Sabtu, 3 September 2016

Johor gantung lima pemain

ARKIB : 30/04/1998
Johor gantung lima pemain
LIMA pemain skuad Jengking digantung selama sebulan sementara sebelas lagi diberikan surat tunjuk sebab oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), semalam, lapor ISHAK SALLEH.

Pemain-pemain yang digantung itu ialah Omar Salim, Hasnizam Uzir, Anuar Abu Bakar, Rizal Sukiman dan Sutesh Nair. Pemain-pemain itu juga tidak dibenarkan menyertai latihan dan tindakan dikenakan mulai semalam.

Pengurus Pasukan, Ahamad Mohamad memberitahu, PBNJ mengambil tindakan itu ke atas pemain yang digantung dan yang diberikan surat sebab, setelah mendapati kegagalan skuad Jengking dalam menghadapi Liga Malaysia Perdana Dua musim ini, setakat ini.

Katanya, tindakan itu juga berdasarkan persembahan yang buruk dan di bawah tahap yang diinginkan yang sepatutnya dimiliki oleh pemain skuad negeri.

Beliau memberitahu, lima lagi pemain yang tidak dikenakan sebarang tindakan ialah Ketua Pasukan, Darren Stewart, Azmil Azali, Salim Khamis, Asri Sanusi dan Milan Blagojevic.

Ahamad berkata demikian kepada pemberita sebelum sessi latihan yang diadakan di Padang Polo, Johor Bahru, petang semalam.

Turut hadir dan memberikan teguran serta nasihat ialah Presiden PBNJ, Datuk Muhammad Ali Hashim yang turun ke padang kira-kira pukul 5 petang semalam.

Muhammad berkata, walaupun beliau kesal dengan persembahan yang kurang memuaskan daripada skuad Jengking, namun masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan itu.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh pemain itu boleh diselesaikan secara dalaman dan usaha mengembalikan moral dan semangat pemain perlu dilakukan segera.

Beliau memberitahu, semua pegawai termasuk beliau sendiri, jurulatih, K. Sukumaran dan Ahamad akan bergabung tenaga bagi memulihkan skuad Jengking daripada terus mengalami nasib malang.

''Tanggungjawab kami di sini adalah untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat dan bukan untuk menghancurkan pasukan,'' katanya di Johor Bahru, petang semalam.

Ahamad berkata, tindakan yang dikenakan itu juga sebagai memberikan kesedaran kepada skuad Jengking untuk kembali memberikan saingan dalam Liga Malaysia Perdana Dua.

Katanya, tindakan yang dikenakan ke atas pemain itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan pagi semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JCpJF5dy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan