Rabu, 27 Julai 2016

Jengking semakin khuatir

ARKIB : 06/03/1998
JOHOR semakin khuatir terhadap kemampuannya untuk berhadapan dengan skuad Kelantan selepas hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Terengganu pada perlawanan pembukaan kelayakan menentukan dua pasukan yang akan ke Perdana Satu bola sepak Liga Malaysia, musim ini, lapor ISHAK SALLEH.

Pengurus pasukan, Ahamad Mohamed berkata, keputusan seri dengan Terengganu, Selasa lalu menambah kerisauan skuad Jengking dalam mengharungi baki perlawanan dalam pusingan kelayakan tersebut.

"Kita tidak kisah sama ada Kelantan telah menghantar 'pengintip' semasa menentang Terengganu untuk mengetahui strategi kita ataupun tidak, yang penting ialah tumpuan para pemain perlu jelas," katanya.

Ahamad yang juga Setiausaha Persatuan Bola Sepak Johor berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Kelab Bola Sepak Negeri Johor di Plaza Kota Raya, Johor, semalam.

Katanya, dalam tempoh yang singkat ini akan dimanafaatkan bagi memantapkan lagi pasukan Jengking untuk menghadapi cabaran yang semakin sukar.

"Kekukuhan dan kemantapan pasukan adalah lebih penting berbanding memikirkan tentang pasukan lawan kerana pasukan yang mantap, mampu menghadapi siapa sahaja lawannya," katanya.

Menurutnya, kejayaan Johor terletak di tangan para pemain dan terpulang kepada mereka untuk membuktikan kejayaan dan memberikan keputusan yang terbaik.

Sementara itu, menurut jurulatih skuad Jengking, K. Sukumaran, skuad tersebut mengalami 'penyakit lama' apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Terengganu.

Katanya, penyakit yang dimaksudkan ialah kegagalan anak buahnya untuk mengawal perlawanan setelah mendahului lawan terutama di saat-saat akhir perlawanan.

Beliau memberitahu, pemain-pemain Johor mampu membuat serangan tetapi gagal untuk membuat penyudahan serta memberi ruang untuk skuad lawan bertindak balas.

"Ini adalah penyakit mental, di mana pemain gagal memberikan tumpuan sepenuhnya terutama apabila sudah mendahului pihak lawan," katanya semasa ditemui.

Beliau mengakui pemain importnya, Tuboly Frigyes telah menunjukkan permainan yang baik tetapi dua penyerangnya, Azmi Mohamad dan Rusdee Sulong kurang memberikan tumpuan sepenuhnya.

Katanya, corak permainan Kelantan adalah sama seperti corak permainan Terengganu iaitu aggresif dan melakukan serangan yang bertubi-tubi.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4FczLhsY0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan