Jumaat, 29 September 2017

Liga Perdana: Johor PG tangguh hasrat UPB-MyTeam



ARKIB : 13/06/2007

KUALA LUMPUR – Johor-Pasir Gudang menghampakan usaha UPB-MyTeam merapatkan jurang mata dengan pendahulu persaingan bola sepak Liga Perdana, Polis apabila menang 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru, semalam.

Keputusan itu bererti Polis yang tidak turun bermain, terus bertahan dan semakin selesa untuk menjulang gelaran liga setelah kekal dengan mengumpul 40 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.

Johor-Pasir Gudang beroleh golnya menerusi Shukri Ismail dan bertahan sehingga separuh masa pertama tetapi pelawat merapatkan kedudukan menerusi penyerang import berbisanya, Marin Mikac pada minit ke-67.

Namun, Franklin Sukami dan Ivan Senjo memastikan Johor-Pasir Gudang menggenggam tiga mata dengan dua jaringan masing-masing pada minit ke-76 dan 90 sekali gus membawa tuan rumah melonjak ke tangga keempat liga.

PKNS pula mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga sambil mengutip 29 mata daripada 19 perlawanan apabila menundukkan KL PLUS 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

KL PLUS kekal di tangga tercorot liga dengan kekalahan itu selepas perlawanan ke-18 ini sambil mengumpul 15 mata.

Sabah pula turun ke tangga kelima setelah sekadar seri 1-1 dengan Shahzan Muda di Stadium Likas, Kota Kinabalu hasil jaringan penyamaan Bobby Gonzalez pada minit ke-78 selepas ketinggalan dengan gol Abdulafees Abdulsalam (34).

Mohd. Azuwan Abdul Rahman pula memadam gol pendahuluan pemain Kelantan, Rizal Fahmi pada minit ke-53 apabila jaringan mengejut ketika dua minit terakhir perlawanan membantu Kuala Lumpur mengikat tuan rumah 1-1.

Kesudahan seri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu mengekalkan Kelantan dan Kuala Lumpur masing-masing di tangga ketujuh dan kelapan Liga Perdana selepas memungut 23 dan 22 mata daripada 19 perlawanan.

Kuala Muda pula memintas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menaiki tangga kesembilan liga selepas meraih mata penuh dengan menewaskan lawan 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah.

Manzoor Azwira membuka tirai jaringan kelab Kedah itu pada minit ke-13 dan ditambah oleh Bohomo Ipiegie Richard (80) biarpun pelawat cuba mencuri satu mata menerusi Preston Papie pada minit ke-46.

Selepas 19 perlawanan, Kuala Muda terikat 18 mata dengan Tentera tetapi perbezaan jaringan 17 berbalas 23 milik kelab Kedah itu, menurunkan pelawat ke tangga kedua tercorot liga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u8ulR2Wt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan