Jumaat, 22 Julai 2016

Idris masih di bawah kontrak Johor

ARKIB : 02/01/2000
JUARA Perdana Satu, Pahang tidak pernah menulis kepada Johor untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Idris Karim.

''Secara terus-terang, saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu. Saya cuma tahu menerusi laporan akhbar bahawa Idris akan mewakili Pahang bagi musim depan dan ia mengejutkan,'' kata Presiden Persatuan Bola Sepak Johor, Datuk Mohd. Ali Hashim.

Beliau berkata Idris masih di bawah kontrak Persatuan Bola Sepak Johor sehingga akhir tahun 2000.

''Saya terkejut kerana Pahang tidak pernah menulis kepada kami secara rasmi mengenai pemain berkenaan.''

''Pahang bebas menyuarakan apa sahaja. Tetapi bagi Johor, tidak benar bahawa Idris akan bermain untuk Pahang. Bagaimanapun, kami akan menemui pemain berkenaan untuk mengetahui butiran lanjut mengenai laporan media itu,'' kata beliau.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Jamal Nasir dilaporkan dalam beberapa akhbar sebagai berkata pasukannya telah mendapat khidmat Idris.

Beliau berkata Idris akan menandatangani kontrak sekembalinya dari Dubai kerana pasukan kebangsaan kini dalam lawatan ke Amiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, pengurus pasukan Johor Ahamad Mohamad berkata suntikan baru ke dalam skuad Johor kemungkinan akan dipilih dari Liga Johor dan tidak mencari pemain di luar negeri. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4F8PSo56E © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan