Isnin, 23 Oktober 2017

Kedudukan Johor-PG semakin teguh



ARKIB : 19/01/2008

KUALA LUMPUR – Kedudukan Johor-Pasir Gudang sebagai peneraju persaingan bola sepak Liga Perdana musim 2007-2008 semakin sukar digugat selepas mereka menumpaskan Proton 2-0, semalam.

Dua jaringan Otelo Ocampos pada minit ke-28 dan 36 di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Johor Bahru, sudah memadai untuk mengekalkan tuan rumah dengan kemenangan ketujuh ini.

Kelantan pula merapatkan pemburuan tempat teratas liga dengan rentak kemenangan apabila membenam Angkatan Tentera 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Tuan rumah juga melebarkan rekod tanpa kalahnya dengan dua gol tonggak import, Mohamadou Moustapa pada minit ke-10 dan 61 di samping Nizad Ayub (4) dan Rizal Fahmi Roshid (27) manakala Tentera hanya dengan gol tunggal menerusi Mohd. Aminuddin (17).

Wong Sai Kong dan Bobby Gonzales pula meranapkan rekod tanpa kalah KL PLUS 2-1 dengan gol pada minit ke-39 dan 66 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

KL PLUS yang akhirnya menyerah pada perlawanan keenamnya ini meraih jaringan tunggal Alex Agbo, 6 minit sebelum tamat.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, jaringan Khairul Izwan Khalid dan Eric Arsene membolehkan Felda United meraih kemenangan keduanya dengan menumpaskan Melaka 2-1.

Ketinggalan dengan gol minit pertama dan ke-39 itu, pasukan pelawat bimbingan Ramli Junit, merapatkan jurang jaringan menerusi pemain importnya, Kofi Estiba Weah pada minit ke-53.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wOjg0hcg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan