Ahad, 19 November 2017

Johor lega tewaskan ATM



ARKIB : 09/04/2008

JOHOR BAHRU – “Lega...,” Itulah perkataan pertama dari Jurulatih Johor, Azuan Zain sebaik saja wisel penamat ditiupkan oleh pengadil pada perlawanan menentang pasukan tercorot, ATM pada perlawanan Liga Perdana Sabtu lepas.

Kelegaan jurulatih ini jelas terpancar sebaik saja skuad bimbingannya menumpaskan ATM 2-1 di Stadium Larkin, di sini.

Ternyata jaringan minit-minit akhir separuh masa kedua oleh penyerang berbisa Johor Pasir Gudang, Otelo Ocampos Espinola menyelamatkan maruah Johor yang hampir dimalukan oleh skuad kendalian Andre Lawadin ini.

“Saya akan pastikan Johor terus mencipta kemenangan pada permainan seterusnya dan beraksi ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Azuan yang ternyata sedikit kecewa dengan persembahan anak buahnya berkata, terdapat kepincangan terutama di bahagian serangan termasuk gandingan Otelo dan Osvaldo Moreno yang baru digabungkan sebagai penyerang.

“Mereka (Otelo dan Osvaldo) baru dua kali digabungkan sebagai penyerang jadi mungkin masih tidak serasi,” katanya lagi.

Bagaimanapun menurut Azuan gandingan Otelo dan Osvaldo ini akan terus ‘menjadi’ bagi memperkuatkan jentera serangan yang turut dibantu oleh seorang lagi pemain import Akande Adejume Smith di samping pemain tempatan yang menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika perlawanan.

‘‘Saya memuji kesungguhan kesebelasan pemain yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun ketinggalan satu gol tetapi mereka tidak putus asa untuk menang,” jelasnya.

Pada perlawanan tersebut, ATM menyentap semangat pemain Johor hasil jaringan penyerangnya Standley James Batang pada minit ke 61.

Bagaimanapun Johor bangkit lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan hasil jaringan penyerang importnya, Osvaldo minit ke-86 sebelum Otelo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89.

Johor yang akan menentang Harimau Muda Jumaat ini kini menduduki tangga ke-4 dalam saingan Liga Perdana dengan pendahulu liga pasukan KL Plus FC, diikuti Kuala Muda dan Kelantan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4yrfF4JJI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan