Jumaat, 20 Oktober 2017

Johor PBT pintas Sabah



ARKIB : 01/01/2008

KUALA LUMPUR – Johor PBT merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana daripada Sabah hasil kemenangan 3-1 ke atas Shahzan Muda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru, semalam.

Ini merupakan kali pertama musim ini Johor PBT berjaya menempatkan diri di puncak liga selepas mengekal rekod bersih tiga kemenangan berturut-turut.

Pencapaian membanggakan Johor PBT itu turut dibantu keputusan yang membabitkan Sabah yang hanya mampu seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras.

Sabah dilihat bakal kekal sebagai pendahulu Liga Perdana apabila mudah mendahului seawal minit ke-9 hasil jaringan Wong Sai Kong.

Kedudukan

Bagaimanapun Kuala Lumpur yang dibimbing jurulatih dari Jerman, Heinz Jurgen Gede berjaya menyamakan kedudukan menerusi Cirelli Juan Marcelo pada minit ke-66 walaupun beraksi 10 pemain ketika itu.

Pasukan bawah 19 tahun negara, Harimau Muda pula mencatat kemenangan sulung mereka musim ini selepas menewaskan Proton FC 3-1 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya.

Dua gol Harimau Muda dijaringkan Thamil Arasu di samping satu go daripada Ahmad Fakri Saarani manakala gol tunggal Proton FC dijaringkan Aguama Stanley Ogoc Hukwu.

Kuala Muda Naza turut mencatat kemenangan semalam dengan menewaskan Felda United 2-1 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Liew Kit Kong membuka jaringan buat Kuala Muda pada minit ke-49 diikuti gol kedua menerusi penalti Manzur Azwira tiga minit selepas itu. Gol tunggal Felda pula dijaringkan Benson Anih Ajike (m-90).

Kelantan juga meraih kemenangan pertama mereka selepas menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Gol-gol Kelantan dijaringkan Andrew Amakuro (m-9), Mouhamadou Moustapa (m-83) dan Mohd. Ramzul Zahini (m-90) manakala gol saguhati Melaka dijaringkan Amrie Abdullah (m-17).

KL Plus pula menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sebaik sepak mula, KL Plus terus menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit pertama permainan menerusi Lucio Marcado.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan walaupun kedua-dua pasukan memperoleh peluang untuk menambah jaringan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w4ABNjEl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan