Jumaat, 17 Mac 2017

Johor lakukan kejutan ke atas Terengganu

ARKIB : 27/05/2001
PULAU Pinang merebut hadiah naib juara pusingan pertama bola sepak Perdana Satu apabila menundukkan Kelantan 1-0 di Stadium Batu Kawan, semalam.

Gol kemenangan tuan rumah diperoleh pada minit ke-54 menerusi sepakan kencang Mohd. Aiman Wong dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Ooi Hioe Guan.

Kemenangan itu membolehkan Pulau Pinang mengambil alih kedudukan Kelantan di tangga kedua sekali gus menerima hadiah insentif sebanyak RM30,000, manakala Kelantan meraih RM27,000.

Sementara itu, Johor, pasukan tercorot liga merakamkan kejutan terbesar apabila menumpaskan pendahulu dan juara pusingan pertama, Terengganu 1-0 di Stadium Larkin.

Arman Sarimi menjadi penyumbang kemenangan Johor apabila menyumbat masuk bola pada minit ke-61 sekali gus mencatatkan nama selaku pemusnah rekod tanpa kalah Terengganu selepas 11 perlawanan.

Bagaimanapun, kedudukan Terengganu di tangga teratas masih tidak terancam dan masih selesa dengan berada empat mata di depan Pulau Pinang.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang mencatatkan kejayaan kelima apabila menumpaskan Perak 2-1, terima kasih kepada S. Suresh yang menyumbang gol kemenangan pada minit ke-71, sekali gus membolehkan mereka melonjak ke tangga keempat untuk menerima 25,000 dengan memintas Selangor.

Sebelum itu, kedudukan nampak seimbang bagi kedua-dua pasukan apabila kedudukan terikat 1-1 setelah Pahang mendahului 1-0 menerusi Khairul Anuar Karim pada minit ke-28 dan Khalid Jamlus menjaringkan gol Perak pada minit ke-55.

Perlis turut mencipta kejutan apabila menumbangkan Negeri Sembilan dengan kemenangan selesa 3-1 di Stadium Utama, Kangar.

Gol-gol Perlis diperoleh menerusi Mohd. Nasaruddin Mohd. Zin minit ke-45, Rosmin Musa minit ke-50 dan Amirul Jufri Abd. Jalil pada minit ke-70.

Gol tunggal pelawat disumbangkan oleh Norisham Ismail pada minit ke-36.

Kemenangan nyata berpihak kepada pasukan tuan rumah semalam apabila Kuala Lumpur turut menang 2-1 di Stadium KLFA, Cheras.

Mohd. Zulkifli Affendi dan Mohd. Farid Dewan menjaringkan gol Kuala Lumpur masing-masing pada minit ke-78 dan 82.

Gol pelawat diperoleh menerusi Rashid Mamud pada minit ke-74.

Sarawak menyekat Selangor daripada memperoleh kemenangan keempat berturut-turut apabila mengikat pasukan pelawat 1-1 di Stadium Sarawak.

Selangor kelihatan menghampiri kemenangan apabila mendahului menerusi Asmawi Bakiri pada minit ke-30 tetapi Bobby Chua menyamakan kedudukan pada minit ke-40.

Dalam kempen Perdana Dua, Sabah mengakhiri perlawanan pusingan pertama dengan menundukkan Kedah JKR 1-0 di Stadium Penampang.

Gol tunggal perlawanan disumbat oleh Madzalan Emoi pada minit terakhir perlawanan selepas mendapat hantaran silang Shahrin Majid, sekali gus menghadiahkan Sabah hadiah insentif sebanyak RM17,500 selaku naib juara pusingan pertama di belakang Johor FC.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bdpoYe2M

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan