Rabu, 13 September 2017

Johor Pasir Gudang buat kejutan



ARKIB : 10/01/2007

KUALA LUMPUR – Johor PBT Pasir Gudang membuat kejutan apabila muncul pendahulu buat pertama kali selepas menewaskan peneraju sebelum ini ATM dengan kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium MPS, Selayang, semalam.

ATM yang turun selaku peneraju Liga Perdana nyata gagal mengekang kehebatan Pasir Gudang yang bertindak cemerlang meraih kemenangan bermakna itu.

Kemenangan buat Pasir Gudang membolehkan mereka memintas ATM dan UPB/My Team selaku pendahulu Liga Perdana dengan memungut lapan mata.

Jasazrin muncul hero buat Kelab Pasir Gudang apabila menyumbang dua gol pada minit ke-50 dan 83 manakala satu gol lagi dijaringkan oleh Ibrahim Ismail pada minit ke-17.

Di Stadium KLFA, skuad warga kota, Kuala Lumpur menerima kejutan apabila tewas mengejut kepada Polis 2-0.

Pemain import Polis, John Mawalma muncul penyelamat apabila menyumbat kedua-dua gol kemenangan pada minit ke-47 dan 62,

Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kelantan bertindak garang apabila membelasah Plus FC 5-1.

Kelantan yang turun berbekalkan satu mata berjaya mencipta jaringan menerusi Jonathan Zarini (m-3), Mohd. Saaufi Saaidi (m-11), Gustavo Romero (m-62), Zairul Fitri Ishak (m-64) dan Md. Arman Zaini (m-82).

Gol saguhati Plus FC dijaringkan oleh Mohd. Ruzaly Abd. Aziz pada minit ke-80.

Di Stadium Darul Aman, Charles Obi muncul hero apabila dua jaringannya membantu Sabah mengukir kemenangan pertama menewaskan Kuala Muda Naza 2-1.

Ketinggalan 0-1 pada satu ketika apabila Cristian Carrasto membuka jaringan pertama buat Kuala Muda Naza tetapi kelebihan itu dipadamkan oleh dua jaringan Obi pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti dan minit ke-74.

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, PKNS gagal menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan UPB/My Team.

Keputusan itu cukup melegakan buat UPB/My Team untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan kini meraih tujuh mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sZR2n2G4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan