Isnin, 19 Disember 2016

Kelantan, Johor menang bergaya



ARKIB : 22/04/2000
PEMAIN KL Malay Mail, Azizul Jamaluddin (kanan) mengawal bola daripada dicabar pemain NS Chempaka, Ahmad Shukri Mustaffa pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium KLFA, Cheras semalam yang berkesudahan seri 2-2.

PERTUKARAN gelanggang perlawanan dari Stadium Kubu, Melaka memberi tuah kepada pasukan tuan rumah, Johor FC apabila menewaskan Melaka 3-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Larkin, Johor, semalam.

Pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi Hairy Azli Mahamad pada minit ke-35 selepas dia memperdayakan seorang pemain pertahanan Melaka sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Zainal Rabin.

Dua minit sebelum itu, Melaka membuat satu percubaan melalui Shahril Nizam Khalil yang menanduk bola hasil tendangan sudut Rashid Mamud pada minit ke-33 tetapi tersasar keluar.

Gol kedua Johor FC diperoleh melalui pemain gantian, Mohd. Shahrul Ismail yang membuat larian solo dari sebelah kiri padang dan bola rembatannya menyaksikan Zainal tertewas buat kali kedua.

Johor FC terus mengasak kubu Melaka yang semakin tertekan dan pada minit ke-80, Harun Laban menyempurnakan gol ketiga Johor FC setelah hantaran dari Azni Ariffin muntah daripada tangkapan Zainal.

Di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bahru, Kelantan bermula garang di tempat sendiri selepas membenam Tentera 5-0.

Jaringan awal tuan rumah diperoleh seawal minit ke-15 menerusi penyerang Zul Ihsan Yunus yang mudah menolak bola masuk ke gawang lawan selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

Selang beberapa minit kemudian Kelantan berjaya mendapatkan tendangan penalti pada minit ke-17 hasil sepakan yang diambil oleh Zul Ihsan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Tentera, Arif Fadillah Aziz.

Kehampaan itu bagaimanapun tidak lama apabila empat minit kemudian tuan rumah berjaya mendapat gol sagu hati apabila bola sepakan Tuan Kamree Tuan Yahya menerjah ke jaring lawan selepas terkena kaki pemain Tentera, S. Ragu minit ke-19.

Tuan rumah yang bermain dengan cemerlang terus mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh gol ketiga menerusi tandukan pemain tengah Bahruddin Ali pada minit ke-40.

Derita Tentera bertambah parah apabila pemain muda Kelantan, Shahrudy Aziz menanduk bola sepakan sudut minIt ke-77.

Tuan Kamtree terus menghukum Tentera apabila menyempurnakan gol terakhir tuan rumah pada minit ke-86.

Sementara Tentera yang mempamerkan rentak permainan yang konsisten di awal permainan bagaimana pun gagal untuk mencipta jaringan gol apabila serangan pasukan itu sering dipatahkan oleh benteng pertahanan tuan rumah.

Sementara itu, Malay Mail Kuala Lumpur berkongsi mata lagi selepas seri 2-2 menentang NS Chempaka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Gol pasukan Malay Mail dijaringkan oleh Mohamad Sham Nor pada minit ke-25 dan 55 sementara NS Chempaka menerusi gol jaringan sendiri Mohd. Ishak kunju Mohd minit ke-32 dan S. Ramis dua minit sebelum tamat permainan.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TI11B3rw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan