Sabtu, 12 November 2016

Johor masih harap kehadiran Azmi

ARKIB : 28/01/1999
KECUALI masalah berkaitan dengan penyerang Azmi Mohamed, semuanya beres bagi Johor sejak mereka mula berlatih Isnin lepas untuk cabaran Liga Perdana Dua tahun ini.

Jurulatih, Steve Darby masih lagi mengharapkan Azmi untuk membawa cabaran Johor walaupun bekas pemain antarabangsa itu dikatakan telah menandatangani kontrak dua tahun dengan pasukan Perdana Satu Negeri Sembilan.

Juara Piala FA itu masih mengharapkan Azmi untuk memperbaharui perkongsiannya dengan Rosdee Sulong, seorang lagi bekas pemain antarabangsa, tetapi kecewa kerana Azmi menyertai Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Darby lebih dari gembira dengan prestasi yang dipamerkan setakat ini oleh pemain baru M.Chandran dan Liew Kim Tu, kedua-duanya dari Kuala Lumpur, dan kembalinya seorang lagi bekas pemain Johor, Jasmi Mohamed dari Sarawak.

''Setakat ini semuanya baik. Nampaknya terdapat kemahuan yang bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh para pemain. Chandran dan Kim Tu mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama saya bagi musim ini,'' kata Darby.

Johor telah merujuk kes Azmi kepada FA Malaysia kerana mereka berpendapat surat tawaran untuk dua tahun yang ditandatangani tahun lepas adalah dokumen undang-undang dan sah.

Pada sebaliknya, Azmi menandatangani kontrak hanya untuk setahun dengan Johor yang tamat pada akhir musim lepas.

Berasaskan ini, Azmi berpendapat beliau bebas dan kembali ke Negeri Sembilan, bekas pasukannya bagi tiga musim sehingga 1997.

''Saya masih berharap Azmi akan dapat menyertai kami. Daripada apa yang saya telah dimaklumkan, surat tawaran dua tahun itu adalah dokumen yang sah dan terikat,'' kata Darby.

Johor bersungguh-sungguh untuk menang juara Perdana Dua musim ini selepas kalah kepada Terengganu tahun lepas. Hanya juara Perdana Dua dan enam pasukan pertama daripada Perdana Satu yang secara automatik akan mendapat tempat dalam Piala Malaysia. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4PrOzWQcz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan