Jumaat, 9 Disember 2016

Tiga pemain Johor digantung perlawanan

ARKIB : 12/10/1999
JOHOR yang kalah 1-3 kepada Brunei dalam perlawanan Piala Malaysia kumpulan B di tempat lawan Sabtu lepas akan bertemu Kuala Lumpur tanpa tiga pemain tonggak pada 16 Oktober ini.

Pemain midfield Rizal Sukiman dan pertahanan Mohd. Zakir Othman dan Bakthiar Othman tidak dapat diturunkan kerana terpaksa menjalani hukuman gantung perlawanan. Mohd Zakir diperintah keluar padang dalam perlawanan dengan Brunei, manakala Rizal dan Bakthiar mendapat amaran kedua.

Kekalahan di Bandar Seri Begawan itu ialah kali ketiga buat Johor. Mereka sebelum ini tewas 0-1 kepada Pahang dan 2-3 kepada Sabah.

Skuad Johor meneruskan latihan hari ini di Stadium Pasir Gudang. Jurulatih Steve Darby memandang berat kes pemain yang kena gantung kerana Johor hanya mendaftarkan 18 pemain untuk Piala Malaysia.

Johor juga mempunyai senarai pemain yang masih cedera. Bekas pemain antarabangsa Rosdee Sulong tidak akan ke Brunei. Pemain midfield Idris Karim pula cedera dilutut.

"Kami mempunyai jumlah pemain yang kecil untuk Piala Malaysia. Kita ada tiga pemain yang kena gantung dan dua cedera. Kami berharap Rosdee dan Idris cepat sembuh dan dapat bermain Sabtu ini," kata Darby.

Darby masih yakin Johor mampu melayakkan diri ke pertandingan separuh akhir, walaupun telah mengalami kekalahan tiga kali.

"Kami ada empat perlawanan di gelanggang sendiri. Kami juga perlukan sokongan dari peminat," kata beliau.

Johor setakat ini telah bermain sekali di gelanggang sendiri dan menang. Pasukan juara Liga Perdana itu menewaskan Sarawak 2-1 untuk kemenangan tunggalnya setakat ini.

Mengenai kekalahan kepada Brunei, Darby berkata pemain import Brunei telah bermain sungguh baik untuk menghalang peluang pasukannya. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SOr2sylU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan