Isnin, 25 Julai 2016

PIALA KEMERDEKAAN VIETNAM Pendedahan terbaik Johor - Stewart


ARKIB : 18/01/1998
PIALA KEMERDEKAAN VIETNAM Pendedahan terbaik Johor - Stewart
JOHOR gagal layak ke peringkat akhir kejohanan Piala Kemerdekaan Vietnam yang berlangsung di Bandaraya Ho Chi Minh baru-baru ini tetapi pemain pertahanannya dari Australia, Darren Stewart, menyifatkannya sebagai satu pendedahan yang baik.

''Kami terpaksa mengharungi tiga permainan dalam tempoh enam hari dan saya yakin pengalaman itu akan memberikan kebaikan kepada para pemain Johor,'' kata Darren Stewart.

Stewart kembali ke Johor Bahru semalam bersama-sama Milan Blagjovic, sehari lebih awal daripada rakan-rakan sepasukan mereka yang lain yang akan tiba hari ini kerana kegagalan untuk mendapatkan penerbangan ke Johor Bahru.

''Saya rasa ia adalah kaedah latihan yang baik untuk pasukan Johor bagi menghadapi perlawanan-perlawanan kelayakan ke liga Perdana Satu tidak lama lagi,'' kata Stewart yang bermain untuk Johor sejak 1993.

Blagjovic menyertai Johor tahun lepas. Bagaimanapun, Johor hanya mampu menduduki tangga ke-12 daripada 15 pasukan di dalam Liga Perdana pada musim lepas.

Kedudukan di tangga ke-12 itu menyebabkan ia tersingkir daripada kejohanan Piala Malaysia.

Pada kejohanan di Bandaraya Ho Chi Minh itu, Johor gagal ke peringkat akhir setelah ia tewas 0-5 kepada pasukan Korea Selatan, Ulsan University pada perlawanan separuh akhir pada hari Khamis.

Stewart percaya Johor adalah antara pasukan terbaik di peringkat kalayakan liga Perdana Satu yang akan berlangsung Mac ini di sebuah gelanggang berkecuali.

Enam pasukan _ Johor, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Terengganu dan pasukan remaja kebangsaan _ akan bermain di dalam pusingan kelayakan itu.

''Johor akan diperkuatkan dengan kembalinya Azmi (Mohamed) dan kini saya diberitahu bahawa Annuar (Abu Bakar) akan turut kembali ke Johor. Ia adalah satu berita baik untuk pasukan Johor,'' kata beliau.

Annuar bermain untuk Selangor selama lima tahun manakala Azmi mewakili Negeri Sembilan selama dua musim. _ Bernama.




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQIAYvR5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan