Rabu, 16 November 2016

Perak, Johor buka persaingan

ARKIB : 14/03/1999
WAN Hashim (kanan) dan Mosthakeen Omar (kiri) berbincang sesuatu sambil diperhatikan oleh dua pegawai bola sepak Kelantan di Kota Bharu semalam.

BIARPUN masing-masing beraksi dalam bahagian liga yang berbeza, pertembungan Perak dengan Johor pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Perak, Ipoh malam ini dianggap penentu awal kedua-dua pasukan dalam mengharungi kancah bola sepak Liga Malaysia, musim ini.

Perak beraksi dalam Perdana Satu manakala Johor dalam Perdana Dua tetapi masing-masing mahu memburu kemenangan merebut piala sulung itu, piala yang dianggap memberi ''nafas pemula'' untuk menghadapi kempen mencabar.

Kedua-dua pasukan tidak akan bertemu sepanjang aksi Liga Perdana musim ini tetapi kebarangkalian mereka bertarung lagi ialah dalam Piala FA atau Piala Malaysia.

Apa pun, pertarungan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan taktik dan teknik dua jurulatih asing yang diiktiraf berwibawa.

Karl Heinz Weigang dan Steve Darby sebenarnya bersaing dari segi itu, yang mungkin musim ini menggunakan pendekatan baru menghadapi Liga M, dan Piala Sumbangsih adalah ujian pertama masing-masing.

Weigang, jurulatih dari Jerman, menamatkan kemarau 28 tahun Perak merangkul Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu, yang ketika itu dibimbing jurulatih kebangsaan ketika ini Abdul Rahman Ibrahim, 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Disember lalu.

Kejayaan manis itu pasti dijadikan inspirasi buat Weigang dan pemain-pemain skuad Seladang untuk mengekalkan prestasi dan reputasi cemerlang mereka musim ini.

Manakala Darby yang membimbing Johor merangkul Piala FA, sudah tentu mempunyai misi serupa Weigang, memastikan skuad Jengking menjulang Piala Sumbangsih sebagai tanda bahawa mereka benar-benar serius memastikan kebangkitan pasukan, musim ini.

Johor, juara Piala Malaysia 1985 dan 1991, beraksi pada perlawanan Sumbangsih kali pertama pada 1986, menewaskan Singapura menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 pada permainan biasa.

Johor gagal mengulangi kejayaan merangkul piala itu pada 1992 apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

Berdasarkan pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam Piala FA musim lalu, rekod Johor, yang menewaskan Sabah 1-0 di Likas pada perlawanan akhir Piala FA, dengan Perak memang memihak kepada skuad selatan itu.

Pasukan Darby menang 3-1 pada perlawanan pertama suku akhir tetapi tewas 1-2 di tempat sendiri tetapi sudah cukup bagi Johor mara ke separuh akhir dengan agregat 4-3.

Dengan barisan pemain yang ada, tidak syak barisan pemain Johor di bawah pengurusan Ahamad Mohamed lebih berwibawa kerana mempunyai ramai bekas pemain kebangsaan - Azmil Azali, Rizal Sukiman, Rosdee Sulong dan Idris Karim.

Keseriusan Johor musim ini jelas apabila mereka mengambil tiga lagi bekas pemain kebangsaan, Hashim Mustapha dari Kelantan, Liew Kim Tu dan M. Chandran dari Kuala Lumpur.

Begitu pun, walau tanpa pemain berstatus bintang kebangsaan, Perak tetap dilihat berbahaya dengan adanya barisan pemain negeri yang membantu Perak merangkul Piala Malaysia musim lalu seperti V. Saravanan, Lim Seng Kong, Azrul Amri Burhan dan Roslan Hamid.

Skuad di bawah pengurusan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar itu tidak ketinggalan memantapkan pasukan apabila turut mengambil pemain baru, bekas pemain kebangsaan Shamsurin Abdul Rahman dari Sarawak, penyerang lincah Kuala Lumpur, Meor Nor Shamsul Kamal dan pemain tengah, Azlan Meri.

Ditambah dengan sokongan padu yang bakal diterima daripada penyokong sendiri di Stadium Perak, skuad Seladang itu sebenarnya menjadi pilihan untuk merangkul Piala Sumbangsih ini.

Apa pun, pertarungan merebut piala yang dipertandingkan sejak 1986 ini adalah sebagai tanda bahawa kempen menarik Liga Malaysia 1999 yang kini tanpa bintang-bintang import, bermula dengan rasminya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QA5o1UxW © Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 12/03/1999
Singa Utara sudah dapat keyakinan baru
PERLIS menganggap kejayaan pertama pada perlawanan pembukaan bola sepak Piala FA, Selasa lalu memberikan keyakinan baru bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar dalam Perdana Dua yang bermula 19 Mac ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Jurulatih pasukan Perlis, Tajudin Nor berkata, semangat para pemain yang dibimbingnya kini semakin tinggi selepas menewaskan Tentera 3-1 pada pertemuan pertama, Selasa lalu.

''Kemenangan itu menjadi suntikan baru kepada pemain-pemain Perlis untuk berjuang dalam Liga Malaysia dan Piala FA,'' ujarnya.

Menurut Tajudin, beliau mengharapkan barisan pemain muda Perlis dapat meningkatkan prestasi mereka untuk memastikan kemenangan pada perlawanan berikutnya selepas ini.

Pada masa yang sama, Tajudin menyeru para pemain utama agar berusaha mengelakkan kecederaan serius.

Beliau berkata, kecederaan mungkin hanya menjejaskan rentak dan strategi yang diatur dalam sesi latihan sebelum ini.

''Saya hanya mengharapkan agar kesebelasan pemain Perlis dapat beraksi dalam setiap perlawanan Liga Malaysia dan Piala FA tanpa mengalami kecederaan serius.

''Kecederaan pemain terbabit boleh menjejaskan persembahan seperti yang telah diatur dalam latihan sebelum ini,'' katanya ketika ditemui Sukan Utusan di Stadium Utama Kangar, semalam.

Tajudin yang juga bekas jurulatih Pahang dan Melaka berkata, beliau akan memastikan pemain-pemain simpanan Singa Utara itu mempunyai prestasi yang tidak kurang hebatnya dengan para pemain utama.

Sehubungan itu, jelasnya, beliau akan turut memberi penekanan kepada pemain-pemain simpanan dalam latihan supaya jarak dan tahap prestasi mereka tidak jauh daripada pemain- pemain utama lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4QA4NuaxR © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan