Rabu, 14 September 2016

Johor tawar kontrak baru lebih awal

ARKIB : 19/08/1998
JOHOR tidak akan menunggu sehingga penghujung musim bagi menawarkan kontrak kepada para pemain yang kontrak masing-masing tamat hujung tahun ini.

Sebaliknya, juara baru Piala FA itu, telahpun menawarkan kontrak baru kepada pemainnya, menyedari sesetengah negeri sudahpun mengintai mereka.

Antara mereka yang telah ditawarkan kontrak baru ialah Darren Stewart dan Milan Blagojevic, kedua-duanya dari Australia. Mereka berdua ditawarkan kontrak baru oleh pengurus pasukan Ahamad Mohamed sejurus selepas Johor menumpaskan Sabah 1-0 di Kota Kinabalu Sabtu lepas bagi memenangi Piala FA.

Blagojevic menyumbatkan gol tunggal kemenangan bagi Johor pada minit ke-31 bagi membolehkan pasukannya menjulang Piala FA buat pertama kali.

Ahamad juga mengumumkan semalam bahawa Johor juga telah mengikat penjaga gol Omar Salim berikutan persembahan cemerlangnya pada perlawanan akhir itu. Pemain berusia 32 tahun itu juga bermain untuk Johor pada perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia setelah pilihan pertama Hasbullah Fatah cedera pada pusingan pertama.

Meskipun dia menghabiskan kebanyakan masa di bangku pemain simpanan, Ahamad berkata Omar adalah adalah setanding dengan Hasbullah.

''Dia bermain bagitu baik pada perlawanan akhir Piala FA dan kami menawarkannya kontrak baru,'' katanya.

Menurut Ahamad kontrak kebanyakan pemain Johor yang ditandatangani awal tahun ini aadalah antara dua hingga empat tahun. Hanya Stewart dan Blagojevic mempunyai kontrak setahun.

Johor gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia setelah tewas 1-2 mengikut kiraan agregat kepada Kuala Lumpur. Johor menduduki tempat kedua dalam Perdana Dua. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KHCwOsdy © Utusan Melayu (M) Bhd

Blagojevic hadapi dua debaran

ARKIB : 14/08/1998
DALAM debaran skuad Jengking untuk menghadapi pertandingan akhir Piala FA di Stadium Likas, Sabah, Sabtu ini, perancang pasukan itu, Milan Blagojevic menghadapi dua debaran.

Debaran pertama, sama seperti pemain dan pegawai lain dalam menghadapi pertandingan akhir itu sementara debaran kedua ialah menanti kelahiran anak sulungnya.

Bagaimanapun, debaran pertama telah berjaya dilalui apabila menerima satu panggilan dari Sydney, Australia, pagi semalam yang menyatakan isterinya, Malina selamat melahirkan seorang anak lelaki.

Panggilan tersebut diterima kira-kira pukul 8.15 pagi, kata Milan, ayahnya memberitahu, Malina selamat melahirkan dan berada dalam keadaan sihat.

Katanya, anak sulungnya yang diberi nama Nicholas itu sekali gus dapat meredakan debarannya menghadapi Sabah dalam pertandingan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Selepas perlawanan akhir itu, dia akan berlepas ke Sydney untuk berjumpa dengan isteri dan anak serta keluarganya di sana, Isnin depan.

''Kelahiran anak saya itu, juga dapat mengubati kekecewaan setelah kegagalan skuad Jengking untuk melangkah ke Piala Malaysia dan Perdana Satu musim depan,'' katanya.

Milan berharap, Johor akan dapat menjuarai Piala FA itu memandangkan ia adalah penyertaan pertama Johor ke peringkat akhir dalam pertandingan tersebut.

Katanya, sekiranya Johor berjaya, dia merupakan orang yang paling gembira, setelah mendapat cahaya mata dan beroleh kejayaan yang diidam-idamkan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KFKOBxXt © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 12 September 2016

Jengking atasi Perak

ARKIB : 08/07/1998
Jengking atasi Perak
JOHOR melayakkan diri ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas menumpaskan Perak menerusi agregat 4-3 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Larkin, Johor malam tadi.

Walaupun tewas 1-2, Johor berjaya melepaskan diri ke separuh akhir selepas menumpaskan Perak 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama sebelum ini.

Johor mendahului pasukan Perdana Satu, Perak pada minit ke-27 melalui tandukan Idris Karim yang mendapat hantaran daripada Azmi Mohamad.

Perak yang seolah-olah cuba membaca rentak pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama membuat perubahan dengan mengatur serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-51, pemain import Perak, Laszlo Repasi yang membuat satu tendangan percuma di luar kotak penaliti berjaya mengelirukan penjaga gol, Hasbulah Fatah untuk gol pertama Perak.

Jurang perbezaan jaringan itu berjaya dirapatkan lagi oleh Laszlo yang menyumbatkan satu lagi gol pada minit ke-72 juga melalui satu tendangan penaliti pada jarak 30 meter

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4K2m5p100 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 10 September 2016

Piala FA: Johor mara

ARKIB : 11/06/1998
Piala FA: Johor mara
JOHOR merupakan pasukan terakhir layak ke pusingan suku akhir Piala FA setelah menewaskan Perlis dengan agregat 5-4 pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam tadi.

Jaringan emas kemenangan Johor itu dibuat oleh Milan Blagojevic pada minit ke-104 setelah menewaskan pertahanan Perlis dalam masa tambahan.

Pasukan lain yang telah layak lebih awal ialah Melaka, Kedah, Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

Johor akan bertemu Perak pada 23 Jun setelah Perak berjaya menewaskan NS Chempaka dengan agregat 6-1 dalam perlawanan malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, skuad Jengking memulakan jaringan pada minit ke-19 hasil tandukan Azmi Mohamad setelah mendapat bola hantaran dari Bakhtiar Othman.

Dua minit selepas itu, Perlis mendapat jaringan percuma hasil kesilapan penjaga gol, Omar Salim yang gagal menepis bola hantaran Mohamad Akrane dan bola itu terkena kepala Azmil Azli masuk gawang sendiri.

Perlis melalui pemain importnya, Kiatsuk Senamuang merembat bola hantaran Mohamad Akrane dan gagal diselamatkan oleh Omar pada minit ke-28.

Pada separuh masa kedua, Johor terus mengasak kubu Perlis dan tendangan percuma Tuboly Frigyes pada minit ke-70 gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Rosman Hussin.

Kongsi Konten di :
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4JsMAhYOV © Utusan Melayu (M) Bhd



Isnin, 5 September 2016

Hadiah Darren untuk Johor

ARKIB : 10/05/1998
Hadiah Darren untuk Johor
KETUA Pasukan Johor, Darren Stewart memecah kebuntuan dan menghadiahkan kemenangan pertama kepada skuad Jengking setelah menewaskan Johor FC 0 -1 di Stadium Larkin, malam tadi.

Gol pada minit ke-87 itu diperoleh apabila Azmi Mohd. berjaya merebut bola daripada pertahanan Johor FC dalam kotak penaliti dan mendorong kepada Derran lalu merembat dan menewaskan Amirullah Ghani.

Kedua-dua pasukan tidak memperlihatkan perlawanan yang mantap terutamanya pada separuh masa pertama tetapi dapat menghidupkan perlawanan hanya pada 15 minit terakhir permainan.

Separuh masa pertama, perlawanan adalah membosankan serta tiada gerakan yang berbahaya ditunjukan oleh kedua-dua pasukan.

Seawal minit pertama, Johor menggugat pertahanan Johor FC melalui satu gerakan yang dilakukan oleh Rosdee Sulong yang menanduk bola ke arah Darren Stewart lalu menendang tetapi tersasar keluar.

Johor hampir menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 apabila jaringan yang dibuat oleh Darren tidak dikira apabila bola hantaran Azmi Mohd. melepasi garisan gol terlebih dahulu.

Johor FC mendapat peluang terbaik pada minit ke-42 melalui Fuad Adam yang membuat tendangan kuat tetapi tersasar setelah mendapat hantaran Junaidi Latip hasil gerakan Adi Azizee Othman.

Seminit kemudian, pemain import, Kris Trajanovski juga membuat tendangan yang tersasar apabila mendapat hantaran dari Adi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4JNax6ljS © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 September 2016

Johor gantung lima pemain

ARKIB : 30/04/1998
Johor gantung lima pemain
LIMA pemain skuad Jengking digantung selama sebulan sementara sebelas lagi diberikan surat tunjuk sebab oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), semalam, lapor ISHAK SALLEH.

Pemain-pemain yang digantung itu ialah Omar Salim, Hasnizam Uzir, Anuar Abu Bakar, Rizal Sukiman dan Sutesh Nair. Pemain-pemain itu juga tidak dibenarkan menyertai latihan dan tindakan dikenakan mulai semalam.

Pengurus Pasukan, Ahamad Mohamad memberitahu, PBNJ mengambil tindakan itu ke atas pemain yang digantung dan yang diberikan surat sebab, setelah mendapati kegagalan skuad Jengking dalam menghadapi Liga Malaysia Perdana Dua musim ini, setakat ini.

Katanya, tindakan itu juga berdasarkan persembahan yang buruk dan di bawah tahap yang diinginkan yang sepatutnya dimiliki oleh pemain skuad negeri.

Beliau memberitahu, lima lagi pemain yang tidak dikenakan sebarang tindakan ialah Ketua Pasukan, Darren Stewart, Azmil Azali, Salim Khamis, Asri Sanusi dan Milan Blagojevic.

Ahamad berkata demikian kepada pemberita sebelum sessi latihan yang diadakan di Padang Polo, Johor Bahru, petang semalam.

Turut hadir dan memberikan teguran serta nasihat ialah Presiden PBNJ, Datuk Muhammad Ali Hashim yang turun ke padang kira-kira pukul 5 petang semalam.

Muhammad berkata, walaupun beliau kesal dengan persembahan yang kurang memuaskan daripada skuad Jengking, namun masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan itu.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh pemain itu boleh diselesaikan secara dalaman dan usaha mengembalikan moral dan semangat pemain perlu dilakukan segera.

Beliau memberitahu, semua pegawai termasuk beliau sendiri, jurulatih, K. Sukumaran dan Ahamad akan bergabung tenaga bagi memulihkan skuad Jengking daripada terus mengalami nasib malang.

''Tanggungjawab kami di sini adalah untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dan bukan untuk menghancurkan pasukan,'' katanya di Johor Bahru, petang semalam.

Ahamad berkata, tindakan yang dikenakan itu juga sebagai memberikan kesedaran kepada skuad Jengking untuk kembali memberikan saingan dalam Liga Malaysia Perdana Dua.

Katanya, tindakan yang dikenakan ke atas pemain itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan pagi semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JCpJF5dy © Utusan Melayu (M) Bhd