Rabu, 29 Mac 2017

Johor terus kuasai Perdana Dua

ARKIB : 24/03/2003
JOHOR terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumbangkan Selangor Public BANK 2-0 di Stadium Larkin, semalam.

Mohd. Farid Ideris menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-34 selepas menerima umpanan Mohd. Afandi Zamzam dari sebelah kanan.

Johor mengesahkan kemenangan apabila melebarkan jaringan pada minit ke-86 menerusi jaringan Mohd. Riduan Maon hasil hantaran Daniel Watkins untuk menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Mark Damum Sagar.

Sementara itu, Negeri Sembilan berpesta gol apabila menumbangkan Perak TKN 6-0 di Stadium Perak, Ipoh dengan bekas penyerang kebangsaan Azman Adnan mencatat hatrik.

Skuad Rusa membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila dihadiahkan sepakan penalti setelah Azman dijatuhkan dalam kotak penalti yang diambil Everson Martinelli Mac, tetapi ditampan penjaga gol Perak TKN sebelum disepak masuk Mohd. Aiman Wong.

Azman menyumbang tiga gol pada minit ke-26 dan 27 dan minit ke-63.

Penyerang, Efendi Malek menjadikan kedudukan 5-0 apabila bijak melepasi perangkap offsaid lawan sebelum memperdayakan penjaga gol.

Everson menutup pesta gol pasukannya dengan gol dua minit sebelum tamat perlawanan.

Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor dan Kuala LUMPUR berpuas hati apabila berkongsi mata selepas seri 1-1 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Polis Diraja MALAYSIA (PDRM) pula seri 3-3 dengan SKMK Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam satu lagi perlawanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 2-2 dengan TNB Kelantan di Stadium Lumut, Perak.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cjPKjbnO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan