Selasa, 28 Mac 2017

Giliran Johor kuasai Perdana Dua

ARKIB : 17/02/2003
JOHOR melonjak ke tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan JPS Kelantan 5-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, semalam.

Pemain dari Australia, Daniel Watkins mencipta hatrik untuk Johor dengan menyumbat gol pada minit ke-43, 50 dan 63. Dua lagi gol disumbangkan oleh Farid Ideris pada minit ke-18 dan 84.

JPS Kelantan pula membalas menerusi Kamaruddin Hussain dan Adnan musa, masing-masing pada minit ke-24 dan 55.

Sementara itu, skuad warga kota menjadikan Tentera mangsa pertamanya musim ini apabila menang selesa 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Ketua pasukan, Ridzuan Abu Shah memulakan aksi jaringan apabila rembatan leretnya tepat ke dalam gawang pada minit ke-30. Gol kedua disumbangkan oleh Safee Sali pada minit ke-57 dan penyerang import Martin Filipak, yang masuk pada separuh masa kedua, merembat masuk gol ketiga dari jarak 25 meter pada minit-minit terakhir.

Sementara itu, Polis pula meraih mata penuh di gelanggang sendiri apabila turut mencipta kemenangan 3-0 ke atas Perak TKN di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Polis mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi rembatan Roslan Kamarudin pada minit ke-23 dan Azlan Ahmad yang melepasi benteng pertahanan lawan pada minit ke-41. Pemain gantian, J. Manoharan menambah gol ketiga pada minit ke-86.

Sementara itu, Kelantan SKMK sekadar seri 1-1 dengan MPPJ Selangor di tempat sendiri di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Pasukan pelawat yang menyenaraikan dua pemain import, Bruno Sebastian Martelotto dan Juan Manuel Arostegui mendahului pada separuh masa pertama menerusi Azrin Shah Zainal pada minit ke-31 hasil tandukan tepat ke penjuru kanan gawang.

Bagaimanapun, tuan rumah yang tewas pada perlawanan pertama dengan Negeri Sembilan, kembali bernafas pada babak kedua untuk memperoleh gol penyamaan menerusi Abdul Latif Jusoh yang menyambar hantaran Mohd. Faizal Asmar pada minit ke-59.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cc5rSgfe

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan