Jumaat, 9 Disember 2016

Jengking kembali yakin berdepan dengan Sabah

ARKIB : 30/09/1999
KEMENANGAN 2-1 ke atas Sarawak dalam persaingan awal bola sepak Piala Malaysia, kelmarin mengembalikan semula keyakinan Johor untuk berhadapan dengan pasukan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu ini, lapor ISHAK SALLEH.

Jurulatih skuad Jengking, Steve Darby berkata, sebelum perlawanan kelmarin, anak-anak buahnya nyata bimbang dengan rekod Bujang Senang apalagi dengan keupayaan mereka menewaskan Sabah 3-1.

Katanya, usaha mengembalikan semangat pasukan itu terpaksa dilakukan termasuk dengan memainkan lagu You'll Never Walk Alone nyanyian kumpulan Gerry & The Pacemakers yang menjadi sinonim kelab Liverpool sebelum perlawanan.

Beliau juga tidak menolak penyerahan Piala Liga Perdana Dua yang dilakukan sebelum perlawanan kelmarin sedikit sebanyak memberi rangsangan kepada skuad Johor.

Darby juga mengakui persembahan pada separuh masa pertama adalah hambar kerana para pemain berada di dalam keadaan tertekan disebabkan khuatir tewas di gelanggang sendiri.

Katanya, kesempatan itu digunakan oleh Sarawak dengan membuat jaringan pertama melalui Ramles Sari pada minit ke-50 dan jaringan itu juga seolah-oleh menyedarkan Johor daripada lamunan.

Kebangkitan Johor itu dipamerkan melalui jaringan Hashim Mustapha pada minit ke-62 dan 63 dan seterusnya melakukan serangan yang bertubi-tubi.

Katanya, pemain pertahanan, Jasmi Mohamed tidak akan bersama dengan Johor yang akan bertandang ke Sabah kerana telah memperoleh dua kad kuning.

Darby memberitahu, kekosongan itu akan diisi oleh bekas pemain kebangsaan, Salim Khamis yang telah menunjukkan permainan yang baik, malam kelmarin selepas masuk menggantikan Jasmi.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Jalil Ramli berkata, persembahan yang dilakukan oleh anak-anak buahnya adalah membanggakan dan perlawanan itu sepatutnya berkesudahan dengan seri.

Katanya, walaupun tewas, para pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi terutama penjaga gol, Mohd. Azley Abdullah.

Beliau memberitahu, perlawanan Sarawak seterusnya adalah menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini di tempat lawan dan keadaan itu membimbangkan beliau kerana Sarawak tidak mempunyai rekod perlawanan yang baik semasa berada di gelanggang lawan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SM9xqO1Y © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan