ARKIB : 29/12/2007
TONGGAK Shahzan Muda, Choi Who
Seng (dua dari kiri) dihalang oleh dua pemain Kuala Lumpur dalam saingan bola
sepak Liga Perdana di Stadium Kuantan, malam tadi. Gambar RUSHDI SALLEH.
KUALA LUMPUR Sabah dan Johor
PBT mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan awal musim baru Liga Perdana
2007/2008 apabila mencipta kemenangan kedua berturut-turut, semalam.
Kejayaan itu membolehkan
kedua-dua pasukan itu mengungguli persada liga dengan enam mata tetapi Sabah
menguasai puncak liga menerusi kelebihan jaringan.
Sebelum ini, pada perlawanan
pembuka tirai 17 Disember lalu, Sabah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) 4-0 di tempat lawan manakala Johor PBT menang tipis 1-0 ke atas Felda
United di tempat sendiri.
Semalam ketika beraksi di
tempat sendiri di Kompleks Sukan Tawau, Sabah mengulangi kejayaan itu dengan
menewaskan Proton FC 4-1.
Ternyata pasukan yang baru
tersingkir dari Liga Super itu mahu menebus kekecewaan musim lalu dengan
menghadiahkan kekalahan pertama kepada Proton FC.
Chow Chee Weng menyumbang dua
gol buat Sabah pada minit ke-29 dan 80 manakala dua lagi gol dijaringkan Bobby
Gonzales (m-40) dan Mohd. Nafuzi Zain (m-77).
Gol sagu hati Proton FC pula
dijaringkan Agugas Stanley pada minit ke-87.
Di Stadium Hang Tuah Melaka,
Johor PBT pula menewaskan tuan rumah 3-1 untuk terus mencabar kedudukan Sabah
sebagai pendahulu liga.
Mohd. Shukri Ismail membuka
jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-14 tetapi Melaka bangkit menyamakan
kedudukan menerusi Sapian Wahid tujuh minit kemudian.
Dua gol Johor PBT di babak
kedua selepas itu menerusi Ocampos Atelo (m-54) dan Tumba Laurent melenyapkan
sama sekali sisa-sisa perjuangan Melaka untuk mencipta kemenangan pertama musim
ini.
Di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, ATM menewaskan Harimau Muda 2-1 untuk bangkit daripada kekalahan
pertama lalu.
Gol-gol ATM dijaringkan
Jonathan Yamoah (m-18) dan Mazeri Izuan Mukhtar (m-42) sebelum Harimau Muda
merapatkan jurang menerusi Ahmad Aminuddin (m-44).
Kuala Muda Naza yang turun buat
kali pertama musim ini bermula dengan langkah kanan selepas menang tipis 1-0 ke
atas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada perlawanan di Stadium
Bandaraya Petaling Jaya.
Dua lagi perlawanan lain
membabitkan pertemuan Shahzan Muda-Kuala Lumpur dan Felda United-Kelantan
berkesudahan dengan keputusan seri.
Pada perlawanan di Stadium
Darul Makmur, Kuantan, Shahzan Muda diikat 2-2 oleh Kuala Lumpur walaupun pada
babak pertama berjaya mendahului 2-1.
Bekoe Cofie membuka jaringan
lebih dulu buat Kuala Lumpur pada minit ke-5 tetapi Shahzan Muda membalas
dengan dua gol menerusi Choi Who Seng (m-10) dan Anthony Joseph (m-23).
Ivan Yusof muncul pemusnah
apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69 sekaligus memusnahkan
impian Shahzan mencatat kemenangan pertama musim ini.
Felda United pula seri 1-1
dengan Kelantan pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Felda lebih dulu di depan hasil
jaringan Khairul Izwan pada minit ke-41 tetapi Maumadou Mustapha menafikan
kelebihan itu dengan gol penyamaan pada minit ke-64.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4w48gOm7g
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan