Isnin, 3 April 2017

Johor, Kelantan tumbang - Public Bank buktikan lagi



ARKIB : 10/08/2003 
JUARA Perdana Dua, Public Bank mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua playoff bola sepak Liga Super selepas merakam kemenangan agregat 6-4 biarpun aksi kedua pusingan pertama menentang Johor di Stadium Larkin semalam berkesudahan seri 3-3.

Kemenangan barisan pasukan E. Evalarasan itu sudah tergambar lebih awal apabila mendahului 3-0 menerusi jaringan dua pemain importnya, Ivan Ziga dan Milan Strelec.

Ziga menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-36 dan menambah jaringan kedua pada minit ke-42.

Strelec menambah derita Johor yang dibimbing bekas jurulatih Perak, Karl Heinz Weigang dengan gol ketiga Public Bank lima minit selepas babak kedua bermula.

Biarpun peluang Johor agak tipis selepas kekalahan di Selayang, skuad Jengking masih berusaha sedaya upaya untuk mencari gol.

Mereka bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan gol pertama enam minit kemudian menerusi P. Gunasekaran sebelum Mohd. Farid Idris dan Juric Ante menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-73 dan 90.

Bagaimanapun, kebangkitan itu sudah terlewat buat Johor yang terpaksa menyerahkan kemenangan kepada Public Bank.

Di Stadium Hang Tuah di Melaka, Sarawak menepati status selaku pasukan negeri apabila mengesahkan kemaraan dengan kemenangan agregat 4-2 selepas menang 1-0 ke atas Telekom Melaka pada perlawanan kedua.

Sapian Wahid menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-23.

Bagaimanapun, Telekom Melaka terpaksa bermain sepuluh orang pada pertengahan babak pertama dan sepanjang bbak kedua selepas Affandi Lokman diperintah keluar padang kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-36.

Johor FC turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Kelantan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi yang sengit di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Kelantan dan Johor FC terpaksa bertarung dalam masa tambahan selepas skuad Kijang berjaya menyamakan kedudukan agregat 1-1 menerusi gol jaringan Badrul Afzan Razali pada minit ke-72.

Johor FC menang 1-0 pada perlawanan pertama di Stadium Pasir Gudang.

Bagaimanapun, masa tambahan masih gagal mencari pemenang sehingga ditentukan menerusi penalti.

Public Bank akan bertemu Johor FC pada pusingan kedua manakala Sarawak menunggu pemenang antara Negeri Sembilan dengan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

Perlawanan antara Negeri Sembilan dengan MPPJ akan berlangsung malam ini di Stadium Hang Tuah, Melaka.

MPPJ memiliki bekalan selesa untuk ke pusingan kedua selepas menang besar 4-1 pada perlawanan pertama di Kelana Jaya, Rabu lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dCMgg8FC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan