Rabu, 21 Mac 2018

Johor kalah tapi kekal pendahulu


ARKIB : 05/05/2009
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU – Rekod tanpa kalah Johor musim ini lebur dengan kekalahan 2-4 kepada Harimau Muda pada perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, semalam.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Nasir Yusof itu masih kekal di puncak liga menerusi kelebihan jumlah jaringan, namun Harimau Muda di tangga kedua yang turut mengumpul 25 mata sama masih bermain kurang satu perlawanan .

Benteng pertahanan skuad Jengking lebih dahulu dihukum pada minit ke-24 apabila Ahmad Shakir Mohd. Ali dengan mudah merembat masuk bola muntah dari dakapan penjaga gol Johor, Norazlan Razali.

Harimau Muda terus menguasai permainan dengan menambah jaringan pada minit ke-41 melalui rembatan jarak dekat pemain berusia 17 tahun, Gary Steven Robbat.

Gary terus menambah duka Johor apabila sekali lagi berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-43 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua, Johor bermula garang dan berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-52 menerusi sepakan percuma Norizam Salaman dari luar kotak penalti.

Namun, Ahmad Shakir sekali lagi menghukum benteng pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat dua minit selepas itu.

Walaupun ketinggalan tiga gol, Johor tidak berputus asa dan berjaya menambah jaringan menerusi sepakan penalti Azrine Affendy Sa'duddin(m-82).

T. Team pula terus mengekori rapat di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Proton FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Mohd. Harris Safwan Kamal melakukan hatrik dengan menjaringkan ketiga-tiga gol T. Team pada minit ke-28, 36 dan 75.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ANLNmsX6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan