Selasa, 28 Mac 2017

Johor lebarkan kedudukan teratas

ARKIB : 24/02/2003
JOHOR mengukuhkan kedudukan di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tentera di Stadium TLDM, Lumut, Perak, semalam.

Johor mendapatkan jaringan menerusi pemain import Gabriel Mandez pada minit ke-25 dan Daniel Watkins pada minit ke-80 manakala gol tunggal Tentera oleh Ahmad Nizam Ariffin pada minit ke-65.

Kemenangan ke atas Tentera menyaksikan Johor memungut keseluruhan sembilan mata untuk menerajui tangga teratas Perdana Dua selepas mencatat kemenangan berturut-turut dalam tiga perlawanan.

Sementara itu, penyerang veteran Azman Adnan menjaringkan dua gol untuk membantu Negeri Sembilan menang 3-1 ke atas TNB Kelantan di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Azman menghasilkan gol minit ke-27 dan 63 selepas Suharmin Yusof membuka tirai jaringan minit ke-3 manakala gol tunggal TNB Kelantan pula oleh Mazlan Husin pada minit ke-69.

MPPJ Selangor pula berpesta gol apabila menang besar 7-2 ke atas Public BANK Selangor dengan pemain importnya Juan Manuel Arostegui menyumbat lima gol pada minit ke-4, 30, 35, 66 dan 84 di Stadium Petaling Jaya. Norhisham Ismail menambah dua gol pada minit ke-82 dan gol minit terakhir permainan.

Public Bank pula membalas menerusi Milan Strelec pada minit ke-18 dan Paul Raj minit ke-55.

Di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, JPS Kelantan meraih mata penuh di gelanggang sendiri apabila mencipta kemenangan 5-2 ke atas Polis.

Adnan Musa menghasilkan jaringan awal JPS Kelantan pada minit ke-20, diikuti Kamaruddin Husain pada minit ke-30 dan 82, Ahmad Shahrul Safizul Aziz minit ke-81 dan Mohd. Zakri Bidi minit ke-83.

Polis mendapat gol menerusi Mohd. Izwan Ismail minit ke-60 dan sepakan penalti Talfizam Taufek minit ke-89.

Kuala Lumpur pula menang di gelanggang sendiri dengan menewaskan Brunei 3-2 di Stadium KLFA, Cheras. Kuala Lumpur mendapat gol Shariful Hisham Ibrahim pada minit ke-4, diikuti S. Sunder pada minit ke-40 dan Hishammuddin Othman pada minit ke-48.

Pasukan pelawat merapatkan jurang menerusi jaringan Subhi Abdillah pada minit ke-35 dan sepakan penalti Mark Williams minit ke-89.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah Perak TKN terikat 2-2 dengan SKMK Kelantan.

Shahrul Nizam Mian menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 89 untuk TKN Perak manakala SKMK Kelantan memperoleh gol daripada Abdul Latif Jusoh pada minit ke-51 dan Azli Mahmood pada minit ke-54.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ccsBaHZh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan