Jumaat, 3 November 2017

‘Berjuang sebagai ahli sukan profesional’

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
KAMARUDDIN menunjukkan pingat yang dimenangi ketika membantu Johor menjuarai Piala Malaysia pada 1985.

KAPTEN skuad Johor era 1980-an, Kamaruddin Ahmad mahu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi persembahan terbaik dalam pentas akhir Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam malam ini.

Kamaruddin berkata, para pemain tidak seharusnya mengambil mudah perlawanan itu biarpun Piala Malaysia bukan menjadi sasaran pasukan, sebaliknya tetap berjuang bersungguh-sungguh sebagai ahli sukan profesional.

Menurutnya, setiap perlawanan merupakan ujian dan sebagai pemain yang bagus mereka tidak seharusnya mempedulikan gelaran atau memilih kejuaraan mana yang paling berprestij.

“Tolong buang mentaliti pilih piala, kita ambil dari sudut ahli sukan, sepatutnya dalam setiap perlawanan memang kena buat yang terbaik. Jangan sesekali pilih game.

“Beraksi dalam Piala Malaysia walaupun tidak ke mana itu adalah pencapaian, kita dapatkan kesemua kejuaraan dan buktikan yang pasukan memang terbaik,” kata­nya.

Tambahnya, peluang beraksi di pentas piala keramat itu bukanlah sesuatu yang mudah, malah ia menjadi impian seluruh pasukan yang beraksi dalam saingan itu, sekali gus perlu ditamatkan dengan penutup yang gembira.

“Pendapat saya walaupun tidak mengharap sangat piala ini, teruskan sahajalah bermain de­ngan baik. Tidak semua pasukan berjaya sampai ke tahap itu. Kita bukan mahukan gelaran tetapi kenangan.

“Bila sahaja pemain buat yang terbaik, kita menang ia bukan sahaja menaikkan mutu pasukan malah pencapaian individu itu sendiri. Saya ya­kin perkara ini ada dalam setiap pemain JDT.

“Seeloknya sebagai jaguh, biar semua piala pasukan sapu, bukan nak timbulkan riak tetapi dorongan untuk pasukan lain bangkit dan contohi kelab ini. Kita perlu kembangkan mentaliti kelab yang selama ini masih di tahap yang sama,” kata­nya.

Pemenang Piala Malaysia tahun 1985 itu turut memberitahu kejayaan yang diperolehnya itu adalah hasil kerjasama dan perasaan hormat dengan kebolehan setiap rakan seperjuangan dalam pasukan.

“Saya berjaya kerana pasukan dan kami saling percaya sesama sendiri. Jadi saya harap elakkan perasaan cemburu dan banyakkan komunikasi membina di dalam padang, jangan hilang cool.

“Sebagai pemain, sesiapa yang dipilih jurulatih untuk bermain itu adalah biasa, tetapi jika tidak berpeluang beraksi, haruslah bersedia sebagai pemain simpanan. Jika tidak bersedia beritahulah, luahkan supaya kamu tidak rosakkan permainan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin skuad kendalian ­Ulisses Morais mampu menunjukkan yang terbaik serta berupaya membawa semula piala yang sudah 26 tahun tidak bertapak di bumi Johor.

“Kalau kita lihat atas kertas JDT sudah menang, mereka memang pasukan terbaik dalam Liga Malaysia. Kalau kalah ada masalah, mungkin mentaliti pemain terganggu.

“Mereka (pemain) mahu apa lagi,? Pengurusan kelab bagus, gaji besar dan latihan bertaraf du­nia, semua sudah ada cuma dalam diri itu sahaja,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4xPzYlM35
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan