Khamis, 30 Mac 2017

Johor semakin selesa



ARKIB : 03/04/2003
KEDUDUKAN Johor di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua terus kukuh selepas menundukkan TNB Kelantan 3-2 dalam aksi di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, semalam.

Pasukan pelawat mendahului tuan rumah seawal minit kesembilan menerusi Mohd. Afandi Zamzan tetapi tuan rumah menyamakan kedudukan minit ke-15 menerusi Mohd. Sairozi Daud.

Mohd. Shukri Ismail melebarkan kedudukan minit ke-63 tetapi TNB Kelantan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Roslisam Mohd. Noor minit ke-81.

Bagaimanapun dua minit kemudian, Mohd. Shukri memberi gol kemenangan Johor untuk skuad dari selatan itu terus kukuh di persada liga dengan 19 mata daripada tujuh perlawanan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, Negeri Sembilan mencatat kemenangan terbesar dalam Perdana Dua setakat ini selepas membelasah JPS Kelantan 8-0.

Bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan dan K. Rajan masing-masing menjaringkan hatrik.

Azman menghasilkan gol pada minit ke-12, 34 dan 62 manakala jaringan Rajan minit ke-31, 58 dan 69.

Dua lagi gol Negeri Sembilan dihasilkan oleh Mohd. Syaiful Sabtu minit ke-66 dan Afendi Malek (85).

Di Bandar Seri Begawan, Brunei terus berhadapan dengan prestasi tidak menentu musim ini apabila tewas 1-0 kepada Tentera di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Kamarulzaman Daud menghampakan harapan tuan rumah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-76.

Di Petaling Jaya, sepakan penalti penyerang import Juan Manuel Arostegui melonjakkan MPPJ Selangor ke tangga kedua selepas mengalahkan Perak TKN 1-0.

Jaringan ke-11 buat Arostegui dalam liga membolehkan MPPJ Selangor mencatatkan kemenangan keempat selepas tujuh perlawanan sekaligus merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Johor. Mereka kini mengutip 14 mata hasil empat kemenangan dan dua seri.

Di Stadium Selayang, Public Bank menewaskan Polis 4-1. Polis membuka jaringan seawal minit kedua melalui Bonny Winson sebelum pintu gol mereka bolos empat kali.

Pemain import dari Slovakia, Milan Strelec mendapatkan gol penyamaan minit ke-16 dan Mohd. Noor Derus menyumbat gol kedua pada minit ke-24.

R. Paul Raj menjaringkan gol ketiga 12 minit kemudian dan Mohd. Fadli Yusof menjaringkan gol keempat Public Bank minit ke-80.

Public Bank bagaimanapun bermain 10 orang pada sepanjang babak kedua apabila ketua pasukannya, Paul Raj dilayangkan kad merah kerana menumbuk muka ketua pasukan Polis, Sarouk Yahya pada minit ke-41.

Di Stadium KLFA, Kuala Lumpur tergelincir ke tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan dengan SKMK Kelantan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cobfbBOz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan