Sabtu, 12 November 2016

Jengking panggil 5 pemain pelapis

ARKIB : 30/01/1999
LIMA pemain Piala Presiden Johor berpeluang menyarung jersi skuad Jengking pada saingan Liga Perdana Dua musim ini, yang akan bermula Mac depan, lapor ISHAK SALLEH.

Mereka ialah penjaga gol, K. Ganesh, pemain tengah, Nazaruddin Zakariah dan tiga penyerang iaitu Law Seng Chong, Eddy Helmi dan Ahmad Tharmimi.

Jurulatih Johor, Steve Darby berkata, kelima-lima pemain itu dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad senior sejak Isnin lalu.

Katanya, walaupun berumur di antara 19 hingga 20 tahun mereka amat berbakat dan berpotensi menyarung jersi negeri.

Menurut Darby, setakat ini kelima-lima pemain terbabit menunjukkan kesungguhan serta berupaya membaca corak permainan dan mampu bergerak untuk membantu jentera serangan.

Kata Darby lagi, dia tidak teragak-agak menyenaraikan kelima-lima pemain terbabit dalam skuad senior, jika mereka berjaya mempamer aksi memberangsangkan dalam masa terdekat.

''Apa yang paling penting sekarang ialah menentukan barisan utama yang akan membawa cabaran Johor pada Liga Malaysia musim ini,'' katanya.

''Kita mempunyai tugas berat iaitu melepaskan skuad ini daripada berada dalam Perdana Dua dan seterusnya melangkah ke Piala Malaysia,'' katanya lagi.

Menurut Darby, pemain senior perlu menunjukkan komitmen mereka sama ada pada sesi latihan ataupun perlawanan persahabatan yang bakal diadakan.

Katanya, jika mereka gagal membuktikan kemampuan dan kesungguhan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk mengetepikan mereka.

Sementara itu, Johor akan mengadakan perlawanan persahabatan sebelum pentas Liga Perdana bermula pada 13 Mac.

Antara perlawanan persahabatan yang dirancang ialah menentang Pahang, Kedah, Selangor dan kelab Singapura, Home United.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PrgDlnto © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan