Khamis, 30 Mac 2017

Johor ungguli Perdana Dua



ARKIB : 10/04/2003
JOHOR terus mengungguli takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam.

Gol Johor dihasilkan pemain importnya, Daniel John Wackles pada minit ke-54 untuk meletakkan Johor selaku pendahulu dengan mengumpul keseluruhan 22 mata selepas beraksi sembilan perlawanan.

MPPJ Selangor pula mengekori rapat Johor dengan menguasai tangga kedua selepas menewaskan tentera 2-0 di Stadium Petaling Jaya.

Azlan Meri menghasilkan gol pertama MPPJ pada minit ke-70 manakala Juan Manuel Arostegui menambah jaringan minit ke-76.

Dengan kemenangan tersebut, MPPJ terus mengekori rapat Johor untuk berada di tangga kedua selepas mengumpul keseluruhan 20 mata.

Di Stadium KLFA, Public Bank Selangor mengatasi Kuala Lumpur 3-0 sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-83 kerana lampu limpah rosak di stadium berkenaan.

Milan Frelec membuka tirai jaringan Public Bank pada minit ke-58 diikuti M. Elango pada minit ke-61 dan S. Paidiya Rao pada minit ke-69.

Sementara itu, di Stadium Perak, perlawanan di antara pasukan tuan rumah TKN Perak dengan JPS Kelantan terpaksa dihentikan pada minit ke-71 kerana kerosakan lampu limpah ketika TKN ketinggalan 2-1.

Sebelum itu, jaringan V. Dinesh pada minit ke-16 hanya menceriakan seketika pasukan TKN apabila selepas itu JPS Kelantan membalas gol menerusi Kamaruddin Hussin pada minit ke-38 dan Adnan Musa pada minit ke-61.

Perlawanan akan disambung semula petang ini.

Di Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, Kota Bharu, SKMK Kelantan berkenduri gol apabila membelasah TNB Kelantan 5-0.

Perlawanan semalam turut menyaksikan pemain TNB Kelantan, Norazam Mohamad dilayangkan kad merah pada minit ke-42 manakala jurulatihnya, Kamaruddin Mohd. Noor diperintah pengadil Mohd. Rosli Abdul Halim keluar padang kerana mengkritik keputusan pengadil.

Dua pemain import SKMK Kelantan dari Thailand turut menyumbang tiga gol. Dua gol jaringan Kaveepun Taveebut pada minit ke-8 dan 75 manakala satu lagi oleh Suriya Domtaisong pada minit ke-85.

Pemain tengah Zool Ihsan Yunus turut menyumbat gol minit ke-26 manakala Mohd. Azli Mahmood pada minit ke-39.

Di Bandar Seri Begawan, Mohamad Brian Iman Abdullah menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan Polis 1-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Brunei yang mengejutkan pendahulu liga, Johor dengan kemenangan 1-0 di Johor Bahru sebelum ini, bermula dengan agresif bagi mengembalikan keyakinan penyokong tuan rumah selepas tewas 1-0 di tangan Tentera pada 2 April lalu.

Bagaimanapun tiada gol dapat disaksikan pada separuh masa pertama.

Rentak permainan tidak banyak berubah pada separuh masa kedua sehinggalah Mohamad Brian menjaringkan gol pada minit ke-71.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4csr5VISP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan