Jumaat, 17 November 2017

Johor belasah KM Naza



ARKIB : 12/02/2008
KUALA LUMPUR - Pendahulu bola sepak Liga Perdana, Kuala Muda Naza menerima tamparan hebat semalam apabila dibelasah 0-4 oleh pencabar terdekatnya, Johor Pasir Gudang di Stadium Darulaman.

Meskipun kekalahan mengaibkan di depan penyokongnya sendiri itu tidak menggugat kedudukan Kuala Muda (KM) Naza di tangga teratas liga, Johor PG semakin mengekori rapat dengan satu mata, malah memiliki kelebihan satu perlawanan.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, Kuala Muda mengumpul 27 mata, manakala Johor PG mengutip 26 mata dengan menamatkan 10 perlawanan.

Penyerang dari Paraguay, Ocampos Esponola muncul wira pasukannya apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-60, 67 dan 90 (penalti) untuk memberikan kemenangan selesa.

Begitupun pasukan pelawat, yang melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan berturut-turut terlebih dulu membuka jaringan menerusi Mohd. Fauzi Kassim pada minit ke-45.

Dalam satu lagi perlawanan, skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Harimau Muda menambah sengsara Melaka apabila menundukkan tuan rumah 1-0 di Stadium Hang Tuah.

Tandukan Ahmad Fakri Saarani di luar kotak penalti pada minit ke-65 memastikan Melaka terus menghuni kedudukan tercorot, manakala Harimau Muda kekal di tangga keenam liga.

Shahzan Muda turut mengalami kekalahan di gelanggang sendiri apabila tumpas 0-1 kepada Sabah di Stadium Darul Makmur.

Pada ketika perlawanan seperti akan berakhir dengan keputusan seri, Sylvester Sindih muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan Sabah pada minit terakhir.

Sementara itu perlawanan di antara dua pasukan berjiran, KL Plus dan Kuala Lumpur menjadi panas apabila tiga kad merah dilayangkan sebelum KL Plus menang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kuala Lumpur menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Mohd. Ivan Yusoff dan Zamri Hassan dilayangkan kad merah, manakala satu kad merah turut diberikan kepada pemain KL Plus, Ahmad Khairi Isa pada minit ke-42.

Felda United pula memanfaatkan kelebihan berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beraksi dengan 10 pemain apabila menang 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Turut mencatat kemenangan semalam adalah PKNS Selangor, yang menundukkan Proton FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yh6cnHxm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan