Jumaat, 17 November 2017

Johor hampiri pendahulu



 
ARKIB : 26/02/2008
Pemain Shahzan Muda, Mohd. Badrul Hisani AB Rahman (kanan) cuba membuat terjahan keras terhadap pemain ATM, Mohd. Saiful Nizam Miswan dalam persaingan Liga Perdana di Stadium MPS, Selayang, semalam. – Gambar HAFIZH KHOSMAT.

KUALA LUMPUR – Johor Pasir Gudang (Johor) berjaya merapatkan jurang dengan pendahulu liga, KL Plus dengan hanya satu mata di belakang selepas menumpaskan PKNS Selangor 3-0 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Larkin, malam tadi.

Namun malang buat pendahulu liga itu yang gagal mengukuhkan kedudukan apabila dibenam Kelantan 5-2 di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu.

Ketiga-tiga jaringan Johor itu diperoleh pada separuh masa pertama menerusi Otelo Ocampos Espinola (minit ke-19), Khairul Ismail (m-31) dan Tumba Laurent (m-45).

Badrul Radzi pula muncul wira Kelantan apabila berjaya membuat hatrik di minit ke-33, 40 dan 65 untuk membantu pasukannya menundukkan KL Plus, 5-2.

Terdahulu, Mohd. Nizab Ayob menjaringkan gol terpantas liga musim ini apabila meletakkan tuan rumah di depan seawal minit pertama perlawanan, sebelum Mouhamadou Moustapha menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-17.

Sementara itu jaringan Yusaini Hafiz, dua minit memasuki masa kecederaan membantu pasukan bawah 19 tahun kebangsaan, Harimau Muda untuk seri 1-1 dengan Sabah di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sabah hampir menamatkan saingan dengan kemenangan selepas mendahului persaingan menerusi Bobby Gonzales pada minit ke-23, namun dikecewakan dengan jaringan lewat, Yusaini.

Pendatang baru Liga Perdana, Felda United pula mencatat kemenangan kelima musim ini dengan menumpaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Benson Aruih Ajike membuka jaringan Felda United pada minit ke-16, sebelum Badrol Afzan melebarkan kedudukan 2-0 di minit ke-20.

Impraim Godfred Attah berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-56, namun sepakan penalti yang disempurnakan pemain pertahanan Cameroon, Eric Arsene Bayemi memastikan kemenangan 3-1 Felda.

Dalam satu lagi perlawanan, Proton FC hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Melaka di Stadium MBPJ.

Tentera pula berjaya mengeluarkan diri daripada kedudukan tercorot liga selepas menundukkan Shahzan Muda 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pemain tengah Ghana, Preston Papie menjaringkan dua gol pada minit ke-75 dan 86, manakala dua lagi gol tentera dijaringkan Musabri Mat Nayan dan Zool Ihsan Yunus, masing-masing pada minit ketujuh dan 47.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yhir3saH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan