untuk muncul kelab pertama layak secara automatik ke Piala Malaysia, musim ini.

Begitupun, Johor FC yang mengisi kedudukan di tangga ketiga Perdana Dua masih berpeluang melayakkan diri jika mampu merebut salah satu daripada empat tempat pada peringkat play-off bersama tujuh lagi pasukan, termasuk empat dari Perdana Satu.

Di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Melaka menang menerusi sepakan penalti 5-4 ke atas Tentera selepas kedua-dua sekadar seri tanpa jaringan dalam masa penuh permainan.

Kemenangan ini membolehkan Melaka menduduki tangga keenam Perdana Dua, sekali gus mengisi slot terakhir ke persaingan play-off.

Di Stadium Kubu, Melaka, pasukan tuan rumah Telekom Melaka mengalahkan TNB Kelantan 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada 90 minit permainan.

Roslan Ismail mengejutkan penyokong tuan rumah apabila membuka tirai jaringan pada minit kelima permainan, sebelum Rosli Hashim menyamakan kedudukan untuk Telekom Melaka pada minit ke-65.

TNB sekali lagi mendahului apabila Mohd. Johari Ghazali berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-77, namun jaringan kedua Rosli dua minit kemudian kembali mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret permainan ke penentuan penalti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RvWF2m4U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan