Jumaat, 10 Mac 2017

Wan Jamak hampa sikap pemain Johor


 

ARKIB : 24/08/2000
PENJAGA Gol Johor, Othman Katmon (kiri) pantas menyambar bola ketika berdepan asakan pemain Kedah pada perlawanan bola sepak kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam. Kedua-dua pasukan seri 1-1.

JURULATIH Johor, Wan Jamak Wan Hassan tidak berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan beberapa pemainnya selepas pasukan itu seri 1-1 dengan Kedah dalam perlawanan pertama siri Piala Malaysia kumpulan D di Alor Setar kelmarin.

''Kedudukan gol itu menggalakkan tetapi saya kecewa dengan prestasi beberapa pemain,'' kata bekas jurulatih kebangsaan itu yang mengambil alih tugas membimbing Johor sejak pertengahan Julai lepas.

''Mereka tidak menunjukkan komitmen dalam perlawanan, aksi mereka menghampakan pasukan sedangkan sepatutnya kami mampu memenangi perlawanan,'' katanya selepas pulang dari Alor Setar, semalam.

Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak berada dalam kumpulan D saingan Piala Malaysia yang membabitkan 16 pasukan. Dalam satu lagi perlawanan kumpulan, Negeri Sembilan memeranjatkan Perak 3-1 di Ipoh.

Johor akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi Sabtu ini.

Wan Jamak sedikit sebanyak memberi gambaran kemungkinan beberapa perubahan dalam pasukan termasuk merehatkan beberapa pemain utama.

Johor menjaringkan gol pertama dalam pertemuan terhadap Kedah apabila sepakan percuma Rizal Sukiman pada minit ke-53 tepat pada sasaran.

Kedah menyamakan kedudukan seminit kemudian melalui bekas pemain kebangsaan, Che Zambil Ahmad.

''Beberapa pemain utama dalam pasukan tidak menunjukkan komitmen semasa perlawanan.

''Ini menjejaskan prestasi pasukan. Saya memerlukan pemain-pemain yang tekun dan berdedikasi dalam permainan mereka,'' katanya. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4av2bpaTn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan