Jumaat, 31 Mac 2017

Johor terus kekal pendahulu Liga Perdana Dua



ARKIB : 26/05/2003
JOHOR memperkukuhkan kedudukannya di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan Kelantan JPS 3-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di Kota Bharu, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Johor mengumpul keseluruhan 32 mata manakala Kelantan JPS kekal dengan 14 mata.

Gol-gol Johor dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Daniel John Watkins seawal minit ke-3 melalui sepakan mudah tetapi mengelirukan penjaga gol, Wan Kamarulzaman Mohamad.

Kesilapan pertahanan pasukan tuan rumah, Syamsul Rizal Razali ketika menampan bola akhirnya membawa padah apabila menyumbat gol sendiri pada minit ke-27.

Gol ketiga pasukan bimbingan Karl Heinz Weigang disempurnakan oleh L. Ragesh pada minit ke-42 manakala jaringan tunggal Kelantan JPS menerusi pemain importnya, Popson Nii Armarh pada minit ke-75.

Di Stadium Perak, tuan rumah TKN Perak gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 4-3 kepada polis.

Polis memperoleh gol menerusi sepakan penalti Roslan Kamaruddin pada minit ke-15, David Anas (minit 25), Mohd. Izwan Baharuddin (minit 85) dan Mohd. Arif Fadilah (minit 88).

Gol TKN Perak pula dihasilkan Mohd. Zaidi Zamani pada minit ke-26 dan 82 serta jaringan gol sendiri pemain polis Theo Philus Amoo pada minit ke-43.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, tuan rumah Negeri Sembilan hanya mampu seri 2-2 dengan Public Bank Selangor.

Namun, Public Bank mengejutkan lawan apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Milan Stelec pada minit ke-4 dan S. Paidiya Rao pada minit ke-36.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Aiman Wong dan Azman Adnan, masing-masing pada minit ke-52 dan 39.

Satu lagi pasukan dari Kelantan turut tewas. Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei menewaskan TNB Kelantan 3-0.

Bagaimanapun, SKMK Kelantan seri 3-3 dengan MPPJ Selangor di Stadium Petaling Jaya.

Tentera pula menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Lumut.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cwyF7deD© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan