Jumaat, 10 Mac 2017

Johor gugur Farouk, Rezal

ARKIB : 26/08/2000
JOHOR menggugurkan dua pemainnya, Farouk Yahya dan Rezal Zambery Yahya daripada senarai kesebelasan utama pasukan itu menentang Negeri Sembilan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia, malam ini.

Kedua-duanya beraksi sewaktu Johor dan Kedah seri 1-1 dalam perlawanan kumpulan D, Piala Malaysia di Alor Setar, Selasa lepas.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan kecewa terhadap prestasi hambar beberapa pemain dalam barisan utama semasa bertemu Kedah.

Beliau menyalahkan mereka sehingga Johor hanya seri dalam perlawanan itu sambil berkata, pasukannya layak memenangi pertemuan itu jika para pemain lebih komited.

''Farouk digugurkan kerana prestasi hambarnya di Alor Setar. Rezal pula berkata dia cedera. Rezal tidak menjalani latihan semalam dan saya tidak boleh menurunkannya dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan,'' kata Wan Jamak.

Beliau berkata, Negeri Sembilan sudah pasti pasukan yang sukar ditundukkan selepas menang 3-1 ke atas Perak di tempat lawan, Selasa lalu.

Wan Jamak meramalkan cabaran getir menanti pasukannya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

''Bermain di tempat lawan selalunya bukan mudah. Kita bermain agak baik dengan Kedah dan jika mampu mengekalkan prestasi itu, sudah tentu Johor mampu memberi tentangan baik kepada pasukan itu,'' kata Wan Jamak.

Johor menewaskan Negeri Sembilan dua kali dalam liga. Pada pusingan pertama Johor menang 2-1 di Paroi dan di Stadium Larkin, mereka menang 2-0.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4av5SUWtP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan