Jumaat, 9 Disember 2016

Johor pamer corak permainan pantas

ARKIB : 25/09/1999
BARISAN pemain Johor menunjukkan keazaman untuk memberi saingan sengit apabila menentang Pahang di Kuantan malam ini.

SKUAD Jengking akan mempersembahkan corak permainan pantas yang akan digerakkan oleh dua pemain perancangnya iaitu Rosdee Sulong dan Hashim Mustapha dalam perlawanan menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih Steve Darby berkata, kedua-dua pemain itu perlu bijak membaca corak perlawanan pasukan tuan rumah dan mengatur bentuk perlawanan lain dengan mengekalkan permainan pantas.

Katanya, dua pemain tengah iaitu Rizal Zambery Yahya dan Jasmi Mohamad mempunyai peranan bagi mengumpan bola ke kotak penalti untuk disudahkan oleh bahagian serangan.

Beliau memberitahu, perlawanan pembuka tirai menentang Pahang itu merupakan perlawanan peting bagi kedua-dua pasukan untuk mencatat kemenangan.

''Hanya dengan kemenangan akan dapat membarakan lagi perjuangan dalam Piala Malaysia dan untuk itu, fokus semua pemain ada kemenangan dan menentukan kejayaan adalah milik mereka," katanya sebelum bertolak ke Kuantan, pagi semalam dari Stadium Larkin, Johor.

Darby berkata, debaran memang terasa tetapi ia perlu dihindarkan sebaliknya perlu menghadapi perlawanan tersebut dengan penuh keyakinan.

Katanya, perlawanan di peringkat Piala Malaysia adalah berbeza dengan peringkat Liga dan pada perlawanan malam ini Johor tidak dapat menurunkan dua pemain kesebelasan utama iaitu Azmil Azali dan Salim Kassim.

Bagaimanapun, kekosongan dua posisi itu telah dapat diisi oleh pemain yang berbakat iaitu Bakhtiar Othman yang akan berganding dengan Zakir Othman dan Farouk Yahya di barisan pertahanan.

Kehadiran penjaga gol, Mohd. Sany Fahmi yang juga bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000 memberikan keyakinan kepada Steve di pertahanan terakhir Jengking.

Beliau berharap, para pemain dapat memberikan komitmen terhadap perlawanan-perlawanan dalam Piala Malaysia kerana telah melalui perlawanan peringkat Liga dengan penuh cabaran.

Sementara itu, dalam kumpulan B yang dihuni oleh Pahang, Sarawak, Sabah, Brunei, Kuala Lumpur dan Johor boleh diletakan sebagai 'kumpulan maut' dengan kelebihan masing-masing.

Perebutan gelaran berganda akan menjadi agenda utama pasukan dalam kumpulan tersebut di antara Pahang yang merupakan juara Perdana Satu, Johor (johan Perdana Dua) dan Kuala Lumpur (johan Piala FA).

Brunei, Sabah dan Sarawak pula mempunyai 'senjata' tersendiri termasuk mempunyai pemain import yang akan menamatkan kontrak akhir musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SLldoRyB © Utusan Melayu (M) Bhd



Tiada ulasan:

Catat Ulasan