Rabu, 27 Julai 2016

Sukumaran: Johor patut menang

ARKIB : 05/03/1998
Sukumaran: Johor patut menang
JOHOR, yang hanya mampu seri 1-1 dengan Terengganu pada pusingan kelayakan Liga Perdana di Kuala Terengganu kelmarin, terpaksa membuat perancangan lain bagi menghadapi tiga baki perlawanan jika mahu beraksi pada Premier Satu liga.

Jurulatih Johor K. Sukumaran nampak risau dengan kemampuan para pemainnya yang menyaksikan Terengganu merampas satu mata selepas berjaya mencuri gol penyamaan pada saat-saat terakhir.

Katanya Johor sepatutnya menang pada perlawanan itu yang akan memberikannya kelebihan sebelum berdepan dengan Kelantan di gelanggang sendiri Sabtu ini.

''Keadaan ini dialami Johor sejak sekian lama, membenarkan pihak lawan menjaringkan gol dan kehilangan mata penuh. Saya perlu bekerja lebih keras bagi mengatasi masalah ini.

''Kita hanya mempunyai empat perlawanan sebelum ke separuh akhir. Setiap mata amat berharga. Ketika menentang Terengganu, ia kesilapan kita membenarkan mereka mendapatkan gol penyamaan,'' kata Sukumaran.

Sukumaran juga sedar yang Kelantan bukannya lawan yang mudah ditewaskan, walaupun bermain di Stadium Larkin. Beliau menjangkakan Kelantan sama gagah seperti Terengganu.

Johor akan menyambung semula latihan esok selepas berehat hari ini.

Sementara itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Johor (KPBSNJ) akan digabungkan dan bersatu untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negeri yang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Presiden PBNJ, Datuk Mohd. Ali Hashim berkata pendaftaran keanggotaan kelab boleh dibuat menerusi kaunter khas di Plaza Kota Raya di Johor Bahru hari ini.

Katanya keanggotaan kelab itu terbuka kepada semua individu yang berminat terutamanya kepada mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak Johor.

Katanya, keanggotaan kelab dibahagikan kepada dua kategori iaitu remaja berumur 12 tahun hingga 17 tahun dengan bayaran RM35 setahun dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas dengan RM60.

Mohd. Ali berkata pemohon juga perlu menyertakan dua keping gambar untuk mendapatkan kad ''Jengking'' yang tidak boleh ditukar atau dipindah milik.

Menurutnya, anggota kelab ini juga akan menerima potongan harga tiket sebanyak 10 peratus untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Perdana termasuk menikmati potongan belian barangan di samping kemudahan pengurusan pengangkutan untuk menyaksikan pertandingan di tempat lawan.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan hanya mendaftar 22 pemain bagi menghadapi Liga Perdana musim ini sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan.

Setiausaha Agungnya, Abdullah Salleh semalam berkata, persatuan merasakan tenaga tiga lagi pemain tidak diperlukan memandangkan pemain-pemain yang ada mampu memenuhi matlamat Terengganu.

''Bagaimanapun, kita akan mengkaji dan melihat prestasi pemain yang ada, sama ada perlu atau tidak mendaftarkan tiga pemain itu,'' katanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan sehingga 25 pemain didaftarkan untuk mewakili sesuatu pasukan pada Liga Malaysia yang dijadual bermula bulan depan. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4FcqSCBYK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan