Rabu, 14 September 2016

Blagojevic hadapi dua debaran

ARKIB : 14/08/1998
DALAM debaran skuad Jengking untuk menghadapi pertandingan akhir Piala FA di Stadium Likas, Sabah, Sabtu ini, perancang pasukan itu, Milan Blagojevic menghadapi dua debaran.

Debaran pertama, sama seperti pemain dan pegawai lain dalam menghadapi pertandingan akhir itu sementara debaran kedua ialah menanti kelahiran anak sulungnya.

Bagaimanapun, debaran pertama telah berjaya dilalui apabila menerima satu panggilan dari Sydney, Australia, pagi semalam yang menyatakan isterinya, Malina selamat melahirkan seorang anak lelaki.

Panggilan tersebut diterima kira-kira pukul 8.15 pagi, kata Milan, ayahnya memberitahu, Malina selamat melahirkan dan berada dalam keadaan sihat.

Katanya, anak sulungnya yang diberi nama Nicholas itu sekali gus dapat meredakan debarannya menghadapi Sabah dalam pertandingan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Selepas perlawanan akhir itu, dia akan berlepas ke Sydney untuk berjumpa dengan isteri dan anak serta keluarganya di sana, Isnin depan.

''Kelahiran anak saya itu, juga dapat mengubati kekecewaan setelah kegagalan skuad Jengking untuk melangkah ke Piala Malaysia dan Perdana Satu musim depan,'' katanya.

Milan berharap, Johor akan dapat menjuarai Piala FA itu memandangkan ia adalah penyertaan pertama Johor ke peringkat akhir dalam pertandingan tersebut.

Katanya, sekiranya Johor berjaya, dia merupakan orang yang paling gembira, setelah mendapat cahaya mata dan beroleh kejayaan yang diidam-idamkan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4KFKOBxXt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan