Jumaat, 27 Oktober 2017

Pemain tidak mahu takhta dirampas - Azuan



ARKIB : 27/01/2008

KUALA LUMPUR - Jurulatih Johor Pasir Gudang (Johor), Azuan Zain, berpuas hati dengan permainan anak buahnya, ketika menang ke atas Kuala Lumpur dengan jaringan 3-1 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, kelmarin lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurutnya, barisan pemain Johor bermain bagus dengan menunjukkan komitmen tinggi, seolah-olah tidak mahu kedudukan di takhta Liga Perdana digugat oleh mana-mana pasukan.

''Pada separuh masa pertama kami sudah kehilangan seorang pemain, apabila Jasazrin Jamaluddin dilayangkan kad merah kerana menyentuh bola dalam kotak penalti, tetapi pemain saya bermain dengan baik sehingga wisel penamat,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ketika diminta mengulas tindakan pengadil perlawanan Lee Chong Seng dari Perak yang melayangkan kad merah kepada pemainnya, Azuan berkata, dia tidak nampak insiden berkenaan kerana jarak yang agak jauh.

''Saya terima keputusan pengadil malam ini, walaupun pemain saya (Jasazrin) ketika di dalam bilik persalinan, pada rehat separuh masa pertama, mendakwa bola tersebut terkena badannya bukan tangannya.

''Saya juga tidak dapat melakukan apa-apa dengan keputusan yang diberikan oleh pengadil kerana ia adalah keputusan muktamad,'' katanya.

Kata Azuan, perlawanan ini memang agak tegang dan dia tidak menolak kemungkinan pengadil ada melakukan beberapa kesilapan tetapi secara keseluruhan ia adalah perlawanan yang diadili dengan baik.

Azuan juga berasa gembira kerana kesemua pemain utamanya pada perlawanan tersebut, bermain dengan baik khususnya pemain import dari Paraguay, Esponola Atelo yang menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan ke-83.

''Dia (Atelo) seorang pemain yang bagus walaupun tidak banyak berlari tetapi kawalan bola dan ketajaman ketika di depan gawang memberikan impak yang baik kepada pasukan.

''Sebelum ini Atelo pernah bermain bersama pasukan Pasir Gudang United sebelum pulang bermain ke liga negaranya dan datang semula menabur bakti selepas 'tempoh bertenang' selama setahun seperti mana yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),'' jelas Azuan.

Di sebalik kegembiraan selepas berjaya mengutip tiga mata di tempat lawan, Azuan juga tidak menyembunyikan kegusaran pada perlawanan seterusnya menentang Kelantan di tempat sendiri awal Februari ini.

''Pertemuan dengan Kelantan selepas ini pasti sukar buat kami, kerana kedua-dua pasukan masih belum tewas dalam mana-mana perlawanan liga, ditambah dengan masalah pergantungan serta kecederaan pemain saya,'' kata Azuan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wi1hd7YQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan