Isnin, 19 Disember 2016

Kelantan, Johor menang bergaya



ARKIB : 22/04/2000
PEMAIN KL Malay Mail, Azizul Jamaluddin (kanan) mengawal bola daripada dicabar pemain NS Chempaka, Ahmad Shukri Mustaffa pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam yang berkesudahan seri 2-2.

PERTUKARAN gelanggang perlawanan dari Stadium Kubu, Melaka memberi tuah kepada pasukan tuan rumah, Johor FC apabila menewaskan Melaka 3-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Larkin, Johor, semalam.

Pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi Hairy Azli Mahamad pada minit ke-35 selepas dia memperdayakan seorang pemain pertahanan Melaka sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Zainal Rabin.

Dua minit sebelum itu, Melaka membuat satu percubaan melalui Shahril Nizam Khalil yang menanduk bola hasil tendangan sudut Rashid Mamud pada minit ke-33 tetapi tersasar keluar.

Gol kedua Johor FC diperoleh melalui pemain gantian, Mohd. Shahrul Ismail yang membuat larian solo dari sebelah kiri padang dan bola rembatannya menyaksikan Zainal tertewas buat kali kedua.

Johor FC terus mengasak kubu Melaka yang semakin tertekan dan pada minit ke-80, Harun Laban menyempurnakan gol ketiga Johor FC setelah hantaran dari Azni Ariffin muntah daripada tangkapan Zainal.

Di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bahru, Kelantan bermula garang di tempat sendiri selepas membenam Tentera 5-0.

Jaringan awal tuan rumah diperoleh seawal minit ke-15 menerusi penyerang Zul Ihsan Yunus yang mudah menolak bola masuk ke gawang lawan selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

Selang beberapa minit kemudian Kelantan berjaya mendapatkan tendangan penalti pada minit ke-17 hasil sepakan yang diambil oleh Zul Ihsan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Tentera, Arif Fadillah Aziz.

Kehampaan itu bagaimanapun tidak lama apabila empat minit kemudian tuan rumah berjaya mendapat gol sagu hati apabila bola sepakan Tuan Kamree Tuan Yahya menerjah ke jaring lawan selepas terkena kaki pemain Tentera, S. Ragu minit ke-19.

Tuan rumah yang bermain dengan cemerlang terus mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga menerusi tandukan pemain tengah Bahruddin Ali pada minit ke-40.

Derita Tentera bertambah parah apabila pemain muda Kelantan, Shahrudy Aziz menanduk bola sepakan sudut minIt ke-77.

Tuan Kamtree terus menghukum Tentera apabila menyempurnakan gol terakhir tuan rumah pada minit ke-86.

Sementara Tentera yang mempamerkan rentak permainan yang konsisten di awal permainan bagaimana pun gagal untuk mencipta jaringan gol apabila serangan pasukan itu sering dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah.

Sementara itu, Malay Mail Kuala Lumpur berkongsi mata lagi selepas seri 2-2 menentang NS Chempaka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Gol pasukan Malay Mail dijaringkan oleh Mohamad Sham Nor pada minit ke-25 dan 55 sementara NS Chempaka menerusi gol jaringan sendiri Mohd. Ishak kunju Mohd minit ke-32 dan S. Ramis dua minit sebelum tamat permainan.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TI11B3rw © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Disember 2016

Bola Sepak Piala FA -- Jengking yakin atasi Kedah Ansell

ARKIB : 17/03/2000
SKUAD Jengking yakin dapat menewaskan Kedah Ansell pada Piala FA, Sabtu ini di Stadium Larkin, Johor tetapi bimbang kerana empat pemainnya mendapat kad kuning semasa pusingan pertama di Kedah minggu lalu, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih, Steve Darby memberitahu, empat pemain itu ialah Roslan Hamid, Liew Kim Tu, Jasmi Mohamad dan Nazreen Tee Abdullah.

''Sekiranya mana-mana pemain mendapat satu lagi kad kuning, ia boleh menjejaskan perlawanan seterusnya terutama untuk berhadapan dengan Pahang,'' katanya.

Untuk itu, katanya, Johor perlu bermain dan memastikan memperoleh keputusan yang baik pada separuh masa pertama dan bertahan pada separuh masa kedua.

Beliau memberitahu, sekiranya keadaan itu berjaya dilaksanakan, pemain-pemain yang telah mendapat kad kuning sebelum ini akan direhatkan.

"Sekiranya formula itu tidak menjadi, kami tidak ada pilihan lain untuk menurunkan juga pemain-pemain tersebut dalam usaha mendapatkan kemenangan," katanya.

Pada perlawanan pusingan pertama menentang Kedah Ansell, Johor seri 1-1 dan Kim Tu telah menjadi penyelamat kepada pasukan Johor yang mendapat tentangan hebat Kedah Ansell.

Bagaimanpun, Darby yakin Johor mampu menewaskan Kedah Ansell untuk berhadapan dengan juara Liga Perdana Satu, Pahang dalam perlawanan seterusnya sekiranya Johor berjaya dalam perlawanan Sabtu ini.

Sementara itu, dua lagi pemain Piala Presiden yang akan bersama dengan skuad itu ialah Fuad Yusof dan Helmi Yusof, sebelum itu Yusrisham Yusof telah dimasukkan ke dalam skuad Johor tetapi tidak dapat diturunkan kerana pendaftarannya baru dilakukan. (Ketiga-tiga pemain itu tidak mempunyai pertalian persaudaraan)

Darby memberitahu, dia mempunyai 16 pemain yang handal sebagai kesebelasan utama bagi memastikan kejayaan.

Katanya, sekira pemain-pemain yang turun semasa menentang Kedah Ansell berjaya mengekalkan rentak itu, beliau yakin Johor tidak mempunyai masalah untuk mencipta kemenangan.

Pemain-pemain Johor diberikan cuti rehat, semalam sempena dengan sambutan Hari Raya Haji.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4T6qFPcH5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 15 Disember 2016

Kehadiran Roslan beri semangat baru pada Jengking

ARKIB : 22/02/2000
KEHADIRAN semula bekas ketua pasukan Johor, Roslan Hamid dalam skuad Jengking memberi harapan baru kepada jurulatih, Steve Darby untuk membawa pasukannya mengharungi musim baru cabaran bola sepak Liga Perdana yang bermula bulan depan.

Ia sekali gus menjadi pengganti kepada Idris Karim yang berhijrah ke Pahang pada musim ini.

Darby berkata, Roslan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan membanggakan sesuai dengan kedudukannya sebagai pemain tengah yang akan menjadi penggerak utama dalam skuad tersebut.

Katanya, pemain berpengalaman yang sebelum ini bermain untuk pasukan Perak itu juga mempunyai tahap kecergasan yang baik walaupun telah menjangkau usia 33 tahun.

Beliau memberitahu, Roslan juga telah menunjukkan permainan yang baik semasa perlawanan persahabatan dengan Telekom Melaka, Sabtu lalu.

Roslan yang berganding dengan Nazreen Tee Abdullah yang bermain untuk Terengganu dan Perlis sebelum ke Johor telah menunjukkan kombinasi yang baik dalam perlawanan itu walaupun tewas 1-2.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jengking akan mempunyai seorang lagi pemain baru iaitu Yusrisham Yusof yang telah memberikan khidmat di Kelantan sebelum ini.

Pemain yang berasal dari Johor itu telah bersama dengan skaud Jengking dalam sesi latihan di gimnasium pagi semalam yang telah diadakan di Stadium Larkin, Johor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SxCZNZkk © Utusan Melayu (M) Bhd

Roslan, Nazreen perkuat barisan Johor

ARKIB : 09/02/2000
JOHOR akhirnya mendapat pasukan yang boleh dihormati untuk cabaran bola sepak Liga Malaysia musim ini dengan kemasukan dua pemain berpengalaman.

Bekas ketua pasukan Roslan Hamid, yang sebelum ini bermain untuk Perak dan Nazreen Tee Abdullah, yang sebelum ini bermain untuk Terengganu dan Perlis akan menyertai pasukan musim ini.

Pengurus pasukan, Ahamad Mohamad berkata, dua pemain Piala Presiden, Low Seng Chong dan Zainuddin Zakaria telah dinaikkan pangkat ke pasukan senior.

Beliau berkata Johor sedang berusaha dapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan S. Karthigesan untuk menyertai skuad itu kali ini. Karthigesan sebelum ini bermain untuk Johor FC dalam Perdana Dua tahun lepas.

Pemain-pemain tersebut dipilih oleh panel pemilih yang terdiri daripada Ahamad, jurulatih Steve Darby, bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Hassan dan bekas jurulatih negeri Ahmad Isa dan Satar Khan semasa ujian pemilihan yang diadakan di Pasir Gudang bulan lepas.

''Dengan pemilihan pemain tersebut saya percaya Johor akan mampu memberikan cabaran dalam Perdana Satu musim ini,'' kata Ahamad.

Johor muncul juara Perdana Dua musim lalu di depan Selangor dan Johor FC. Begitu pun, skuad dari selatan itu gagal beraksi lebih baik dalam Piala Malaysia

Johor telah memulakan latihan mereka pada 23 Januari lepas. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuewZChO © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 Disember 2016

Idris masih di bawah kontrak Johor

ARKIB : 02/01/2000
JUARA Perdana Satu, Pahang tidak pernah menulis kepada Johor untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Idris Karim.

''Secara terus-terang, saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Saya cuma tahu menerusi laporan akhbar bahawa Idris akan mewakili Pahang bagi musim depan dan ia mengejutkan,'' kata Presiden Persatuan Bola Sepak Johor, Datuk Mohd. Ali Hashim.

Beliau berkata Idris masih di bawah kontrak Persatuan Bola Sepak Johor sehingga akhir tahun 2000.

''Saya terkejut kerana Pahang tidak pernah menulis kepada kami secara rasmi mengenai pemain berkenaan.''

''Pahang bebas menyuarakan apa sahaja. Tetapi bagi Johor, tidak benar bahawa Idris akan bermain untuk Pahang. Bagaimanapun, kami akan menemui pemain berkenaan untuk mengetahui butiran lanjut mengenai laporan media itu,'' kata beliau.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Jamal Nasir dilaporkan dalam beberapa akhbar sebagai berkata pasukannya telah mendapat khidmat Idris.

Beliau berkata Idris akan menandatangani kontrak sekembalinya dari Dubai kerana pasukan kebangsaan kini dalam lawatan ke Amiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, pengurus pasukan Johor Ahamad Mohamad berkata suntikan baru ke dalam skuad Johor kemungkinan akan dipilih dari Liga Johor dan tidak mencari pemain di luar negeri. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4So1niPTj © Utusan Melayu (M) Bhd

Jengking kurang peruntukkan

ARKIB : 30/12/1999
JOHOR yang melangkah ke Perdana Satu pada musim alaf baru Liga Perdana terpaksa menjerut pinggang disebabkan pengurangan peruntukan musim depan, lapor ISHAK SALLEH.

Menurut sumber yang layak dipercayai, skuad Jengking hanya diperuntukkan sebanyak RM1.5 juta berbanding RM2.7 juta pada musim lalu.

Selain daripada itu, elaun pemain juga akan dikenakan potongan dan keadaan itu tidak senangi oleh pemain-pemain Johor yang menggangapnya sebagai satu tindakan 'membunuh'.

Seorang pemain lama dalam skuad itu, berkata, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu menimbang semula keputusan-keputusan yang bakal diumumkan itu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Ahmad Mohamad berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penghijirahan pemain Jengking, Idris Karim ke Pahang.

Berita mengenai penghijirahan itu hanya diketahui melalui pihak media, katanya, pemain berkenaan dan juga persatuan bola sepak Pahang juga tidak memaklumkan kepada pihaknya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SnreS98N

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Disember 2016

Harapan Johor musnah

ARKIB : 01/11/1999
KEKALAHAN 2-0 Johor kepada Sarawak dalam perlawanan kumpulan B di Kuching kelmarin telah memusnahkan harapan juara Perdana Dua itu untuk ke separuh akhir Piala Malaysia.

Dengan kekalahan itu, Johor kekal tanpa sebarang kemenangan dalam semua empat perlawanannya di tempat lawan setakat ini.

Jurulatih Steve Darby berkata beberapa pemainnya tidak menunjukkan persembahan seperti yang dijangkakan tetapi beliau enggan menamakan mereka.

"Saya tidak suka menyalahkan pemain tetapi beberapa pemain saya menunjukkan persembahan buruk yang menyumbang kepada kekalahan kami. Tetapi pada masa yang sama Sarawak memang patut menang," kata Darby.

Sarawak merupakan pasukan penyerang yang baik, kata beliau sekembalinya dari Kuching semalam.

Jurulatih berbangsa Inggeris itu bagaimanapun berkata walaupun harapan ke separuh akhir itu sudah musnah, Johor akan terus mencari kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Johor akan berusaha untuk menang dalam semua perlawanan yang masih ada untuk menjaga maruah," katanya.

Johor akan bertemu Sabah di Stadium Larkin pada Selasa dan berharap untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dalam perlawanan kumpulan B Piala Malaysia.

Dalam tiga perlawanan di tempat sendiri setakat ini, Johor mengalahkan Sarawak 2-1 dan Kuala Lumpur 3-1 serta seri 1-1 dengan Pahang. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SXc2quKm © Utusan Melayu (M) Bhd

Rizal, Idris bakal kemudi gerak gempur Johor

ARKIB : 23/10/1999
SKUAD Johor mempunyai tugas berat untuk menjinakkan Pahang pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin malam ini, lapor AINOL AMRIZ ISMAIL.

Johor meletakkan harapan ke atas dua pemain utama sebagai penggempur iaitu Rizal Zamrey Yahya dan Idris Karim yang akan bertindak mengelirukan barisan Pahang.

Ini dinyatakan oleh jurulatih Johor, Steve Darby semasa ditemui selepas pasukannya menjalani latihan di stadium sama, petang semalam.

Kata Darby, gandingan serangan itu akan memukau Pahang sementara pemain penyerang lain akan mengatur rentak membenam gawang dengan jaringan gol.

Pada sesi latihan itu, skuad Jengking turut menerima suntikan semangat dari jurulatih kebangsaan, Ronald Smith yang kebetulan berada di Johor untuk mengendalikan kursus Kejurulatihan Lesen Kelas C.

Kata Darby, kehadiran Smith yang juga bekas jurulatih skuad Johor FC itu telah menyemarakkan semangat anak buahnya dalam menggerak atur rentak menjelang perlawanan yang berlangsung malam ini.

''Skuad Jengking bersedia seratus peratus, semua pemain bebas daripada kecederaan dan sebarang kad kuning dan kita menggunakan sistem taktikal iaitu serang dari bawah ke kubu lawan tanpa henti,'' katanya yang ditemui pada sesi latihan, petang semalam.

Pada sesi latihan itu, Smith dan Darby berganding bahu melatih skuad Johor dengan pelbagai taktik terkini yang akan mengejutkan Tok Gajah pada perlawanan malam ini.

''Inilah masa terbaik untuk menewaskan Pahang yang kini menduduki tangga kedua dalam kumpulan B. Pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi, tambahan pula kehadiran Smith telah meniup semangat kepada pemain Jengking,'' katanya.

Bagaimanapun, Darby masih mengharapkan sokongan padu peminat pada perlawanan menentang Pahang untuk memastikan kemenangan dalam siri 'balas dendam' selepas Johor sebelum ini tersungkur tipis 0-1 kepada Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, bulan lalu.

Johor sebelum ini hanya memungut tiga mata hasil kemenangan di tempat sendiri, manakala tiga perlawanan lagi mengundang derita di tempat lawan dengan kekalahan 0-1 dengan Pahang, 1-3 dengan Brunei dan 2-3 ketika menentang Sabah.

Johor menang di Stadium Larkin semasa menentang Sarawak 2-1 dan minggu lalu menang ke atas Kuala Lumpur, 3-1.

Johor perlu memenangi semua baki perlawanan untuk menempatkan diri ke pusingan separuh akhir bagi mengembalikan taring Jengking memburu kemenangan Piala Malaysia terakhir abad ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SWwx5Zwq © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 9 Disember 2016

Tiga pemain Johor digantung perlawanan

ARKIB : 12/10/1999
JOHOR yang kalah 1-3 kepada Brunei dalam perlawanan Piala Malaysia kumpulan B di tempat lawan Sabtu lepas akan bertemu Kuala Lumpur tanpa tiga pemain tonggak pada 16 Oktober ini.

Pemain midfield Rizal Sukiman dan pertahanan Mohd. Zakir Othman dan Bakthiar Othman tidak dapat diturunkan kerana terpaksa menjalani hukuman gantung perlawanan. Mohd Zakir diperintah keluar padang dalam perlawanan dengan Brunei, manakala Rizal dan Bakthiar mendapat amaran kedua.

Kekalahan di Bandar Seri Begawan itu ialah kali ketiga buat Johor. Mereka sebelum ini tewas 0-1 kepada Pahang dan 2-3 kepada Sabah.

Skuad Johor meneruskan latihan hari ini di Stadium Pasir Gudang. Jurulatih Steve Darby memandang berat kes pemain yang kena gantung kerana Johor hanya mendaftarkan 18 pemain untuk Piala Malaysia.

Johor juga mempunyai senarai pemain yang masih cedera. Bekas pemain antarabangsa Rosdee Sulong tidak akan ke Brunei. Pemain midfield Idris Karim pula cedera dilutut.

"Kami mempunyai jumlah pemain yang kecil untuk Piala Malaysia. Kita ada tiga pemain yang kena gantung dan dua cedera. Kami berharap Rosdee dan Idris cepat sembuh dan dapat bermain Sabtu ini," kata Darby.

Darby masih yakin Johor mampu melayakkan diri ke pertandingan separuh akhir, walaupun telah mengalami kekalahan tiga kali.

"Kami ada empat perlawanan di gelanggang sendiri. Kami juga perlukan sokongan dari peminat," kata beliau.

Johor setakat ini telah bermain sekali di gelanggang sendiri dan menang. Pasukan juara Liga Perdana itu menewaskan Sarawak 2-1 untuk kemenangan tunggalnya setakat ini.

Mengenai kekalahan kepada Brunei, Darby berkata pemain import Brunei telah bermain sungguh baik untuk menghalang peluang pasukannya. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SOr2sylU © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor turunkan Sheikh Ahmad

ARKIB : 02/10/1999
PEMAIN muda Johor FC yang dipinjamkan kepada Johor, Sheikh Ahmad Redzuan akan diturunkan kali pertama bagi menentang Sabah di Stadium Likas, malam ini, lapor ISHAK SALLEH.

Sheikh Ahmad telah dua kali terlepas peluang untuk menyarungkan jersi Jengking iaitu semasa menentang Pahang pada pembuka tirai Piala Malaysia dan Sarawak, minggu lalu.

Kegagalan Johor untuk menurunkan pemain muda itu disebabkan kelewatan pendaftaran pemain itu di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih, Steve Darby bagaimanapun berkata, Sheikh Ahmad tidak akan diturunkan sebagai pemain utama sebaliknya dia akan berada di bangku pemain simpanan pada permulaan perlawanan menentang Sabah nanti.

Katanya, Sabah merupakan sebuah pasukan yang mencabar kemampuan Johor. Bagi tujuan itu, Johor mengekalkan Rosdee Sulong, Hashim Mustapha, Rizal Sukiman, Azmil Azali dan Idris Karim bagi membuka peluang yang cerah kepada Johor.

Beliau memberitahu, Hashim akan menjalankan satu tugas khas dalam perlawanan itu seperti yang dilakukan semasa menentang Sawarak dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh satu minit.

Katanya, Stadium Likas meninggalkan sejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh Johor kerana di stadium itu, Johor memperoleh gelaran Juara Liga pertamanya pada tahun 1991.

Darby bagaimanapun, berkata, perlawanan menentang Sabah tidak semudah yang dibayangkan dan untuk itu beliau berharap para pemain mempunyai tumpuan yang penuh terhadap perlawanan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SMDJ2TYU © Utusan Melayu (M) Bhd

Jengking kembali yakin berdepan dengan Sabah

ARKIB : 30/09/1999
KEMENANGAN 2-1 ke atas Sarawak dalam persaingan awal bola sepak Piala Malaysia, kelmarin mengembalikan semula keyakinan Johor untuk berhadapan dengan pasukan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih skuad Jengking, Steve Darby berkata, sebelum perlawanan kelmarin, anak-anak buahnya nyata bimbang dengan rekod Bujang Senang apalagi dengan keupayaan mereka menewaskan Sabah 3-1.

Katanya, usaha mengembalikan semangat pasukan itu terpaksa dilakukan termasuk dengan memainkan lagu You'll Never Walk Alone nyanyian kumpulan Gerry & The Pacemakers yang menjadi sinonim kelab Liverpool sebelum perlawanan.

Beliau juga tidak menolak penyerahan Piala Liga Perdana Dua yang dilakukan sebelum perlawanan kelmarin sedikit sebanyak memberi rangsangan kepada skuad Johor.

Darby juga mengakui persembahan pada separuh masa pertama adalah hambar kerana para pemain berada di dalam keadaan tertekan disebabkan khuatir tewas di gelanggang sendiri.

Katanya, kesempatan itu digunakan oleh Sarawak dengan membuat jaringan pertama melalui Ramles Sari pada minit ke-50 dan jaringan itu juga seolah-oleh menyedarkan Johor daripada lamunan.

Kebangkitan Johor itu dipamerkan melalui jaringan Hashim Mustapha pada minit ke-62 dan 63 dan seterusnya melakukan serangan yang bertubi-tubi.

Katanya, pemain pertahanan, Jasmi Mohamed tidak akan bersama dengan Johor yang akan bertandang ke Sabah kerana telah memperoleh dua kad kuning.

Darby memberitahu, kekosongan itu akan diisi oleh bekas pemain kebangsaan, Salim Khamis yang telah menunjukkan permainan yang baik, malam kelmarin selepas masuk menggantikan Jasmi.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Jalil Ramli berkata, persembahan yang dilakukan oleh anak-anak buahnya adalah membanggakan dan perlawanan itu sepatutnya berkesudahan dengan seri.

Katanya, walaupun tewas, para pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi terutama penjaga gol, Mohd. Azley Abdullah.

Beliau memberitahu, perlawanan Sarawak seterusnya adalah menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini di tempat lawan dan keadaan itu membimbangkan beliau kerana Sarawak tidak mempunyai rekod perlawanan yang baik semasa berada di gelanggang lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SM9xqO1Y © Utusan Melayu (M) Bhd

Johor pamer corak permainan pantas

ARKIB : 25/09/1999
BARISAN pemain Johor menunjukkan keazaman untuk memberi saingan sengit apabila menentang Pahang di Kuantan malam ini.

SKUAD Jengking akan mempersembahkan corak permainan pantas yang akan digerakkan oleh dua pemain perancangnya iaitu Rosdee Sulong dan Hashim Mustapha dalam perlawanan menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih Steve Darby berkata, kedua-dua pemain itu perlu bijak membaca corak perlawanan pasukan tuan rumah dan mengatur bentuk perlawanan lain dengan mengekalkan permainan pantas.

Katanya, dua pemain tengah iaitu Rizal Zambery Yahya dan Jasmi Mohamad mempunyai peranan bagi mengumpan bola ke kotak penalti untuk disudahkan oleh bahagian serangan.

Beliau memberitahu, perlawanan pembuka tirai menentang Pahang itu merupakan perlawanan peting bagi kedua-dua pasukan untuk mencatat kemenangan.

''Hanya dengan kemenangan akan dapat membarakan lagi perjuangan dalam Piala Malaysia dan untuk itu, fokus semua pemain ada kemenangan dan menentukan kejayaan adalah milik mereka," katanya sebelum bertolak ke Kuantan, pagi semalam dari Stadium Larkin, Johor.

Darby berkata, debaran memang terasa tetapi ia perlu dihindarkan sebaliknya perlu menghadapi perlawanan tersebut dengan penuh keyakinan.

Katanya, perlawanan di peringkat Piala Malaysia adalah berbeza dengan peringkat Liga dan pada perlawanan malam ini Johor tidak dapat menurunkan dua pemain kesebelasan utama iaitu Azmil Azali dan Salim Kassim.

Bagaimanapun, kekosongan dua posisi itu telah dapat diisi oleh pemain yang berbakat iaitu Bakhtiar Othman yang akan berganding dengan Zakir Othman dan Farouk Yahya di barisan pertahanan.

Kehadiran penjaga gol, Mohd. Sany Fahmi yang juga bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000 memberikan keyakinan kepada Steve di pertahanan terakhir Jengking.

Beliau berharap, para pemain dapat memberikan komitmen terhadap perlawanan-perlawanan dalam Piala Malaysia kerana telah melalui perlawanan peringkat Liga dengan penuh cabaran.

Sementara itu, dalam kumpulan B yang dihuni oleh Pahang, Sarawak, Sabah, Brunei, Kuala Lumpur dan Johor boleh diletakan sebagai 'kumpulan maut' dengan kelebihan masing-masing.

Perebutan gelaran berganda akan menjadi agenda utama pasukan dalam kumpulan tersebut di antara Pahang yang merupakan juara Perdana Satu, Johor (johan Perdana Dua) dan Kuala Lumpur (johan Piala FA).

Brunei, Sabah dan Sarawak pula mempunyai 'senjata' tersendiri termasuk mempunyai pemain import yang akan menamatkan kontrak akhir musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SLldoRyB © Utusan Melayu (M) Bhd



Jengking kena rehatkan Salim

ARKIB : 24/09/1999
SKUAD Jengking akan kehilangan satu lagi tonggak dalam perlawanan pembukaan tirai menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, esok apabila pemain pertahanan, Salim Khamis mengalami bengkak pada buku lali.

Jurulatih, Steve Darby berkata, keadaan buku lali Salim yang bengkak dan berwarna kebiru-biruan tidak mengizinkan bekas pemain kebangsaan itu menyertai rombongan yang akan bertandang ke Kuantan, hari ini.

Katanya, walaupun perlawanan pembukaan itu penting, tetapi ketidakhadiran Salim tidak membimbangkan Johor kerana Bakthiar Othman akan mengambil tugas tersebut.

Mengenai Bakthiar, katanya, pemain itu telah membuktikan kemampuannya dan mampu menjalankan tugas bagi memastikan pertahanan Johor tidak mudah digugat.

Selain Salim, Jengking juga tidak dapat menurunkan ketua pasukan, Azmil Azali yang juga mengalami kecederaan yang sama semasa latihan persediaan skuad tersebut.

Katanya, walaupun Azmil tidak dapat diturunkan, dia akan bersama dengan skuad tersebut sebagai pemain simpanan dan sekiranya keadaan memerlukan khidmatnya akan digunakan.

''Sekiranya Azmil diturunkan, dia tidak akan dapat bertahan lama untuk tempoh 90 minit,'' katanya semasa dihubungi, semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SKqzdcgj © Utusan Melayu (M) Bhd

Jengking tanpa ketua pasukan

ARKIB : 23/09/1999
KETUA pasukan skuad Jengking, Azmil Azali tidak akan diturunkan pada perlawanan pembuka tirai Johor bagi menentang Pahang pada pertandingan Piala Malaysia yang akan diadakan Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih, Steve Darby berkata, Azmil masih mengalami kecederaan pada buku lali dan perlu direhatkan untuk membolehkan kecederaan itu pulih sepenuhnya.

Katanya, adalah lebih baik bagi merehatkan Ketua Pasukan itu daripada menanggung risiko sehingga boleh menyebabkan pemain itu tidak dapat diturunkan pada perlawanan-perlawanan lain yang lebih kritikal dan penting.

"Kita rehatkan dia untuk satu perlawanan kerana ada sembilan lagi perlawanan yang perlu dihabiskan pada Piala Malaysia yang memerlukan khidmat pemain itu," katanya semasa dihubungi semalam.

Darby berkata, walaupun Azmil tidak diturunkan, pemain itu akan tetap bersama rombongan skuad Jengking ke Kuantan Sabtu ini.

Katanya, ketiadaan Azmil, tugas itu akan dipikul sama ada oleh Farouk Yahya atau Zakir Othman yang telah menunjukkan persembahan konsisten pada sesi latihan dan juga perlawanan persahabatan menentang Selangor, minggu lalu.

Beliau juga memberitahu, penyerang baru, Shiekh Ahmad Redzuan yang menyertai skuad Jengking dari pasukan Johor FC untuk menghadapi Piala Malaysia juga tidak dapat diturunkan.

Katanya, kegagalan untuk menurunkan pemain itu pada perlawanan pertama Johor disebabkan kelewatan pendaftaran dengan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (F

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SKjg0oCs © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 8 Disember 2016

Bekas penyerang Johor FC sertai Jengking

ARKIB : 22/09/1999
KEHADIRAN Sheikh Ahmad Redzuan yang kini menyarung jersi skuad Jengking dijangka mempertajamkan jentera serangan Johor bersama Rosdee Sulung dan Hashim Mustapha pada Piala Malaysia bertemu Pahang Sabtu ini.

Dia yang ditemui nyata gembira dapat bersama dengan skuad negeri dan berkata, peluang tersebut sememangnya dinanti-nantikan.

Katanya, keinginan yang tinggi itu dibuktikan dengan menolak tawaran bagi menyertai skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Futsal yang akan diadakan di Singapura tidak lama lagi.

Dalam pada itu, jurulatih Johor, Steve Darby berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh bekas penyerang Johor FC itu dalam latihan pertamanya itu dan akan berganding dengan bekas pemain kebangsaan Rosdee Sulong dan Hashim Mustapha.

Darby juga menasihatkan para pemain skuad Jengking mendapatkan rawatan dari doktor bertauliah dan tidak mengambil ubat tradisional yang boleh diperoleh daripada kedai-kedai ubat apabila mengalami kecederaan atau sakit.

Beliau berkata, daripada pengawasannya, terdapat pemain-pemain skuad tersebut yang suka mengambil ubat tradisional dan ubat yang dijual di kedai-kedai ubat yang diragui kandungannya.

Katanya, terdapat juga ubat-ubat yang mengandungi bahan-bahan yang terlarang seperti pseudoephephedrine yang banyak terdapat pada ubat-ubat bagi mengubati demam.

''Adalah lebih baik dan selamat bagi para pemain mendapatkan ubat dan rawatan doktor pasukan," katanya semasa mengadakan latihan di Stadium Pasir Gudang, Johor, pagi semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Muhammad Ali Hashim berkata, peletakkan jawatan jurulatih, Ronald Smith sedikit sebanyak mempengaruhi kemajuan pasukan Johor FC.

Namun, katanya, kehadiran Johor FC dapat memberikan daya saing kepada pasukan-pasukan lain dan ia merupakan satu kemajuan yang membanggakan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SGQBy4jr © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Disember 2016

Johor kini jadi tumpuan

ARKIB : 09/07/1999
KEJAYAAN Jengking menyandang kejuaraan liga bola sepak Perdana Dua menarik minat beberapa pemain utama dari negeri lain menyarung jersi Johor menghadapi persaingan musim depan, lapor ISHAK SALLEH.

Pengurus pasukan, Ahamad Mohamad berkata, pihaknya menerima banyak panggilan telefon daripada beberapa pemain negeri lain yang menyuarakan keinginan menyertai Johor.

Kata Ahamad, beliau tidak dapat memberi sebarang jaminan untuk menerima mereka kerana tumpuan pasukan itu kini menyiapkan diri menghadapi saingan Piala Malaysia.

Beliau memberitahu, sebagai persiapan Piala Malaysia, pihaknya mungkin akan mendapatkan khidmat seorang atau dua lagi pemain baru.

Katanya lagi, kehadiran pemain baru itu bertujuan memantapkan lagi skuad tersebut yang akan menghadapi saingan yang lebih hebat berbanding perlawanan liga.

''Kita akan melihat pencapaian dalam Piala Malaysia terlebih dahulu sebelum membuat persediaan menghadapi musim depan,'' katanya di Johor Baharu, semalam.

Ahamad berkata, kejayaan membanggakan Johor ialah pada tahun 1991 apabila menjuarai Piala Malaysia dan juga Piala Liga dan yakin pencapaian itu boleh diulangi musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4S3LrjkHh © Utusan Melayu (M) Bhd