Ahad, 25 November 2018

Johor FC tamatkan saingan Piala AFC


ARKIB : 20/05/2009
JOHOR BAHRU - Johor FC menamatkan saingan Piala AFC apabila tewas 0-1 kepada PSMS Medan di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Kekalahan itu meletakkan Johor FC di tangga tercorot Kumpulan F selepas mengumpul satu mata daripada enam perlawanan manakala PSMS Medan yang selesa dengan 13 mata mengiringi wakil Hong Kong, South China ke suku akhir.

PSMS Medan mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol tunggal minit ke-66 menerusi rembatan jarak dekat Mitchell Leonardo yang menerima bola daripada Nyoman Adnyana.

Namun, pasukan kendalian Ramlan Rashid terlebih dahulu mengasak pertahanan lawan apabila Zulindra Shah Putra Adam melakukan percubaan pada minit ke-18 hasil umpanan Sumardi Hajalan, namun percubaannya tersasar.

Meskipun tanpa kelibat bekas pemain import pasukan Selangor, Elie Aiboy, PSMS Medan tetap cemerlang mengatur gerakan sehingga berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Johor FC.

Skuad Lebah yang mempamerkan permainan kemas sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-33, namun bola rembatan Fahruzzahar Ali sekadar melepasi palang gol.

Pada minit ke-41 pasukan pelawat hampir mengejutkan tuan rumah melalui rembatan kencang Nyoman Adnyana tetapi dikekang pertahanan Johor FC.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5XvC4zp4g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 14 September 2018

Johor kebal, Harimau memburu

ARKIB : 12/05/2009
KUALA LUMPUR - Johor masih kebal menerajui carta persaingan bola sepak Liga Perdana sekalipun terus dicabar rapat oleh Harimau Muda setelah masing-masing memungut kemenangan dalam perlawanan di Johor Bahru dan ibu kota, semalam.
Skuad bimbingan Nasir Yusof itu menundukkan Proton 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin manakala skuad bawah 20 tahun negara itu turut dibantu gol sendiri untuk membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Johor membolosi kelab Selangor itu menerusi Sairozi Daud dan Mohd. Khairul Ismail pada minit ke-10 dan 83 malah mempunyai kelebihan perbezaan gol untuk terus mengatasi Harimau Muda biarpun kedua-duanya terikat dengan 31 mata.
Masih tanpa kalah selepas 11 perlawanan, Harimau Muda mencapai kemenangan ke atas anak buah Razip Ismail hasil jaringan Shahrul Hafiz Shafei dan gol sendiri Azidan Saruddin, minit ke-16 dan 32 sebelum dirapatkan tuan rumah menerusi Badrul Hisyam Azmi (89).
T-Team pula mengekori di tangga ketiga dengan berpesta gol membelasah Shahzan Muda 5-0 hasil jaringan hatrik Haris Safwan Kamal (17, 40 dan 60), Azrul Hazran Amludin (31) dan Norhisham Hassan (33) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Tiga mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang turut membawa Sabah menaiki satu tangga untuk melonjak ke tangga sembilan dari tempat ke-10 setelah menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-1.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka sekadar diikat 1-1 oleh Felda United untuk kekal di tempat kelapan dan keenam.
Manakala dua gol Joseph Kalang Tie membantu Sarawak keluar dari tangga kedua tercorot dengan menewaskan Sinar Dimaja Mai Sarah 2-1 di Stadium Sarawak, Kuching.

Rabu, 21 Mac 2018

Johor mengamuk di Kepala Batas


 
ARKIB : 09/05/2009
PEMAIN Shahzan Muda, P. Rajesh (kiri) dihalang pemain Melaka, G. Krishnan dalam saingan bolasepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Melaka menang 3-1. - UTUSAN/ RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR - Pendahulu Liga Perdana, Johor membelasah SDM Kepala Batas 5-0 di Stadium Batu Kawan malam tadi untuk mengekalkan kedudukan itu daripada dirampas Harimau Muda.

Menyedari hanya kemenangan besar dapat meletakkan mereka terus berada di puncak liga, Johor kini memiliki perbezaan dan jumlah jaringan yang lebih besar iaitu 27 gol berbanding 24 gol yang dimiliki Harimau Muda.

Kedua-dua pasukan kini terikat 28 mata sama tetapi Harimau Muda yang menewaskan Johor 4-2 Isnin lalu masih bermain kurang satu perlawanan.

Harimau Muda turut mencatat kemenangan semalam dengan menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk kekal di tangga kedua.

Skuad bawah 19 tahun negara itu mencatat kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan yang telah mereka lalui setakat ini.

Malah mereka muncul satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Kuala Lumpur juga menang semalam dengan jumlah jaringan yang sama mengatasi Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ini memberi kesempatan kepada mereka untuk menghampiri pasukan di tangga ketiga liga, T. Team dari Terengganu yang tidak turun beraksi semalam.

Kuala Lumpur kini mengumpul 18 mata daripada sembilan perlawanan manakala T. Team sudah pun mengumpul 21 mata daripada 10 perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AOJOifas
© Utusan Melayu (M) Bhd

Johor kalah tapi kekal pendahulu


ARKIB : 05/05/2009
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU – Rekod tanpa kalah Johor musim ini lebur dengan kekalahan 2-4 kepada Harimau Muda pada perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, semalam.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Nasir Yusof itu masih kekal di puncak liga menerusi kelebihan jumlah jaringan, namun Harimau Muda di tangga kedua yang turut mengumpul 25 mata sama masih bermain kurang satu perlawanan .

Benteng pertahanan skuad Jengking lebih dahulu dihukum pada minit ke-24 apabila Ahmad Shakir Mohd. Ali dengan mudah merembat masuk bola muntah dari dakapan penjaga gol Johor, Norazlan Razali.

Harimau Muda terus menguasai permainan dengan menambah jaringan pada minit ke-41 melalui rembatan jarak dekat pemain berusia 17 tahun, Gary Steven Robbat.

Gary terus menambah duka Johor apabila sekali lagi berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-43 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua, Johor bermula garang dan berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-52 menerusi sepakan percuma Norizam Salaman dari luar kotak penalti.

Namun, Ahmad Shakir sekali lagi menghukum benteng pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat dua minit selepas itu.

Walaupun ketinggalan tiga gol, Johor tidak berputus asa dan berjaya menambah jaringan menerusi sepakan penalti Azrine Affendy Sa'duddin(m-82).

T. Team pula terus mengekori rapat di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Proton FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Mohd. Harris Safwan Kamal melakukan hatrik dengan menjaringkan ketiga-tiga gol T. Team pada minit ke-28, 36 dan 75.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ANLNmsX6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Johor kukuhkan kedudukan di puncak


ARKIB : 14/04/2009
Johor kukuhkan kedudukan di puncak
 
CHRISTIE Jaya Seelan (kiri) terjatuh selepas cuba menghalang pemain Harimau Muda, Mohd. Shahrul Hafiz dalam perlawanan dalam Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Keputusan terikat 1-1. - UTUSAN/MOHD. NOOR AMIN

KUALA LUMPUR - Johor mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas membenam Sabah 2-1 pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Walaupun beraksi di gelanggang lawan, Johor yang dibimbing Nasir Yusof berjaya bangkit daripada ketinggalan selepas Zainizam Marjan meletakkan pasukan tuan rumah lebuh dulu di depan pada minit ke-55.

Dua gol dalam masa 10 minit menerusi Norizam Salaman (m-59, 69) meletakkan pemain itu sebagai wira Johor untuk memungut tiga mata penuh.

Kemenangan itu membolehkan Johor mengumpul 25 mata sekaligus menjarakkan diri dengan pasukan di tempat kedua liga, Harimau Muda yang sekadar seri 1-1 dengan PKNS di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pasukan bawah 19 tahun negara itu lebih dulu membuka jaringan menerusi Ahmad Shakir Md. Ali (m-54) sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi Christie Jaya Seelan (m-74).

Keputusan itu menyaksikan Harimau Muda kini ketinggalan tiga mata di belakang Johor tetapi masih mempunyai kurang satu perlawanan.

Shahzan Muda pula menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Abd. Rahim Abd. Kadir menjaringkan dua gol selang seminit (m-54, 55) untuk Shahzan sebelum Azizul Kamaluddin melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-66.

Lain-lain keputusan, Kuala Lumpur mengatasi Sarawak 4-2, Proton menang 3-0 ke atas Melaka dan T-Team menewaskan SDM Kepala Batas 4-1.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A9rrCpJ7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Johor bertahan di puncak Liga Perdana


ARKIB : 04/04/2009
KUALA LUMPUR - Johor yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Nasir Yusof terus mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas membenam cabaran Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam.

Dua jaringan menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-36) dan Azrine Affendy Sa'duddin (m-45) sudah cukup untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam lapan perlawanan setakat ini.

Bagi Kuala Lumpur pula, ia merupakan kekalahan pertama mereka musim ini daripada tujuh perlawanan yang telah diharungi.

Mengekori rapat Johor adalah Harimau Muda yang turut mencatat kemenangan semalam ke atas T. Team 1-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Gol kemenangan pasukan bawah 19 tahun kebangsaan itu dijaringkan Izad Faris Ramlan (m-82) sekali gus turut memusnahkan rekod tanpa kalah T. Team musim ini.

Harimau Muda (21 mata) bagaimanapun masih bermain kurang satu perlawanan berbanding Johor (22 mata).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A7AUIwun
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Penantian Johor berakhir

ARKIB : 27/10/2008
Penantian Johor berakhir
JOHOR BAHRU - Penantian Johor selama 18 tahun berakhir dengan kegembiraan apabila berjaya menjulang Piala Agong 2008 dengan menewaskan Pahang 3-1 pada perlawanan akhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Dato' Hassan Yunos, Larkin di sini malam kelmarin, tuan rumah berjaya membuka jaringannya menerusi Arman Sarini pada minit ke-20.

Selang 16 minit kemudian, Shafiee Sanusi terus meletakkan Johor pada kedudukan selesa untuk muncul sebagai penjaring kedua perlawanan tersebut.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung separuh masa pertama, skuad bimbingan Edres Selamat itu terus menambah bekalan selesa setelah Mohd. Zaini Kamar menambah jaringan ketiga Johor pada minit ke-42.

Pada separuh masa kedua, pasukan pelawat yang nampak semakin tertekan bagaimanapun tidak mudah mengaku kalah untuk mencari gol sulung mereka.

Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada Pahang yang mempamerkan semangat juang yang tinggi.

Kejayaan selepas 18 tahun itu sememangnya dinantikan oleh peminat bola sepak Johor selepas merangkulnya pada tahun 1978, 1988, 1989 dan 1990 sejak Piala Agong diperkenalkan pada tahun 1962.

Lebih manis, pemain Johor iaitu Shafiee Sanusi dinobatkan Pemain Terbaik Piala Agong 2008 pada malam bersejarah itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz511haYZoV

© Utusan Melayu (M) Bhd