Jumaat, 29 Julai 2016

Johor ketepikan Sazali

ARKIB : 27/03/1998
JOHOR yang dikejutkan oleh skuad Olimpik 2000 setelah kalah 0-1 dalam perlawanan separuh akhir pusingan pertama, telah merehatkan pemain pertahanan Sazali Nasir bagi perlawanan pusingan keduanya.

Johor bertemu Olimpik 2000 sekali lagi di Stadium Merdeka, malam esok dan perlu menang 2-0 untuk masuk ke dalam kumpulan Perdana Satu Liga Perdana musim ini.

Cuma pasukan yang layak ke pertandingan akhir dalam pusingan kelayakan Perdana Satu akan bermain dalam divisyen pertama.

Pengurus pasukan Johor, Ahamad Mohamed berkata, selain Sazali beberapa perubahan lain mungkin dibuat untuk pusingan kedua ini.

Ahamad, bagaimanapun tidak menyebut nama pemain-pemain lain.

Beliau berkata, ia bergantung kepada prestasi mereka semasa latihan sebelum pasukan bertolak ke Kuala Lumpur menaiki bas hari ini.

Perlawanan yang sepatutnya dimenangi Johor belaku sebaliknya, pasukan Olimpik 2000 menguasai Johor untuk memeranjatkan pasukan tuan rumah dengan kemenangan 1-0. Kekalahan itu menyebabkan Johor dalam keadaan tertekan.

Jurulatih K. Sukumaran juga mungkin membuat beberapa perubahan kepada barisan pemain.

Satu pilihan baginya ialah meletakkan pemain pertahanan Darren Stewart sebagai penyerang bagi memantapkan barisan penyerang.

Sazali telah mempamerkan permainan yang mengecewakan sebagai pemain pertahanan. Ahamad berkata Sazali juga tidak menunjukkan komitmen terhadap permainannya.

Pegawai pasukan Johor juga belum memutuskan siapa akan menggantikan tempat Sazali.

''Pemain sedar mereka kini tertekan. Saya cuma mengharapkan pemain-pemain Johor akan bangun dari lena dan bermain dengan lebih baik di Stadium Merdeka,'' kata Ahamad.

Katanya, tidak boleh dinafikan Johor memiliki pasukan yang baik. ''Saya mesti mengakui bahawa perlawanan Selasa lepas adalah satu daripada prestasi Johor yang paling buruk. Saya harap 90 minit yang akan datang nanti adalah berbeza daripada permainan yang baru berlalu.''

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FnTXS6ZU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan