Sabtu, 4 Mac 2017

Wan Jamak kembali terajui skuad Johor

ARKIB : 14/07/2000
BEKAS jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Hassan kini menjadi jurulatih baru pasukan bola sepak Liga Perdana Johor.

Wan Jamak mengambil alih tugas itu daripada Steve Darby semalam dan perlawanan pertama sewaktu beliau menyandang tugasan itu ialah apabila Johor menentang Negeri Sembilan di Johor Bahru, esok.

Darby dan pengurus pasukan Ahamad Mohamad telah diminta berehat oleh eksekutif majlis Johor FA pada satu mesyuarat di Johor Bahru, semalam. Mesyuarat itu diadakan selepas Johor tewas 0-5 kepada Terengganu di Kuala Terengganu, minggu lepas.

Para pemain Johor yang berlatih di bawah Darby pagi semalam terkejut dengan keputusan merehatkan Darby dan Ahamad semasa mereka hadir untuk latihan di Stadium Larkin pagi semalam.

Mereka hanya tahu mengenai keputusan itu selepas membaca akhbar semalam. Sesi latihan pagi semalam turut dibatalkan.

Naib Presiden Johor FA, Esa Mamek menyerahkan sepucuk surat kepada setiap pemain memaklumkan mereka mengenai perkembangan terbaru itu. Para pemain juga diminta melaporkan diri di Kem Mutiara, Tebrau untuk latihan, tengah hari semalam.

Para pemain akan berlatih di kem itu sehingga perlawanan menentang Negeri Sembilan.

Wan Jamak berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk membantu Johor layak secara automatik ke pertandingan Piala Malaysia walaupun tugas itu sukar.

''Kami hanya ada lima perlawanan lagi dan setiap orang perlu membantu memulihkan semangat pasukan."

''Saya perlukan beberapa maklumat balas daripada Steve (Darby) mengenai pasukan ini. Sebagai seorang jurulatih, saya rasa sedih dengan dirinya. Tetapi dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku. Jurulatih datang dan jurulatih pergi,'' kata Wan Jamak.

''Saya juga perlu ambil perhatian mengenai kecederaan yang dialami pemain. Saya sedar yang kami mempunyai skuad yang kecil. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan,'' katanya.

Sementara itu, Darby yang berada di Stadium Larkin pagi ini berkata beliau masih belum menerima surat yang meminta beliau berehat.

''Saya telah dimaklumkan secara lisan mengenai perkara itu. Tetapi sehingga sekarang saya belum dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan yang diambil oleh FA," kata Darby yang turut bersalam dengan semua pemain.

''Saya ucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dan berharap anda akan menewaskan Negeri Sabtu ini. Anda berupaya menewaskan mana-mana pasukan dalam liga ini," katanya kepada para pemain.

Ahamad tidak dapat dihubungi untuk ulasan sejak diumumkan bahawa beliau dan Darby telah diminta berehat. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aQxSBusB © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan